Oleh: A. Ariff

 

31 Disember 2009 – Operasi Dakwah Tahun Baru 2010 ini telah diketuai oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan dibantu oleh aktivis-aktivis dakwah bertujuan untuk menyebarkan dakwah kepada orang ramai, terutama muda-mudi dengan mendekati mereka selain menyebarkan risalah yang diadaptasi dari tulisan Dr Mohd Asri yang bertajuk; “Jalan Pulang ke Pangkuan Tuhan Terlalu Luas”.

 

Operasi ini bermula pada jam 11.20 malam sebaik sahaja Dr Mohd Asri selesai menyampaikan tazkirah di Institut al-Qayyim, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan disertai oleh lebih kurang 80 aktivis dakwah.

Beberapa kumpulan telah dibahagikan dan ditugaskan untuk bergerak di beberapa tempat sekitar Seberang Prai yang menjadi tumpuan untuk menyambut Tahun Batu 2010.

Sambutan yang hangat diberikan oleh para muda-mudi yang rata-rata mengenali Dr Mohd Asri, selain memberikan maklum balas positif di atas usaha yang dilakukan. Mereka juga dilihat tidak segan untuk mendekati Dr Mohd Asri dan beramah mesra dengannya.

“Tujuan saya sendiri turun adalah untuk menggerakkan jentera dakwah yang bersama-sama saya untuk terus berdakwah sepanjang tahun 2010.” Kata Dr Mohd Asri.

Operasi ini dilancarkan secara berkembar di Pulau Pinang dan di Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, operasi dijalankan di sekitar Kuala Lumpur City Centre dan diketuai oleh aktivis dakwah muda yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar IPT tempatan.

Maklum balas yang sebegini positif menunjukkan bahawa tidak wujud jurang di antara aktivis agama dengan para pemuda selagimana orang-orang agama sendiri tidak keberatan atau tidak malu untuk turun ke medan dakwah dan mendekati mereka.

Operasi berakhir pada jam 2.00 pagi dan diteruskan dengan solat sunat gerhana yang dilakukan di Institut al-Qayyim.

Gambar selanjutnya sekitar Ops Dakwah Tahun Baru 2010 bersama Dr MAZA: