oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin

Pilihanraya Permatang Pasir telah pun selesai. Saya pulang ke Malaysia betul-betul pada hari penamaan calon. Pusat penamaan calon iaitu IKBN, Mengkuang Bukit Mertajam pula betul-betul berhampiran rumah saya, sekalipun kawasan saya tidak termasuk dalam DUN berkenaan.

Ramai yang tidak tahu bahawa saya mempunyai dewan pengajian untuk orang awam iaitu Dewan Pengajian al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah yang bersebelahan rumah saya. Dewan ini sering menganjurkan berbagai aktiviti ilmiah yang bersifat ‘terbuka’ dari sudut pemikiran fekah dan ‘kepartian’.

Para jamaahnya cuba diserasikan dengan prinsip-prinsip ilmu yang merentasi sebarang sempadan kepartian dan mazhab fekah. Oleh kerana kawasan bangunan dewan ini luas, ramai yang datang dari luar Pulau Pinang yang tidak tahu tentang dewan ini melintasi di hadapannya atau cuba menggunakan kemudahannya.

Sebahagian yang tahu saya sudah pun berada di Malaysia datang dan mengunjungi saya di rumah. Maka, sepanjang tempoh berkempen ramailah juga tetamu saya yang terdiri dari kalangan tokoh kedua-dua parti yang bertanding.

Seperti biasa, saya memberikan pandangan saya yang tersendiri mengenai cara politik kedua-dua parti tersebut. Ada juga di kalangan tokoh-tokoh yang datang itu menegaskan tentang keperluan untuk saya menjadi aktivis parti mereka. Mereka mengemukakan alasan dan hujah, saya berdiam sahaja. Saya belum berfikir sehingga ke situ. Namun beberapa kesimpulan pemikiran politik dapat saya rumuskan.

Tanda Aras

Dalam Islam kita diajar agar mencontohi yang baik, bahkan yang terbaik. Jika kita ingin mencapai sesuatu kualiti yang baik, maka kita mestilah mengambil bench-mark atau penanda aras yang terpilih. Justeru itu kita disuruh mencontohi para nabi dan pengikut mereka yang terbukti benar-benar berjaya mempertahankan prinsip kebenaran.

Ini seperti firman Allah: (maksudnya)

“Sesungguhnya adalah bagi kamu pada (Nabi) Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya – contoh ikutan yang baik..”(Surah Mumtahanah, ayat 4).

Firman Allah juga: (maksudnya)

Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagi sesiapa yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta dia pula mengingati Allah banyak-banyak” (Surah al-Ahzab, ayat 21).

Nabi Muhammad itu sendiri pun diperintah oleh Allah s.w.t agar menuruti langkah dan teladan para nabi sebelum baginda. Firman Allah:

“Mereka (nabi-nabi) tersebut adalah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka turutlah olehmu (Wahai Muhammad) akan petunjuk mereka..” (Surah al-An’am, ayat 90).

Demikianlah banyak ayat-ayat al-Quran yang Allah arahkan agar kita mencontohi teladan yang baik sebagai penanda aras dalam perjalanan hidup kita. Malang sekali, ‘orang parti’ apabila kita mengkritik tindakan parti mereka, mereka akan menjawab ‘parti lawan lebih teruk’, atau ‘parti lawan buat tak apa, kenapa kami tak boleh?!’, ‘kenapa bantah kami, parti lawan pun buat perkara yang sama?!’ atau apa sahaja jawapan yang menunjukkan penanda aras tindakan mereka adalah diukur dengan parti lawan mereka.

Pada masa yang sama mereka kata parti lawan mereka buruk dan mendakwa mereka lebih baik dari parti musuh mereka, tapi pengukur tindakan mereka tidak lebih dari parti yang mereka tentang. Mereka sebenarnya bukan mencari yang terbaik, tetapi mereka ingin menjustifikasikan tindakan politik mereka.

Jika itulah tahap pemikiran orang politik kita, sehingga bila pun kita tidak akan dapat membuat perubahan yang terbaik dalam masyarakat kita. Barangkali jika kita mengkritik mereka mengambil rasuah, mereka akan jawab: “pemimpin parti lawan kami ambil lagi banyak, pasal apa kritik kami?!”.

Mereka menghalalkan tindakan mereka kerana parti lain pun buat. Jika begitu, kita tidak perlu buat pilihanraya untuk sebarang pemilihan kerena tahap ukuran atau penanda aras mereka itu sama!

Mungkin ada yang berkata; kita guna kaedah ‘memilih mudarat yang paling ringan’ seperti yang diajar dalam qawa ‘id fiqhiyyah (kaedah-kaedah fekah). Kaedah ini mengajar bahawa apabila bertentangan antara dua mudarat atau bahaya, seseorang muslim diperintahkan agar memilih yang paling kurang bahaya atau mudarat antara keduanya.

Kaedah ini digunakan apabila tiada lagi di hadapan seseorang pilihan yang lain. Namun jika di sana ada jalan keluar dari bahaya atau mudarat tersebut, maka kita hendaklah mendapatkannya. Pihak yang layak untuk melaksanakan kaedah ini ialah para pengundi apabila mereka mendapati kesemua parti-parti ini adalah bahaya dan mudarat, mereka terpaksa memilih yang paling ringan mudaratnya.

Soalannya, apakah parti-parti ini hanya mampu menjadi ‘yang paling ringan mudarat’, bukan yang mampu membawa sesuatu yang baik atau terbaik?! Juga, apakah parti-parti politik ini kesemuanya merupakan bahaya dan mudarat yang kita tiada pilihan, atau mampu mencari jalan keluar?! Atau, apakah sekadar itu sahaja tahap kualiti dan pemikiran kita..

Kualiti Perjuangan

Saya suka apabila ada pihak yang membezakan kualiti pengikut atau penyokong. Saya bukan tokoh politik, tetapi sering berjumpa berbagai pihak dan individu samada di tempat awam, tertutup atau melalui surat dan email yang menyebut: “saudara, saya penyokong anda”, atau “saya peminat anda”, atau “saya berikan sokongan penuh perjuangan anda”.

Jika saya sempat bersembang dengan mereka saya pasti akan bertanya: “apa yang anda sokong?”, “apa yang anda minat?”. Alhamdulillah, ramai yang menjawab: “saya pembaca setia tulisan anda”, atau “saya selalu mengikuti ucapan anda dalam berbagai media”, atau “saya sering menghadiri kuliah anda”.

Namun jika ada yang menjawab “saja, seronok-seronok” atau “kawan saya sokong anda, saya pun join kelab mereka”, atau “sekadar trend terkini” tentulah sesuatu yang mendukacitakan dan tidak memberi apa-apa makna kepada segala usaha dan penat lelah.

Saya dapati ramai orang politik cuai hakikat ini. Sesetengah parti politik, para pengikut mereka benar-benar tiada kualiti. Mereka tidak mendokong cita-cita perjuangan, atau tiada faham apa yang diperjuangkan, tetapi sekadar berseronok suka dengan ‘keramaian’ dan ‘faedah sampingan’ yang diperolehi.

Mereka tidak tahu idealisme perjuangan, atau jika tahu pun mereka tidak menghayatinya atau terasa sebahagian dari perjuangan mereka. Inilah yang kita lihat pada ramai anak-anak muda, bahkan yang tua juga yang bersorak-sorai dalam musim pilihanraya.

Ada parti yang benar-benar lesu cita-cita perjuangannya. Hilang arah dan matlamat perjuangan. Hidup atas isu atau sekadar hendak mempertahankan kerusi atau kuasa yang ada. Para pengikut bawahan mereka, hanya sekadar untuk mendapatkan upah menggantung poster, atau wang poket, atau ‘makan percuma’.


- Gambar Hiasan

Politik sekadar untuk bersosial, bukan kerana ada perjuangan yang hendak digalas, maka hancurlah politik kita dan masa depan negara. Hal ini berlaku disebabkan banyak perkara, antaranya; perjuangan parti itu sendiri hilang arah, atau cita-cita perjuangannya tidak berpijak di alam nyata, atau perjuangannya tidak dapat diterima pengikut atau contoh teladan buruk kepimpinan parti yang menyebabkan segala idealismanya ditelan isu-isu peribadi.

Menetapkan halatuju perjuangan yang jelas dalam diri individu atau organisasi merupakan rukun utama dalam meneruskan perjalanan hidup. Sebab itulah, sebahagian sarjana ada yang menyatakan Islam itu adalah jawapan yang tepat kepada tiga soalan utama yang sentiasa muncul dalam akal pemikiran manusia sepanjang zaman; iaitu dari mana manusia wujud? Kenapa manusia diwujudkan? Ke mana akhirnya kesudahan kewujudan manusia?.

Islam menjawab persoalan-persoalan ini secara tepat. Jika sesiapa dapat memahami atau memberikan jawapan yang tepat kepada persoalan-persoalan ini, bererti dia memahami hakikat Islam. Dengan memahami hakikat ini, maka umat Islam dahulu yang gemilang berjuang. Kejelasan matlamat dan halatuju hidup terbentang di hadapan mata mereka.

Maka jika hal ini dikiaskan kepada perjuangan apa sahaja, jika perjuangan itu dapat memberikan jawapan serta memahamkan pengikut mereka ‘bagaimanakah perjuangan mereka itu boleh muncul? Untuk apa mereka berjuang? Dan ke manakah kesudahannya perjuangan tersebut?, maka kita akan dapati kelangsungan perjuangan berkenaan.

Jika tidak, ia adalah slogan khayalan yang tiada hakikat baginya. Sekalipun, jika ia kelihatan gah dan besar, ia hanyalah singa atau raksasa kertas yang boleh dimusnahkan oleh sebatang mancis api. Jika jawapan itu benar-benar wujud sekalipun kecil ia mampu bergerak dan membawa dirinya sendiri.