Saya mengambil masa yang panjang berfikir tentang tajuk poligami untuk ditulis di ruangan ini. Pasti lepas ini, mungkin ada wanita pembaca tulisan saya sejak sekian lama akan merajuk atau kurang senang. Pohon saya ingin menyentuh juga tajuk ini bagi berbicara dengan lojik feminis sekularis yang cuba menilai isu ini dengan mentaliti Barat.

Secara umumnya, masyarakat ‘Barat’ ini menganggap seseorang lelaki memiliki perempuan simpanan atau ‘mistress’ adalah perkara biasa. Bahkan menjadi trend di Barat ini untuk pasangan hidup bagaikan suami isteri tanpa perkahwinan yang diiktiraf. Bertukar-tukar atau menambah bilangan ‘mistress’ bukanlah satu keganjilan.

Namun pemikiran dan undang-undang mereka tidak menerima seseorang lelaki memiliki lebih dari satu isteri atau berpoligami. Poligami bagi mereka mempunyai unsur penghinaan terhadap wanita, atau unsur kerakusan nafsu lelaki. Sementara perempuan simpanan atau seks dengan wanita tanpa perkahwinan bukan satu penghinaan atau kerakusan nafsu.

Eksploitasi setiap inci alur tubuh wanita dalam media mereka juga adalah bagi mereka lambang kebebasan dan kemerdekaan wanita. Adapun wanita muslimah yang menutup auratnya dengan rela adalah lambang kezaliman atau penghalangan hak wanita.

Malang sekali, aliran ‘liberal melulu’ yang menghantui sesetengah pihak, termasuk di negara kita yang menonjolkan diri sebagai pejuang hak wanita, menelan cara fikir Barat ini lalu menjadikan isu poligami dan menutup aurat sebagai sasaran.

Berbalik kepada isu poligami, perkara yang selalu dibangkitkan adalah bahawa ia menafikan hak wanita atau merendahkan wanita. Padahal beza antara seorang isteri kedua, atau ketiga, atau keempat dengan seorang wanita simpanan begitu besar.

Selain dari soal haram dan halal yang dilihat pada neraca agama, seorang yang berstatus isteri mempunyai hak ke atas suaminya; hak nafkah, hak keturunan anak, hak keadilan pembahagian hari dan harta, hak dihormati dan disayangi, hak untuk tidak dipersiakan apabila jemu dan berbagai lagi.

Sementara seorang ‘mistress’ yang ‘dijamah’ dalam senyap atau terang, boleh ditinggalkan tanpa pesan apabila jemu dan diratah apabila bernafsu, tiada apa hak yang boleh dituntut atas kekudusan perkahwinan.

Mereka memandang sinis kepada poligami tapi menganggap fonomena biasa bagi perempuan simpanan. Poligami bagi mereka membawa ketidakadilan antara wanita. Mereka patut ditanya; apakah memiliki perempuan simpanan itu adil bagi wanita? Begitu juga, apakah hidup ‘berumahtangga’ tanpa kahwin itu penghormatan bagi wanita?

Ramai masyarakat Barat ini menyangka bahawa hanya Islam sahaja yang mengizinkan poligami. Padahal asalnya, seseorang lelaki Kristian diizinkan berkahwin sebanyak mana bilangan isteri yang dia suka, kerana Bible tidak menghadkan bilangan isteri. Hanya beberapa kurun kebalakangan ini gereja menghadkan bilangan isteri kepada satu.

Poligami juga diizinkan dalam Yahudi. Ini berdasarkan undang-undang Talmud, di mana Nabi Ibrahim isterinya tiga, Nabi Sulaiman isterinya seratus. Perlaksanaan poligami berterusan dalam Yahudi sehinggalah Rabai Gersom Ben Yehudah (960-1030M) mengeluarkan perintah menentangnya. Namun masyarakat Yahudi Sephardic yang hidup di kalangan umat Islam terus mengamalkannya sehingga tahun 1950. Namun di Barat, trend hidup pragmatik yang mereka cipta menggantikan agama.

Islam apabila membenarkan poligami, seperti biasa menetapkan dalam setiap perkara peraturan dan disiplinnya. Soal berlaku baik dan adil kepada isteri, bukan sahaja diwajibkan untuk mereka yang berpoligami, bahkan kepada sesiapa yang bermonogami juga wajib melakukan kebaikan dan keadilan kepada isterinya.

Jika ada kecuaian mereka yang berpoligami bukan bererti poligami itu buruk, tetapi sikap pelaksananya itu yang salah. Betapa banyak mereka yang monogami yang menzalimi isteri, tidak bertanggungjawab terhadap keluarga dan berbagai lagi. Apakah kerana tindakan salah mereka itu, maka monogami juga patut dilarang? Inilah mentaliti kelompok liberal yang tidak terurus pemikiran mereka.

Ramai isteri yang menghantar email kepada saya bahawa mereka tidak dapat terima suami mereka berpoligami. Ya, itu adalah perasaan yang dikongsi oleh kebanyakan wanita. Apatahlagi jika suami mereka itu tidak menunaikan tanggungjawab yang baik selama belum berpoligami pun.

Apabila Allah dan rasulNya mengizinkan poligami, pasti ia mempunyai hikmah yang tersendiri. Poligami adalah ubat yang dimakan di waktu perlu dan jangan memakannya jika anda tidak memerlukan. Poligami dalam sejarahnya, menyelamatkan wanita-wanita yang kehilangan suami seperti isteri tentera yang terkorban kerana umat. Mungkin mereka masih muda dan perlukan perlindungan. Jika diharapkan orang bujang, biasanya mereka mencari pasangan dara. Siapa yang akan mengambil tanggungjawab ini? Biasanya lelaki yang stabil dan matang mampu mengendalikan mereka. Mereka ini kebanyakan sudah berkahwin.

Saya lihat dalam negara kita, poligami dapat membantu wanita yang baru menganut Islam yang kadang-kala tiada orang bujang yang dapat menjaga mereka dengan baik.

Wanita sama seperti lelaki terdedah kepada sakit dan ketidakmampuan seks. Jika suami tidak mampu dari segi seks, isteri boleh menuntut dipisahkan perkahwinan. Jika isteri tidak bermampuan dari segi seks, amat tidak wajar wanita yang lemah dan sakit ditinggalkan begitu. Namun, dalam masa yang sama naluri suami juga hendaklah diraikan. Poligami boleh menyelesaikannya.

Begitu juga jika isteri tidak mampu melahirkan zuriat, apakah patut suami menceraikannya? Poligami sebagai penyelesaian keinginan kepada zuriat keturunan. Maka apabila Islam membenarkan poligami, ia adalah ubat.

Barangkali juga ada isteri yang tidak terdaya melayan kehendak suami yang ‘tinggi’ dalam seks. Poligami juga jalan keluar dari beban ini. Kadang-kala ada lelaki yang berwibawa yang memampukan dia memiliki lebih dari seorang isteri yang diberi keadilan yang rata.

Maka dalam sejarah Islam, poligami tokoh-tokoh telah membuahkan kebaikan ilmu, keluasan keluarga dan keturunan. Berbagai lagi hikmah poligami yang boleh disenarai panjang. Malang sekali, apabila golongan Pro-Barat atau ‘Islam-Liberal’ ini menyatakan tujuan mereka menentang pologami itu kerana hendak membela wanita, apakah pada mereka selain isteri pertama itu bukan wanita? Wanita itu, bukan isteri pertama sahaja, tetapi setiap yang berjantina wanita termasuk yang akan menjadi isteri kedua dan seterusnya. Perasaan dan kehendak mereka juga adalah tuntutan dan hak wanita yang perlu dihormati.

Pernah saya sebutkan bahawa kadang-kala hukum-hakam Islam boleh diumpamakan sebuah kedai yang menyediakan berbagai jenis ubat untuk semua jenis penyakit. Jangan kerana ada ubat yang dijual itu tidak bersesuaian dengan penyakit kita maka kita menganggap ubat tersebut mesti dihapuskan. Poligami adalah salah satu ubat bagi penyakit yang bersesuaian dengannya. Menghalang zina dan membantu wanita. Bagi yang tidak memerlukan ubat ini dia tidak disuruh meminumnya.

Poligami juga adalah jalan keluar kepada kehendak cinta di luar kawalan. Di zaman ini, untuk seseorang lelaki mendapatkan wanita secara haram, amatlah mudah. Namun jika ada lelaki yang ingin berkahwin sekalipun atas poligami yang membawanya menanggung berbagai risiko, saya rasa dia patut dihormati dan ada nilai tanggungjawab terhadap wanita.

Cuma malangnya, poligami ini jika digunakan oleh lelaki yang tidak bertanggungjawab sehingga mencemarkan institusi berkenaan. Apatahlagi golongan anti poligami ini hanya menonjolkan contoh-contoh buruk poligami dan melupai contoh-contoh baik yang banyak. Lelaki-lelaki yang baik dan berkemampuan patut tampil membawa contoh yang baik dalam perlaksanaan poligami. Sementara yang tidak berkemampuan dan ‘lemah’ kewibawaannya untuk adil, maka janganlah memakan ubat yang tidak diperuntukkan untuk anda.