JANGAN LELONGKAN AGAMA UNTUK KEUNTUNGAN PENIAGAAN
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Oleh kerana agama mempunyai fungsinya yang besar dalam masyarakat manusia, maka berbagai pihak cuba menggunakan nama agama atas berbagai tujuan. Ada yang ikhlas, ada pula yang mengambil kesempatan atas nama agama untuk mengaut harta atau pengaruh. Maka penyalahgunaan nama agama bukan perkara baru dalam sejarah manusia. Bukan sahaja Islam yang menerima bahana tersebut, agama-agama lain juga demikian. Namun bagi Islam, ia lebih lebih perit, kerana Islam agama wahyu. Seorang muslim yang sebenar tentu akan merasai penyalahgunaan nama Islam adalah satu dosa yang amat serius kerana ianya adalah pemalsuan wahyu. Dalam ertikata lain menyalahgunakan nama Allah dengan membuat dakwaan palsu kononnya Allah memerintah atau melarang itu dan ini, padahal tiada sebarang nas dari Allah ataupun rasulNya adalah satu jenayah besar.

Agama Rekaan

Firman Allah dalam Surah al-A’raf ayat 33

(maksudnya): Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkan) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkan) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya”.

Baginda s.a.w.: juga menegaskan hal yang sama dalam banyak hadis baginda, antara daripada ‘Aisyah r.ha, katanya: sabda Nabi S.A.W.:

“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak”. (Riwayat Muslim).

Maka setiap insan muslim hendaklah berhati-hati tentang kesempatan yang diambil oleh banyak pihak untuk menjadikan agama saluran keuntungan atau menempatkan pemikiran peribadi yang akhirnya diberikan cop agama. Jika hal ini dibiarkan, maka ajaran-ajaran palsu akan muncul atas nama agama dan Islam yang tulen akan hilang dari sesetengah masyarakat.

Lelong Syurga

Justeru itu saya amat menentang seorang ‘warga seberang‘ yang menggelarkan diri al-Banjari dengan kononnya memiliki beberapa kelebihan mendakwa bahawa sesiapa yang berjabat tangan dengannya, seakan berjabat tangan dengan Rasulullah s.a.w. Lantas sesiapa berjabat tangan dengannya akan masuk syurga. Demikianlah murahnya harga syurga yang dilelong olehnya. Dakwaan palsu ini dibuat olehnya dengan menggunakan hadis palsu kononnya Nabi s.a.w.bersabda:

“Sesiapa yang berjabat tangan denganku, atau dengan orang yang berjabat tangan denganku maka dia masuk syurga”. Maka setiap mereka akan berjabat tangan dengan guru mereka dengan dakwaan kononnya tangan tersebut telah berjabat dengan tangan sebelumnya secara berangkaian sehingga kepada Nabi s.a.w.

Sebenarnya, para ulama hadis telah mengingatkan tentang pembohongan hadis berkenaan. Kata al-Syeikh `Abd al-Fattah Abu Ghuddah dalam komentarnya bagi kitab Zafar al-Amani:

“Hadith musalsal (berangkai) berjabat tangan tersebut adalah batil dan dusta. Tiada asalnya dan tidak pernah wujud”. Katanya juga: “Tiada keberkatan bagi pendustaan dan pembohongan hadis ini ke atas Nabi s.a.w. tidak dikira ibadat menulis cerita dongeng ini melainkan dengan niat untuk memusnahkannya”. (m.s. 272, 273, Damsyik: Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyah).

Dalam Lisan al-Mizan Ibn Hajar al-Asqalani menyebut:

”Riwayat berjabat tangan Mu`ammar tidak akan diterima oleh orang yang berakal” (jilid 6, m.s. 68, Beirut: Muassasah al-`Ilm li al-Matbu`at,).

Ertinya begitu mudah orang kita ditipu dan tidak menggunakan akal yang waras dalam beragama. Al-Imam al-Sayuti (meninggal 911H) di dalam fatwanya bila ditanya mengenai hadis ini, beliau berkata:

“Mu`ammar adalah pendusta lagi dajal, hadithnya adalah batil, tidak halal meriwayatkannya”. (lihat: Tahqiq Zafar al-Amani, m.s.275).

Demikianlah mudahnya agama kita dilelong oleh orang lain hanya kerana terpengaruh dengan fesyen serban dan jubah warga berkenaan. Jikalaulah mereka sedikit berfikir; pada zaman Nabi s.a.w entah berapa ramai sahabah yang bersalaman dengan baginda, pernahkah mereka mendakwa demikian? Pernahkah mereka mengadakan majlis menjemput orang ramai bersalam dengan mereka untuk masuk syurga. Pernahkah ini dibuat oleh Abu Bakar, atau Umar, atau Uthman, atau Ali atau lain-lain? Saya dukacita apabila yang bangun bersalaman ialah orang-orang masjid dan ‘kaki dengar kuliah agama’. Sehingga saya tertanya-tanya; apakah segala pengajaran agama yang dipelajari gagal menjadikan mereka cerdik, atau sekurangnya menghidupkan fungsi akal mereka. Sedangkan agama datang untuk mencerdikkan akal bukan membodohkannya.

Barangan Khurafat

Demikian juga orang kita percaya adanya kayu atau rajah atau bahan tertentu mempunyai kesaktian tertentu. Ini seperti percaya dengan kayu kokka yang dijual di negara ini. Bahkan kayu tersebut dijual di Mekah dan Madinah oleh warga Bangladesh yang bertaburan di sana. Ramai pula yang membeli. Menggunakan nama agama lalu kayu itu dijual, kononnya tongkat Nabi Musa a.s dibuat daripadanya. Demikian juga kononnya bahtera Nabi Nuh a.s juga diperbuat daripadanya. Maka dibohongilah orang ramai kononnya kayu itu jika disimpan membawa rezeki, atau menolak bala dan berbagai kesaktian yang lain. Maka harga kayu tersebut yang beberapa ringgit di negaranya bertukar menjadi ratusan bahkan ribuan ringgit di negara kita. Padahal tidak satu dalil yang sahih pun dalam Islam mengenai kayu kokka tersebut. Mustahil pula untuk Islam membicarakan perkara yang bodoh seperti itu. Bahkan itu termasuk dalam sabda Nabi s.a.w.

“Sesiapa yang menggantung (tangkal) maka dia melakukan kesyirikan” (Riwayat al-Imam Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).

Menggantung di sini bermaksud menggantung sesuatu yang dipercayai dapat menangkis bala atau mendatang sesuatu kebaikan. Perbuatan itu di samping ia syirik, ia adalah satu kebodohan dan penipuan syaitan. Apabila saya mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai hal ini, ada yang hubungi saya dan minta tolong jangan ganggu bisnesnya. Begitu manusia, dia sanggup lelong agamanya demi bisnesnya.

Melebihi Nabi

Serupa dengan itu, atas nama agama dijual air dan barangan jampi yang pelik-pelik. Sehingga ada yang membuat bisnes air tertentu yang dijampi secara tulisan dan bacaan. Diberi pula nama yang berbagai-bagai. Kononnya itulah ajaran Islam. Saya tidak menafikan baginda Nabi s.a.w pernah menjampi penyakit seperti mana baginda juga berubat dengan bahan-bahan perubatan yang lain. Ini disebut dalam hadis-hadis yang sahih. Namun dakwaan bahawa dengan air atau kismis atau apa bahan-bahan jampi orang yang tidak pintar pun boleh dipintarkan, suami atau anak yang tidak baik perangainya boleh dipulihkan, ini sudah luar biasa lagi mengatasi Nabi s.a.w. sendiri. Baginda tidak menjampi kaum Quraish agar beriman, bahkan bapa saudaranya yang dekat dan dikasihi iaitu Abu Talib pun meninggal dalam keadaan kufur tanpa dijampinya. Kalau dengan menjampi manusia boleh berubah sikap, pasti Nabi s.a.w akan menjampi telaga zam-zam kerana itu sumber air Quraish ketika itu. Pasti Quraish akan berubah apabila terminum. Hal ini tidak berlaku dalam sirah baginda. Kalau benar ada orang boleh menjampi sehingga mengubah sikap manusia kepada baik, atau mencerdikkan manusia maka eloklah kita mengupahnya menjampi empangan-empangan air di negara ini agar semua rakyat menjadi baik dan cerdik. Ketahuilah sesungguhnya jalan untuk manusia mendapat hidayah adalah dakwah yang benar, keikhlasan hati penerimanya dan keizinan Allah s.w.t. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 256-257

(maksudnya): “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut, dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. Allah Pelindung (yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan-kegelapan kepada cahaya (iman). dan orang-orang yang engkar, penolong-penolong mereka ialah taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan-kegelapan. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya”.

Jampi Cerdik

Dalam hadis ada beberapa orang sahabah yang didoakan oleh Nabi s.a.w. agar diberikan ilmu dan kepandaian. Antaranya tokoh sahabah yang masih muda Ibn ‘Abbas r.a.huma yang baginda doakan untuknya :

Maksudnya: “Ya Allah! Ajarkanlah dia al-Kitab (al-Quran).(Riwayat al-Bukhari).

Ibn ‘Abbas benar-benar muncul sebagai tokoh ilmu pengetahuan, penafsir al-Quran dan sahabi yang alim yang menjadi rujukan umat. Namun Ibn ‘Abbas bukanlah seorang yang hanya menunggu hasilnya doa baginda datang bergolek seperti mana sesetengah pihak menunggu kesan bahan jampi. Sebaliknya sejarah mencatatkan kesungguhan beliau dalam berusaha memperolehi ilmu. Selain daripada berkesempatan mengambil ilmu secara langsung daripada baginda s.a.w selama tiga puluh bulan. Kemudian baginda wafat ketika umur Ibn ‘Abbas tiga belas tahun. Beliau terus mengambil hadith daripada para sahabah seperti ‘Umar ibn Khattab, ‘Ali, Mu’az, bapanya sendiri iaitu ‘Abbas, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf, dan ramai yang lain. (lihat: al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`, 3/332-337, Beirut: Maktabah al-Risalah). Maksudnya, doa Nabi s.a.w. memang dimakbulkan Allah melalui proses keilmuan yang sepatutnya.

Sebaliknya, keadaan sesetengah masyarakat muslim seakan cuba digula-gula dengan meminum atau memakan bahan jampi orang agama, maka akan berlaku keajaiban dalam kehidupan. Sepatutnya yang ditekankan adalah soal kesungguhan menuntut ilmu seperti yang difardukan oleh Islam. Malangnya dalam masyarakat muslim, kesungguhan membaca, memiliki buku, memenuhi perpustakaan, menulis bahan ilmiah tidak digembar-gemburkan, bahkan ‘orang lain’ mendahului kita. Tiba-tiba jampi menjadi cerdik pula yang mendapat publisiti dan dijual secara komersial. Tidakkah kita merendahkan Islam apabila orang bukan Islam melihat anak orang kita yang minum air jampi ‘ustaz’ tidak lebih cemerlang atau jauh ketinggalan dibandingkan anak ‘orang lain’ yang berbekalkan air mineral?. Janganlah kita lelongkan agama kerana bisnes kita.

Kilang Cetak Pahala

Menjelang bulan puasa, ramai pula yang buat bisnes borang atau kupon amalan tertentu yang kononnya jika dibeli maka pahala akan diposkan kepada arwah yang disebut namanya dalam borang atau kupon berkenaan. Maka seakan pahala akan dicetak oleh pengeluar borang untuk kegunaan arwah di alam barzakh dengan bayaran yang diupahkan. Entah kilang mana yang mencetaknya atau posmen mana yang mengirimnya, kita tidak pasti. Demikian mereka melelongkan agama sehingga ada individu tertentu yang mengaut keuntungan puluhan bahkan ratusan ribu ringgit dengan melelong pahala di bulan puasa. Seakan siapa duit banyak, maka selamatlah dia di akhirat. Dunia rasuah kita bagai menjelma juga selepas kematian. Nabi s.a.w. pernah memberi ingatan:

“Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Namun masyarakat kita ramai yang terpengaruh dengan perkara-perkara yang disebutkan ini kerana ingin jalan pintas tanpa usaha. Mereka ingin cerdik secara pintas tanpa belajar, kaya pintas tanpa usaha, masuk syurga pintas tanpa beramal dan seumpamanya. Golongan yang berkepentingan pula, mengambil kesempatan atas nama Islam. Kalau demikian cara kita beragama, maka tidak hairanlah jika ramai orang melayu suka ‘ali baba’kan segala peluang yang diberikan kepadanya.