Apabila seseorang berbicara tentang kebenaran, atau mempertahankan kebenaran maka dia hendaklah sedar bahawa dia lakukan tanggungjawab itu atas perintah Allah dan rasulNya. Tidak kerana dia mengharapkan habuan daripada manusia, atau kemasyhuran, atau kemenangan.

Kebenaran adalah kebenaran, ia tiada kaitan dengan kehendak diri sendiri atau kehendak orang lain. Justeru, insan yang jujur akan membela dan memperjuangkan kebenaran dan prinsip yang benar sekalipun terpaksa bercanggahan dengan kehendak dirinya, ataupun kehendak orang lain. Sekalipun dia menanggung rugi, atau dia ditentang oleh dunia sekelilingnya. Bak kata kata Rasulullah s.a.w:

“Katakanlah kebenaran walaupun ia pahit” (Riwayat Ahmad, Ibn Hibban, al-Hakim, dinilai sahih oleh al-Albani).

Dunia ini rosak jika manusia hanya membela kebenaran apabila dirasakan menguntungkan diri. Apabila kebenaran itu berpihak untuk dirinya atau puaknya, maka dengan lantangnya dia akan bangun menuntut kebenaran dan membelanya. Apabila kebenaran itu tidak berpihak kepada dirinya dan puaknya, maka dia akan sembunyikannya, atau mendiamkan. Bahkan lebih buruk ada memutar-mutarkan fakta dan dalil sehingga meminggirkan kebenaran apabila kebenaran itu kelihatan tidak menguntungkannya.

Golongan fanatik parti dan mazhab selalu melakukan perkara yang seperti ini. Dunia juga rosak apabila kebenaran itu dilacurkan untuk mendapatkan habuan atau keuntungan. Saya sendiri bertemu dengan ramai orang yang mempunyai kepentingan perniagaan yang meminta saya menggunakan nama dan pengaruh saya dalam bidang agama bagi melariskan bisnes mereka. Kata mereka ramai ustaz lain yang buat dan mereka mendapat faedah kewangan yang banyak.

Saya jawab kepada mereka, saya memang tidak berharta tetapi saya belum bersedia untung melelong agama. Nas-nas Allah dan rasulNya tidak patut diputarkan hanya untuk bergelar ‘hartawan’ di dunia yang sementara. Keadaan yang seperti ini juga menjadikan ramai mereka yang ikhlas menggeruni ‘politik kepartian’. Walaupun politik itu sebahagian daripada ajaran Islam, namun ‘politik kepartian’ mempunyai keadaan yang sangat berbeza.

Penilaian kepada kebenaran dan fakta dalam dunia politik kepartian banyak terikat kepada kehendak parti. Maka ramai di kalangan mereka yang bertukar-tukar cakap dan prinsipnya. Kesemuanya akan dijawab; “ini keputusan parti”.

Ertinya, menjadi pejuang kebenaran kerana Allah dan rasulNya, bukanlah kerja yang mudah. Allah menguji insan untuk insan membukti keikhlasan dirinya dalam membela ajaran tuhannya. Sehingga nyata siapa yang benar tujuan dan siapa pula yang berdusta atas dakwaannya.

Banyak rintangan dan halangan. Sebabnya, kebenaran itu tidak semestinya menjanjikan kemenangan di dunia yang fana ini. Entah berapa ramai para nabi dan pejuang yang dibunuh dan dibuang, hanya kerana kebenaran.

Jika Allah memberikan kemenangan kepada kebenaran pun, bukanlah semesti setiap pejuang itu berpeluang untuk menyaksikannya. Para Nabi ada yang dibunuh tanpa sempat melihat hasil kemenangan perjuangan. Para pejuang juga demikian. Betapa ramai para pembela dan pejuang kebenaran yang disiksa mati, dibunuh tanpa alasan, dibuang tanpa simpati, dipenjara tanpa dosa dan disisih tanpa sebab.

Kebenaran akhirnya akan menang, apabila syarat dipenuhi, namun masanya tidak ketahui. Para sahabah yang gugur syahid dengan penuh trajis di peringkat Mekah seperti Yasir dan Sumayyah tidak sempat melihat kejayaan umat Islam memerintah Madinah dan menewaskan para pemimpin Quraish yang bongkak yang menyiksa mereka.

Para sahabat yang gugur dalam peperangan mempertahankan Madinah seperti Hamzah bin Abd al-Muttalib dan selainnya tidak sempat melihat kejayaan Nabi s.a.w dan umat Islam membuka Kota Mekah. Bahkan Nabi s.a.w pada hayat baginda, umat Islam belum lagi menguasai Empayar Rom dan Parsi.

Ramai pejuang terkorban ketika perit menggalas amanah perjuangan. Ramai yang pergi menemui Allah sebelum mata sempat melihat pejuangan kebenaran menjatuhkan pejuangan kebatilan. Namun para pejuang yang ikhlas itu redha kerana mereka tahu itulah harga kebenaran.

Mereka tidak berjuang untuk menang dalam bahasa yang biasa. Mereka berjuang kerana titah perintah Allah dan itulah kemenangan hakiki. Kemenangan dunia hanyalah anugerah dan hadiah daripada Allah yang akan digunakan demi kepentingan menegakkan kebenaran.

Jika kemenangan dunia tidak disaksikan di hadapan mata, bukanlah bererti perjuangan kebenaran mesti ditinggalkan. Bayaran bagi pejuangan yang tulus itu adalah keredhaan Allah sekalipun tewas dan ditindas. Allah membeli perjuangan yang benar itu dengan syurga, bukan harta dunia.

Firman Allah: (maksudnya)

“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang yang beriman jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian adalah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah dalam Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar”. (Surah al-Taubah, ayat 111).

Sesiapa yang ingin berjuang menegakkan kebenaran, menyebarkan Islam yang tulen tanpa mengenal batasan kepentingan diri, puak, parti dan manusia keseluruhan perlulah nekad menggalas bebenan tersebut dengan penuh jujur. Ia adalah amanah. Membela dan menyokong kebenaran adalah tanggungjawab yang dipersoalkan Allah pada hari Kiamat kelak.

Namun ramai orang yang tersasar kerana merasakan tujuan mereka menyokong dan menyebarkan kebenaran adalah untuk mengecapi nikmat keuntungan dunia hasil dari kemenangan atau habuan yang bakal diperolehi. Maka bukan sedikit mereka yang bergelar pejuang Islam atau organisasi Islam yang telah mengubah halatuju dan prinsip apabila dirasakan buah yang hendak dipetik belum mahu masak.

Mengubah prinsip kebenaran kerana mengharapkan sokongan pihak lain amatlah buruk. Allah mengingatkan Nabi Muhammad s.a.w ketika menghadapi cabaran yang berbagai daripada para pembesar Quraish dengan firmanNya:

(maksudnya) “Dan sesungguhnya hampir mereka dapat memesongkanmu (Wahai Muhammad) dari apa yang Kami telah wahyukan kepadamu, supaya engkau ada-adakan atas nama Kami perkara yang lainnya; dan (kalau engkau melakukan yang demikian) tentu mereka menjadikan engkau sahabat karibnya. Dan kalaulah tidak Kami menetapkan engkau (berpegang teguh kepada kebenaran), tentulah engkau sedikit cenderung kepada kehendak mereka. Jika (engkau melakukan yang) demikian, tentulah Kami akan merasakanmu kesengsaraan yang berganda semasa hidup dan kesengsaraan yang berganda juga semasa mati; kemudian engkau tidak beroleh seorang penolong pun terhadap hukuman kami”. (Surah al-Isra, ayat 73-75).

Atas hubungan jiwa dengan teguh dengan wahyu, seorang pejuang kebenaran yang membawa arahan Islam akan terus memapah risalah kebenaran itu di kala senang atau susah, di saat di julang atau dibuang, samada dikeji atau dipuji, samada dipuja atau dihina, samada ketika di atas atau ketika ditindas. Kalah atau menang adat perjuangan, namun kebenaran adalah kebenaran.

Allah memuji mereka yang ikhlas seperti ini dan tetap pendirian. Firman Allah: (maksudnya)

“Antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun” (Surah al-Ahzab ayat 23).

Maka, Islam adalah agama perjuangan. Kita menjadi lemah pada hari ini disebabkan hilangnya semangat dan nilai perjuangan dalam beragama. Seseorang muslim itu kelihatan hilang atau tiada langsung sifat kecemburuan atau semangat dalam mempertahan dan membela kebenaran.

Sesetengah pihak itu seakan menjadikan Islam sekadar untuk dikatakan dia mempunyai agama, atau membolehkan dia berinteraksi dengan masyarakat. Tidak pernah diambil pusing tentang apakah dasar dan prinsip Islam. Apatah lagi untuk membela dan mempertahankannya.

Ada pula kelompok yang dipengaruhi oleh pemikiran ‘kesufian’ yang melepasi batasan yang patut sehingga Islam mereka dimandulkan. Apa tidaknya, mereka menganggap cukuplah Islam itu hanya berzikir atau beribadat sendirian. Mereka tidak memperdulikan apa yang berlaku kepada umat Islam dan nasib kepada kebenaran yang ditindas. Bahkan banyak ajaran kerohanian kesufian itu sendiri menyeleweng dari hakikat kebenaran.

Mereka ini hidup dalam kelompok zikir dan ‘cerita-cerita sakti’ mereka mengenai wali itu dan ini. Dihiasi agama mereka dengan hadis-hadis palsu yang memperuntukkan syurga dengan begitu murah. Amalan yang kecil diberikan pahala terlalu besar sehingga menafikan sifat Islam.

Ini seperti hadis-hadis palsu yang menyamakan amalan yang kecil dengan pahala para nabi, atau para syuhada. Inilah yang termuat dalam banyak buku-buku fadilat yang tidak berpegang kepada disiplin ilmu hadis.

Malangnya, buku-buku fadilat seperti ini menjadi kegemaran orang awam. Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah ( meninggal 643H) menyebut:

“Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. AlhamdulilLah”. ( Ibn al-Salah, `Ulum al-Hadith, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu`asir)

Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah pula ketika memperkatakan mengenai sebab-sebab kemunculan hadis palsu:

“ (sebab yang ke enam) bertujuan untuk menggalak orang ramai membuat kebaikan. Antara yang melakukan perbuatan ini ialah golongan jahil ahli zuhud dan tasawwuf. Mereka membenarkan untuk diri mereka pendustaan ke atas Nabi di dalam tarhib (ancaman dosa) dan targhib (galakan ibadah). Mereka menyangka kesesatan itu suatu kebaikan, mereka adalah manusia yang paling bahaya” ( Abu Syahbah, Al-Wasit fi `Ulum Mustalah al-Hadith, m.s.332, Kaherah: Dar al-Fikr al-`Arabi)

Sehingga tenggelam mereka yang terpengaruh dengan unsur kerohanian seperti ini, lantas membelakang nas-nas Islam yang meletakkan tanggungjawab yang besar ke atas setiap muslim untuk membela agama Allah. Firman Allah: (maksudnya)

“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (dalam perjuangan)? (surah Ali ‘Imran ayat 142).

FirmanNya juga:

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? mereka telah ditimpa kesusahan dan kemudaratan, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: “Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu hampir. (Surah al-Baqarah, ayat 214).

Barangkali ramai di kalangan umat Islam yang dimabukkan dengan anggapan bahawa beragama itu memadailah dengan mengamalkan beberapa amalan dan kemudian biarlah dunia ini apa pun akan berlaku. Tiada pembelaan untuk Islam, tiada pembelaan untuk kebenaran.

Lebih buruk lagi, sesetengah aliran kerohanian pula menjadi menjelma bagaikan ajaran kerahiban. Agamawan itu bagai pendeta yang bertapa tanpa mengambil berat tentang masyarakatnya. Inilah yang menyebabkan Dr Yusuf al-Qaradawi mengkritik ajaran tasawwuf yang menyimpang dari sifat asal Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Kata al-Qaradawi:

“Para pengkaji tidak boleh membantah bahawa tasawwuf telah terpengaruh –pada tahap tertentu- unsur-unsur asing, samada anasir Kristian, Hindu, Parsi atau Yunan, juga unsur-unsur Islam. Dalam tempoh masa sekian lama, telah masuk ke dalam tasawwuf pemikiran yang pelik daripada sumber-sumber yang disebutkan tadi atau selainnya. Sehinggakan sebahagian tasawwuf sampai ke peringkat percaya kepada al-hulul, atau al-ittihad , atau wahdah al-wujud. Sebahagian mereka pula bercakap mengenai qidam nur Muhammad atau yang mereka namakan al-hakikat al-Muhammadiyyah (hakikat Muhammad). Juga mereka bercakap mengenai kewalian, para wali, kasyaf, mawajid , zauq dan berhukum dengan perkara-perkara tersebut dalam nas-nas agama. Mereka memisahkan hakikat dan syariat, berpegang bahawa dalam mendidik murid tasawwuf hendaklah dia di hadapan gurunya bagaikan mayat di hadapan orang yang memandikannya. Mereka melampaui batas dalam zuhud dan apa yang berkaitan dengannya sehingga ke peringkat terkeluar dari kesederhanaan Islam kepada kerahiban Kristian”.( Dr. Yusuf al-Qaradawi, Thaqafah al-Da`iyah, m.s. 94-95, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Pemikiran yang seperti ini telah menghalang sifat perjuangan dan membela kebenaran yang hakiki.