“Satu hakikat yang sukar untuk dinafikan oleh sesiapa pun adalah UMNO pada hari ini begitu tenat dengan berbagai penyakit yang tidak putus mengunjungi tubuh parti itu. Sebagai seorang rakyat dan pengkaji Islam, saya rasa beberapa cadangan perlu dikemukakan kepada UMNO, mudah-mudahan penyakitnya itu boleh diubati. Cadangan ini perlu dibuat di atas sebab di tangan parti tersebut masih ada kuasa pemerintahan yang mana pergolakannya akan memberi kesan kepada sekelian rakyat. Berikutnya, kembalinya parti tersebut kepada landasan yang betul dapat menyelamat umat Islam yang berada dalamnya.

Saya dengan ini mencadangkan agar UMNO mengambil langkah berani dengan menubuh Majlis Ulama parti berkenaan. Namun, penubuhan itu bukan sekadar mengujud sebuah replika tanpa fungsi, sebaliknya hendaklah Majlis Ulama tersebut berperanan membimbing perjalanan parti selaras dengan kehendak Islam dalam segala aspek. Tokoh-tokoh agamawan yang jujur, amanah dan progresif yang cintakan parti itu diberi kebebasan untuk membetulkan UMNO. Sekaligus kemelayuan UMNO itu akan kelihatan begitu terikat dengan prinsip-prinsip Islam secara syumul. Jika tidak, dengan pergolakan yang ada sekarang UMNO akan terus kehilangan ruh islami. Sebaliknya, ia akan menjadi padang perlumbaan kuasa yang sebahagian besar mereka bercita-cita mengaut kekayaan harta.

Dengan wujudnya Majlis Ulama yang progresif, diharapkan ahli-ahli UMNO sentiasa berada dalam disiplin dan diberi kesedaran tentang tanggungjawab kuasa adalah bagi melaksanakan amanah Allah dengan bijaksana dan jujur. Namun hendaklah dipastikan bahawa Majlis Ulama itu didokongi oleh mereka yang tidak takut melainkan Allah, bukan ulama fulus yang dalam sejarah UMNO telah banyak merosakkannya”.