Kadang kala penggunaan istilah yang salah boleh membawa kesan yang sangat buruk kepada kefahaman orang lain terhadap sesuatu perkara. Lebih malang lagi jika ia membabitkan kefahaman orang terhadap agama. Dalam pemerhatian saya, antara fahaman yang buruk yang membabitkan agama ialah menjadikan melayu nama ganti kepada Islam, dan cina sebagai ganti kepada kafir. Maka ada orang melayu yang menyatakan kepada orang yang baru menganut Islam “masuk melayu”, atau kadang kala mereka sebut “bukan Islam, cina!!”. Seakan-akan bagi mereka cina mewakili kafir, melayu mewakili Islam. Sehingga lebih buruk lagi apabila mereka melebel sepanjang hayat seorang bukan muslim yang berbangsa cina jika menganut Islam sebagai muallaf , lebih buruk dalam loghat utara ‘mat loh’.


Seakan-akan hanya melayu sahaja yang dapat jadi muslim sejati, adapun seorang cina walau macamana kuat pun Islamnya, dia tetap dianggap sebagai menumpang atau ‘tidak asli’. Padahal banyak orang cina yang menganut Islam dan keislaman mereka begitu baik, dan berapa banyak pula orang melayu yang lahir dalam keluarga muslim, namun keislaman mereka harus dan wajar dipertikaikan.

Kain pelikat, baju melayu dan sampin bukan pakaian Nabi s.a.w. Namun orang melayu menganggap ianya pakaian berunsur agama, kerana ia budaya melayu. Ya!Islam juga tidak menghalang budaya yang tidak menyanggahi nas-nasnya. Namun seketika dahulu orang melayu menganggap salah jika makan dengan ‘cop stick’, kerana menyamai budaya orang cina.

Walaupun tiada beza antara makan dengan cop stick dengan makan menggunakan sudu dan garpu Inggeris. Apa yang Nabi s.a.w. suruh ialah menyebut nama Allah, menggunakan tangan kanan dan makan bahagian yang sudah diperuntukkan, atau yang hampir. Ini seperti sabda Nabi s.a.w kepada ‘Umar bin Abi Salamah waktu dia hendak makan, ketika itu dia masih kecil: “Wahai budak! Sebutlah nama Allah, makan dengan tangan kananmu dan makan apa yang dekat denganmu”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Orang melayu akan suruh orang cina yang menganut Islam menukar nama mereka, lalu diganti dengan nama arab. Seakan nama seperti Ah Chong, Ah Seng, Lim, Koh, mewakili kekufuran. Mungkin kerana tidak berbunyi arab, lalu orang melayu rasa janggal. Malangnya orang melayu tidak merasa janggal dengan nama Awang, Leman, Seman dan yang seumpamanya yang semuanya bukan bahasa arab. Bahkan banyak nama melayu yang tidak ada makna pun dalam bahasa arab.

Lebih daripada itu, ada yang maknanya buruk jika diterjemahkan ke dalam dalam bahasa arab. Pun tidak mengapa kerana itu nama-nama pilihan melayu. Apakah melayu itu Islam, Islam itu melayu!!. Nabi s.a.w sendiri tidak menyuruh mereka yang menganut Islam pada zaman baginda mengubah nama, melainkan nama-nama yang membawa makna yang tidak baik. Nama ‘Umar itu sejak zaman jahiliyyah lagi dan itulah namanya apabila dia menganut Islam. Demikian juga kebanyakan para sahabah yang lain.

Saya tidak membantah orang cina yang ingin mengubah nama. Apatah lagi jika dengan mengubah nama itu menjadikan mereka kelihatan hampir dengan masyarakat Islam di seluruh peringkat. Namun mereka mesti diberi pilihan. Jika mengubah nama menjadikan orang cina yang non-muslim takut untuk menganut Islam, seakan terbuang dari keluarganya yang asal dan hilang hubungan kerabat, apa salahnya mereka kekal dengan nama asal?!!. Jika Awang boleh kekal, mengapa Ah Chong tidak?!!.

Anggapan yang men‘seiras’kan Islam dengan watak melayu sangat buruk kesannya dalam banyak hal. Apatah lagi apabila watak bangsa melayu sekarang sebahagiannya bertentangan dengan Islam. Sementara banyak watak bangsa cina banyak padanya akhlak dan tabiat yang dipuji oleh Islam. Cumanya kelebihan yang tidak dapat dipertikaikan, ramai orang melayu bariktikad dengan akidah Islam berbanding dengan orang cina di Malaysia ini. Aqidah yang sahih adalah penyelamat utama kehidupan akhirat.

Namun tidak boleh dinafikan, ramai melayu yang hanya bernama dengan nama seorang muslim, sedangkan keimanannya kepada Allah dan RasulNya kadang-kala telah lama musnah. Betapa banyak melayu melakukan syirik, mempersendakan hukum-hakam Allah dan sunnah RasulNya. Melayu jenis ini hanya bernama dengan nama muslim, tetapi tidak berada dalam daerah iman, atau dalam kata lain terbatal imannya.

Orang cina pula, disebabkan fonomena sejarah, menjadikan majoriti mereka tidak menganut Islam di Malaysia ini. Seruan Islam mungkin tidak jelas sampai ke pengetahuan mereka. Ditambah lagi orang melayu yang menganut Islam ini tidak menyampaikan dakwah yang jelas. Sebaliknya dalam banyak hal mempertontonkan kepada mereka watak-watak yang menyanggahi Islam.

Orang melayu boleh berbincang bermacam-macam perkara dengan orang cina, termasuk mengajak undi parti pilihan mereka. Namun mereka tidak mampu membincangkan mengenai kehebatan Islam, dan mengajak orang cina menganut agama pilihan mereka. Bahkan sikap-sikap melayu yang banyak tidak seiras dengan Islam telah menjadikan sebahagian besar orang cina salah faham terhadap Islam, atau merasa jelek untuk menganut Islam.

Sifat ‘tidak rajin’, kurang berusaha, berdendam kesumat dan seumpamanya adalah sifat-sifat yang diperangi oleh Islam. Malangnya, banyak sifat-sifat ini terlihat pada diri masyarakat melayu. Ramai pelajar melayu yang lemah serta ketinggalan dalam pelajaran dan ilmu pengetahuan. Jika mereka bersaing dengan pelajar cina, samada di sekolah atau universiti, dalam banyak keadaan pelajar melayu kecundang. Hinggakan dalam persoalan ilmu-ilmu Islam, orang melayu tidak berminat dengan ilmu Islam yang tulen.

Mereka lebih minat cerita-cerita Israiliyyat, cerita dongeng, petua-petua yang tidak bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Mereka lebih suka maklumat yang diperolehi secara mudah tanpa fikir dan kaji. Perpustakaan-perpustakaan awam dan buku-buku, nisbah orang melayu yang menggunakannya dan membaca masih lagi nipis. Lebih buruk lagi, dalam masa pelajar-pelajar cina berusaha dalam pelajaran mereka, pelajar-pelajar melayu ramai pula yang cuai. Namun begitu apabila hampir kepada tarikh peperiksaan sesetengah ibubapa melayu akan mencari kismis jampi atau air jampi ustaz untuk menghasilkan keputusan yang cemerlangan.

Hasilnya, apabila keputusan peperiksaan keluar, pelajar yang berusaha tentu lebih cemerlang daripada yang hanya bergantung dengan air atau kismis jampi. Kalau orang cina yang belum Islam tersalah faham tentang Islam dengan menganggap perbuatan pelajar melayu yang bergantung dengan air yang dianggapnya agama Islam, lalu mendapat keputusan yang kurang baik daripadanya, tentu dia menolak Islam.
Islam tidak mengajar hanya berjampi untuk menjadi cerdik.

Dalam hadith ada beberapa orang sahabah yang dido`akan oleh Nabi s.a.w. agar diberikan ilmu dan kepandaian. Antaranya tokoh sahabah yang masih muda Ibn ‘Abbas r.a.huma yang baginda doakan untuknya : “Ya Allah! Ajarkanlah dia al-Kitab (al-Quran).(Riwayat al-Bukhari). Ibn ‘Abbas benar-benar muncul sebagai tokoh ilmu pengetahuan, penafsir al-Quran dan sahabi yang alim yang menjadi rujukan umat. Namun Ibn ‘Abbas bukanlah seorang yang hanya menunggu hasilnya doa baginda datang bergolek, sebaliknya sejarah mencatatkan kesungguhan beliau dalam berusaha memperolehi ilmu.

Selain daripada berkesempatan mengambil ilmu secara langsung daripada baginda s.a.w selama tiga puluh bulan. Kemudian baginda wafat ketika umur Ibn ‘Abbas tiga belas tahun. Beliau terus mengambil hadith daripada para sahabah seperti ‘Umar ibn Khattab, ‘Ali, Mu’az, bapanya sendiri iaitu ‘Abbas, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf, Abu Sufyan, Abu Zar, Ubai bin Ka’b, Zaid bin Thabit dan lain. Berguru al-Quran dengan Ubai bin Ka’b dan Zaid bin Thabit. (lihat: al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`, 3/332-337, cetakan: Maktabah al-Risalah, Beirut).

Ertinya terlaksananya kehendak Allah dengan peraturan yang Allah tentukan untuk alam ini, iaitu sebab musabab. Ilmu datang dengan usaha dan kesungguhan. Para ulama seperti al-Imam al-Bukhari (w. 256H), al-Imam al-Syafi‘I (w. 204H), Ibn Taimiyyah (w. 728H) dan seumpama mereka mereka menjadi jaguh ilmu setelah bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya.

Ditanya al-Imam al-Syafi‘i. Dalam Tawali al-Ta`nis bi Ma‘ali Muhammad bin Idris karangan Ibn Hajar al-Asqalani (w. 852H); kata Ibn Abi Hatim: “Aku mendengar al-Muzani (murid besar al-Imam al-Syafi‘I) berkata: “Ditanya kepada al-Syafi‘I: Bagaimana perasaan inginanmu terhadap ilmu?. Jawabnya: “Apabila aku mendengar satu perkataan yang belum pernah aku dengar, maka seluruh anggota inginkan jika mereka memiliki pendengaran agar dapat menikmati apa yang dinikmati oleh kedua telinga”. Bagaimana halobamu terhadap ilmu?. Jawabnya: “Seperti haloba pengumpul harta yang begitu menjaganya dalam mencapai kelazatan hartanya”. Bagaimana keadaan engkau mencari ilmu?. Jawabnya : “Seperti pencarian seorang wanita yang kehilangan anak tunggal”.

Demikianlah juga Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah yang disebut oleh muridnya al-Imam Ibn al-Qayyim (w. 751H) bahawa karangan gurunya mencapai 350 buku. Beliau dikatakan sentiasa mendampingi ilmu. Hidupnya dengan ilmu. Dalam Raudah al-Muhibbin Ibn al-Qayyim menyebut : “Syeikh kami (Ibn Taimiyyah) menceritakan kepadaku: “Apabila aku sakit, tabib menyatakan kepadaku : “Sesungguhnya mentelaahmu dan cakapmu dalam ilmu pengetahuan menambahkan sakitku”. Jawabku: “Sesungguhnya aku tidak sabar untuk itu. Aku ingin menilai pandanganmu dengan ilmu perubatanmu; tidakkah jiwa apabila ia gembira dan suka maka tabiatnya menjadi kuat dan menolak penyakit?”. Jawab dia: “Ya”. Aku berkata: “Sesungguhnya diriku bergembira dengan ilmu, maka tabiatnya menjadi kuat, lalu aku mendapati kerehatan”.

Demikianlah para ulama yang cemerlang. Mereka tidak bergantung kepada air jampi atau pensel dan pemadam jampi sebelum memasuki peperiksaan. Juga tidak air surah Yasin yang masyarakat melayu sering meminum airnya dengan melupakan kandungan ayat-ayatnya. Generasi lalu cemerlang kerana mementingkan ilmu dan ikhlas kepada Allah dalam menuntutnya. Bukan hanya mementingkan sijil. Sikap mereka yang ikhlas terhadap ilmu dan berusaha agar benar-benar cemerlang dalam bidang yang diceburi membawa Islam gemilang dan terbina tamadun ilmunya.

Ramai anak melayu yang hanya mementingkan sijil tetapi tidak kualiti ilmunya. Akhirnya ramai yang mendapat sijil, namun tidak tertonjol kualitinya. Maka lahirlah golongan yang tiada sijil dan ada ilmu, dalam masa yang sama yang lebih malu ialah golongan yang ada sijil, tiada ilmu. Ini kerana mungkin mereka membaca sekadar untuk menjawab peperiksaan, apabila tamat peperiksaan ilmu pun hilang. Kalaulah air jampi benar-benar berfungsi tanpa perlukan kesungguhan ilmu tetapi akan betul dalam peperiksaan, maka itu tentu akan melahirkan lebih ramai pelajar lulus atau berjaya tanpa ilmu.

Kita kadang-kala patut memuji masyarakat cina. Ada anak-anak orang cina yang tidak tinggi persekolahan mereka, tetapi mempelajari sesuatu bidang dengan tekun sekali tanpa sijil. Mereka samada mewarisi ilmu ibubapa mereka, atau membelajarinya secara praktikal daripada orang lain. Maka ramai mekanik cina yang sijilnya tidak tinggi tetapi maju.

Demikian juga kebanyakan taukeh-taukeh besar cina yang pakar dalam berbagai-bagai bidang peniagaan sekalipun tanpa sijil rasmi. Mereka terus mencari peningkatan. Tabiat kesungguhan ini adalah sesuatu yang disukai oleh agama. Agama menggalakkan agar kita sentiasa bergantung kepada Allah dan menambah ilmu. Firman Allah (maksudnya) “Katakanlah: Wahai tuhan! Tambahkan daku ilmu” (Surah Taha:113).

Walaupun ustaz melayu dan orang melayu selalu membaca hadith palsu “Tuntutlah ilmu walaupun ke negeri China” (Ini hadith yang palsu seperti yang disebut oleh para ulama. Lihat: Al-Jarrahi, Kasyf al-Khafa` 1/138, cetakan Dar Ihya al-Turath al-`Arabi, Beirut/ / Nasir al-Din al-Albani, Silsilah ad-Dha`ifah wa Al-Maudu`ah, 1/600, cetakan: Maktabah al-Ma`arif, Riyadh.). Orang cina tidak membaca hadith palsu ini, namun mereka bertungkus lumus menuntut ilmu. Budaya membaca di kalangan orang cina lebih kuat daripada orang melayu.

Islam agama yang hebat. Agama yang mengajar penganutnya amanah, dan tepat janji. Kalau seorang berniaga dia amanah dan tepat. Islam pentingkan kebersihan sehingga mensyaratkan kesucian dan kebersihan di dalam solat seorang muslim. Diharamkan perkara yang keji atau jelik. Diharamkan mendatangi isteri ketika haid. Diharamkan bangkai dan kekotoran. Ini semua membimbing seorang hidup muslim. Lihat firman-firman berikut :

Firman Allah dalam menggambarkan ciri-ciri mukmin sejati : (maksudnya) “Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya” (Surah al-Mu`minun:8)

Firman Allah tentang mengharamkan perkara-perkara yang jelik :(maksudnya) “ Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Surah al-‘Araf :157)

Sabda RasululLah s.a.w : “Jauhilah neraka walaupun dengan (bersedekah) setengah biji tamar. Jika kamu tidak dapati, maka dengan perkataan yang baik”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam perniagaan jika ruh dan semangat ini dibawa bersama, tentu orang melayu yang beragama Islam akan maju. Kedai atau perniagaannya tentunya bersih, barangannya terjamin halal, janjinya tepat, dan penampilannya di hadapan pelanggan memuaskan hati. Ini membawa keberkatan dan sekaligus dengan izin Allah kemajuan dalam perniagaannya.

Malangnya, ramai melayu yang tidak mengambil ruh Islam dalam usahanya, sebaliknya ada yang percayakan kemunduran perniagaannya hanya kerana “buatan orang” atau “angkara dibomohkan”. Saya tidak menolak wujudnya sihirnya. Al-Quran dan al-Sunnah mengakui kewujudannya dengan izin Allah. Namun setiap kali seseorang itu tidak laris atau bermasalah, dikaitkan dengan sihir yang sebahagian besarnya adalah dogengan bomoh, lalu dituduh orang itu dan ini. Beratus, mungkin beribu ringgit pulak terpaksa dibelanjakan untuk menaja jampi penangkis daripada bomoh-bomoh yang dianggap handal.

Saya pernah ke sebuah kedai makan, lalu dia mengadu kepada saya bahawa kedainya kena sihir sehingga tidak laku. Saya secara kebetulan –alhamdulillah- mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan mengenai sihir dan cara mengatasinya, mendapati tiada kesan-kesan boleh diangggap begitu. Sebaliknya, apa yang saya dapati, pengurusannya lembab, kurang bersih dan makanannya tidak enak. Dia melupakan ini semua lalu menuding jari ke pihak lain. Kalau benar ada bomoh yang hebat sehingga membangkrapkan peniagaan orang lain, suruh sahaja dia membangkrap barangan Amerika, tidak susah-susah kita nak boikot.

Bagaimana mungkin dalam keadaan seperti ini orang melayu ingin membawa Islam kepada orang cina yang belum muslim dan menceritakan Islam telah membentuk insan menjadi berkualiti. Sebaliknya, ramai peniaga cina jika dibandingkan dengan peniaga melayu lebih berkualiti pengurusannya dan menampilkan ciri-ciri yang boleh dibangga oleh pelanggan. Sehingga ramai orang melayu sendiri lebih percaya dalam banyak perkara kepada kualiti peniaga cina daripada bangsanya sendiri. Di mana ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf , sahabi yang selalu dicanangkan sebagai contoh kepada umat Islam dalam perniagaan?!!. Mungkin orang cina yang majoritinya bukan muslim lebih menghayati watak tersebut daripada melayu.

Kebelakangan ini sudah agak ramai orang melayu yang terlibat dengan perniagaan dan menghasilkan keluaran sendiri. Namun jika kita perhatikan ianya masih dalam lingkungan yang sama. Kebanyakannya keluaran orang melayu masih berkaitan dengan ubat. Paling tidak dilupai ubat tenaga batin. Ada yang jual kismis jampi, kononnya dengan memakan akan jadi jadi cerdik dan bijak. Sebenarnya tiada satu hadith yang sahih pun yang menyebut demikian. Namun apa yang saya bimbang, orang akan menganggap orang melayu kebelakangan ini penuh dengan berbagai penyakit badan dan kelemahan akal. Dimanakah tanggungjawab fardu kifayah untuk memenuhi umat jika perniagaan kita masih sekitar “tenaga batin?!!”.

Dalam ceramah agama, ada ramai juga ustaz-ustaz melayu masih lagi bermodalkan cerita dongeng dan kartun. Di samping riwayat Israiliyyat dan hadith-hadith palsu yang dibaca di dalam masjid dan surau, mereka menokok tambah kejadian-kejadian pelik untuk menarik perhatian pendengar. Cerita mayat jadi itu dan ini menjadi modal murahan. Dengan tidak dinafikan Allah mampu melakukan segala-galanya, namun sejarah menunjukkan Allah tidak bertindak kepada umat NabiNya yang akhir seperti mana kepada umat yang sebelumnya. Kalau Allah mahu, tentu mayat Abu Jahal, atau Abu Lahab terlebih dahulu akan menjadi contoh. Kedua-dua tokoh kekufuran itu, tidak juga mati terkejut, atau kerana penyakit misteri disebabkan kejahatan mereka.

Sebaliknya kaum musliminlah yang berjihad dan menghapuskan keduanya di medan pertempuran. Islam meminta usaha, bukan menunggu tindakan Allah tanpa usaha. Firman Allah mengenai cabaran musyrikin terhadap Nabi s.a.w (maksudnya): Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan bagi kami matair dari bumi. Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus. Atau engkau gugurkan langit berkeping-keping ke atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya. Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya. Katakanlah (wahai Muhammad): “Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?”. Dan tiadalah yang menghalang orang-orang musyrik itu dari beriman ketika datang kepada mereka hidayah petunjuk, melainkan (keingkaran mereka tentang manusia menjadi Rasul, sehingga) mereka berkata dengan hairan: “Patutkah Allah mengutus seorang manusia menjadi Rasul?” (Surah al-Isra`: 90-94).

Demikian baginda s.a.w sendiri mampu membuat apa yang dicabar tanpa keizinan Allah. Mereka meminta langit berkeping-keping turun ke atas kepada mereka, namun menjawab “Aku hanya seorang insan yang diutuskan menjadi rasul”. Allah s.w.t Yang Maha Bijaksana tidak pula memusnahkan kaum musyrikin dengan apa yang mereka minta, sebaliknya dijadikan kemusnahan mereka melalui sebab perjuangan golongan yang beriman. Apa yang pelik sesetengah ustaz atau penceramah agama itu membawa cerita yang jauh berbeza dengan tabiat sirah Nabi dan para sahabah. Kononya orang ini mayatnya jadi begini kerana tidak datang masjid, atau kerana terlalu kedekut dan seumpamanya. Yang ini pula tangannya lumpuh, atau berpenyakit badan kerana tidak mahu pergi haji.

Mereka mengandaikan perkara yang tidak pasti. Boleh jadi seseorang yang sakit itu kifarah Allah ke atasnya kerana dosa tertentu. Namun boleh jadi juga di atas hikmah yang lain. Ramai orang salih juga sakit. Adapun cerita mayat jadi itu dan ini, kebanyakan andaian atau tokok tambah. Apa yang membimbangkan, ada media massa yang mengambil kesempatan lalu menjadikan tajuk-tajuk sebegini sebagai penarik pembaca setiap keluarannya. Sehingga seorang cina yang bukan muslim membaca dan berkata: “Teruknya orang melayu, mati macam-macam jadi. Kita orang cina melayu cakap kafir pun tak jadi ini macam. Kalau macam ini tak boleh masuk melayu punya agama laa. Bahaya! Nanti tuhan selalu marah punya, mati pun tak boleh senang”.

Nyata, kadang-kala Islam melayu merosakkan kefahaman orang lain. Sepatutnya kesemua ustaz mengajar secara ilmiah dengan rujukan yang muktabar dan diyakini. Bukan merekacipta, atau mengutip cerita-cerita di jalanan untuk popular.

Jumlah orang melayu yang terlibat dengan dadah jauh lebih banyak daripada cina. Sehingga saya begitu pelik, jumlah orang melayu di Singapura lebih sedikit daripada orang cina, namun begitu, jumlah mereka yang terlibat dengan ‘benda haram’ itu tetap dipegang rekodnya oleh orang melayu. Bagaimana Islam hendak dikembangkan??!.

Banyak lagi kalau hendak diperkatakan. Sehinggakan saya terfikir, kalaulah melayu tidak memiliki aqidah Islam, tiada apa lagi yang istimewa untuk dibanggakan. Kalau orang cina mendapat aqidah Islam yang sahih, banyak perkara yang mereka miliki membantu kekuatan Islam. Justeru itu menjadi tanggungjawab kita berusaha mengislamkan majoriti orang cina. Biar mereka kuasai negara ini, asalkan mereka mukmin yang beriman kepada seluruh ajaran Islam.

Dengan sedar saya katakan setiap bangsa ada kekurangan dan kelebihan. Bukan tidak ada sifat-sifat melayu yang baik, banyak juga. Bukan tidak ada sifat-sifat cina yang buruk, ada. Namun orang melayu yang kebanyakan dianugerahkan Allah Islam, sepatutnya menonjolkan ciri-ciri yang baik lebih jelas dan nampak dibandingkan orang cina. Namun realiti menunjukkan sebaliknya.