“Banyak pihak mengadu kepada saya mengenai Slot Sirah dalam Rancangan al-Hidayah TV3 yang dikendali oleh seorang ‘ustazah’. Saya tidak dapat memberi respon sebelum ini kerana tidak berkesempatan menontonnya. Pada 13hb Julai 2008 yang lepas saya berkesempatan menontonnya pada waktu pagi. Ternyata apa yang menjadi kegusaran banyak pihak itu benar. Ustazah berkenaan telah menceritakan tentang Nabi ‘Isa a.s. tanpa berdasarkan sumber-sumber yang sahih. Bahkan kisah itu dibaluti dengan kekarutan yang amat sangat. Beliau mengisbatkan bahawa Maryam ibu Nabi Isa wafat sebelum Nabi a.s. dan mengemukakan kisah yang tiada sumber yang sah daripada al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Bahkan bertentang juga dengan Bible. Kemungkinan besar beliau mengutip kisah ini daripada laman web Syiah sempena Perayaan “Mengingati Kewafatan Maryam” yang diraikan oleh Syiah Imamiyyah. Kecenderungan penceramah-penceramah sebegini mengambil sumber-sumber yang tidak sahih tentang agama; -termasuk hadis palsu dan riwayat Israiliyyat – boleh mengelirukan orang awam mengenai Islam yang sebenar. Oleh itu orang ramai diminta berhati-hati dalam mempercayai kisah-kisah yang dimuatkan dalam rancangan tersebut”.