“Tiada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau menyuruh berbuat kebaikan, atau menyuruh perdamaian antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar” (Surah al-Nisa’: ayat 114).

Beberapa media menyiarkan rayuan saya agar empat tokoh utama negara duduk semeja untuk berbincang atas semangat ukhuwwah islamiyyah (persaudaraan Islami) tentang masa depan umat Islam di negara ini khususnya dan juga masa depan rakyat keseluruhannya. Mereka ialah Tun Mahathir Mohammad, YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan YAB Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Saya tidak merayu agar mereka merongkai pandangan politik mereka, atau membubarkan parti mereka, sebaliknya hadir berbincang atas arahan Allah dalam al-Quran: (maksudnya) “Tiada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau menyuruh berbuat kebaikan, atau menyuruh perdamaian antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar” (Surah al-Nisa’: ayat 114).

Walaupun bisik-bisikan itu dalam banyak keadaan sedap didengar. Enak untuk diperkatakan. Berselera untuk dihidangkan bersama jamuan. Cerita politik boleh menelan masa manusia berjam-jam mengulas dan mengandai berbagai kemungkinan. Namun saya yakin, semua itu ada tahap ketepuannya.

Apatah lagi jika perbalahan politik menghakis kepentingan umat dan mencorak masa depan yang kabur. Apabila sampai ke tahap tersebut, telinga akan mula letih mendengar, perasaan akan mula jemu, kebencian kepada semua pihak yang berbalah akan mula timbul. Tindakan yang diperintahkan oleh al-Quran dalam mengatasi berbagai gosip dan cerita yang dibawa ke sana sini dalam masyarakat Islami ialah dengan dihidupkan unsur-unsur baik dan harmoni yang dapat mengatasi unsur-unsur kabur.

Jika keadaan itu tidak dikawal, masyarakat Islami akan hilang tumpuan, tenggelam dalam bisik-bisikan yang selalunya tidak pasti di manakah kesudahannya. Lebih buruk lagi, apabila orang lain mengambil kesempatan untuk menghakis kepentingan dan kekuatan umat ini.

Seperti mana yang kita saksikan, pilihanraya telah berlaku. Hak rakyat telah pun direalisasikan atas kertas undi. Keinginan rakyat untuk menghukum mereka yang sombong lagi takabur serta menyusahkan rakyat telah pun terlaksana. Kehendak supaya mereka yang berkuasa menghormati hak dan perasaan rakyat mula dihormati dan digeruni oleh setiap yang memiliki kuasa politik di tangannya.

Namun, saya percaya dalam piliharaya yang lalu, umat Islam–dibandingkan mereka ‘yang lain’- agak kurang menjangka keputusannya. Justeru, keputusan agak kurang tersusun, lantas dalam sebahagian keadaan menjadikan umat Islam agak terdesak. Sementara ‘orang lain’ terus menuntut berbagai-bagai perkara.

Lebih daripada itu, mereka mula bersatu menuntut perkara-perkara yang menggusarkan umat Islam dan identiti Islam bagi negara ini. Itu tidak pelik, memanglah setiap pihak akan menuntut kehendaknya apabila dirasakan ruang itu ada, atau wujud unsur keterpaksaan di pihak yang dituntut untuk melunaskan tuntutan. Mereka mungkin menganggap, ini adalah musim yang sesuai untuk menuai.

Apakah dalam keadaan yang seperti tidak boleh para pemimpin-pemimpin kita ini, atas semangat persaudaraan Islami duduk seketika berbincang? Bukan untuk meleburkan identiti masing-masing, tetapi mungkin ada bab atau isu yang mereka semua patut berpakat dalam diam atau nyata demi kepentingan umat. Jika pun tidak boleh dalam semua isu, biarlah asas-asas utama yang membabitkan masa depan umat tidak tergadai dalam pertembungan politik hari ini.

Allah menyebut sikap kita terhadap golongan yang beriman apabila berperang antara satu sama lain. Firman Allah: (maksudnya) “Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah antara keduanya; jika salah satunya berlaku melampau terhadap yang lain, maka perangilah puak yang melampau itu sehingga mereka kembali mematuhi perintah Allah; jika mereka kembali patuh, maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” (Surah al-Hujurat: ayat 9-10).

Ayat ini memerintahkan agar kita damaikan dua puak yang berperang. Perbalahan politik atau selainnya pun sama. Ia patut didamaikan demi persaudaraan Islami. Apatah lagi jika membabitkan kepentingan umat. Juga diperintahkan kita, jika ada puak yang melampaui batas ke atas pihak yang lain dalam perbalahan atau peperangan tersebut, maka perangilah yang melampaui batas itu.

Kata al-Imam al-Tabari ( meninggal 310H): “Jika sekiranya salah satu puak yang berperang itu enggan menyahut untuk berhukum dengan Kitab Allah -sama ada dalam perkara yang berpihak kepadanya atau tidak berpihak kepadanya- dan melampau keadilan yang Allah tetapkan untuk hamba-hambaNya, sementara pihak yang satu lagi bersetuju untuk tunduk, maka perangi puak yang melampau itu” (Al-Tabari, Tafsir al-Tabari, 22/292, Beirut: Muassasah al-Risalah). Duduk semeja berunding juga membolehkan rakyat membuat keputusan jelas siapa yang patut dihukum sebagai pelampau!

Jika pilihanraya dianggap sebagai hukuman, maka apakah kehidupan ini hanya hendak dipenuhi dengan tempoh hukuman semata tanpa ada tempoh pemulihan? Bukankah dengan duduk semeja memungkin banyak perkara dapat dinasihati dan dituntut agar berubah? Bahkan dalam hidup ini, kadang-kala cerita mengenai seseorang yang disampaikan orang kepada kita, tidak sama dengan hakikat orang tersebut apabila kita bergaul atau berbicara dengannya.

Khabar musuh selalunya buruk, khabar penyokong selalunya baik. Kita selalu mendengar cerita musuh kita daripada mulut musuhnya, dan kita kurang mendengar cerita musuh kita daripada orang yang adil terhadapnya. Sementara yang adil itu pula sedikit jua. Duduk mungkin boleh melunakkan hati dan memahami situasi masing-masing.

Saya merayu mereka duduk semeja bukan untuk kepentingan mereka, tetapi untuk masa depan umat Islam. Bahkan dalam Islam ini menjadi kaedah “Mendahulukan kepentingan umum, mengatasi kepentingan individu”. Individu datang dan pergi. Parti juga boleh hidup dan mati. Namun masa depan umat mestilah terus kekal dengan penuh kedaulatan dan harmoni.

Saya tidak kisah siapa yang perlu berundur. Tetapi yang merunsingkan ialah siapa yang hendak mengganti? Jika yang mengganti itu membawa keberkatan kepada negara, alhamdulillah! Cumanya, jangan yang mengganti lebih buruk daripada yang berundur. Jika kita hendak mengganti kepimpinan, bukan sekadar menukar orang, tetapi menukar tahap atau kualiti kepimpinan itu sendiri.

Kualiti itu bukan sahaja bergantung kepada karisma pemimpin, tetapi bergantung juga kepada suasana negeri atau negara apabila dia menjadi pemimpin. Maka pemimpin dilihat, siapa dia? Siapa orang di sekeliling? Berundinglah baik-baik hal ini atas semangat kecintaan kepada umat.

Apa yang penting keikhlasan kepada Allah S.W.T untuk mendapat redhaNya, bukan redha parti atau penyokong semata. Allah yang memerintahkan kita berdamai. Tidak akan kehilangan apa-apa kewibawaan untuk duduk semeja sesama muslim. Bahkan itulah yang lebih dekat kepada keredhaan Allah.

Letak al-Quran dan al-Sunnah sebagai panduan di hadapan. Tanda kita semua muslim lagi beriman kepada Allah dan RasulNya. Jika ternyata ada perkara yang telah bercanggah dengan kehendak Allah dan RasulNya, kembalilah kita kepada ajaran yang sebenar sebelum penyesalan tidak lagi mampu membaiki keadaan.

Firman Allah s.w.t: (maksudnya) ..kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (RasulNya (al-Sunnah) – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (Surah al-Nisa: ayat 59).

Nabi s.a.w menyebut: “Mahukah kamu aku khabarkan amalan yang lebih tinggi darjatnya daripada puasa dan solat ? Jawab para sahabah: Bahkan. Sabda baginda: “Mendamaikan hubungan, kerana rosaknya hubungan itu adalah pencukur (mencukur agama)” (.Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani). Maka Allah dan RasulNya yang menyeru kepada perdamaian.

Firman Allah: (maksudnya) “Wahai orang-orang yang beriman, sahutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila keduanya menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa menyekat antara seseorang itu dengan jantung hatinya, dan sesungguhnya kepadaNya kamu akan dihimpunkan. Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) fitnah (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum) dan ketahuilah Bahawa Allah Maha berat azab seksaNya” (Surah al-Anfal: ayat 24-25).

Jika kita lihat semua parti politik yang dipimpin oleh orang Islam dalam negara ini boleh untuk duduk semeja dengan yang mereka yang berbeza akidah atau kepercayaan agama, apakah tidak boleh untuk mereka duduk semeja dengan yang seagama? Apakah parti lebih besar daripada agama? Jika ada yang sanggup meluntur warna perjuangannya selama ini disebabkan rakan kongsi bukan Islam yang berkubu bersama dengannya, apakah tidak boleh untuk duduk semeja dengan sesama muslim yang seakidah dengannya? Atas kepentingan politik yang sama kita sanggup berbincang dengan orang lain dan meraikan perasaan mereka, bahkan menunaikan sebahagian tuntutan mereka, apakah tidak boleh untuk kita duduk semeja atas nama kepentingan umat?

Kemudian setelah kita duduk semeja berbincang, tiba-tiba ada pihak yang melampaui batas, maka ketika itu tidak mengapalah untuk kita mengambil pendirian menghadapi puak yang melampaui batas itu. Ini bersesuaian dengan arahan Al-Quran dalam Surah al-Hujurat tadi. Jangan kita tidak duduk semeja, nanti kita menyanggahi arahan Allah dan rasulNya. Juga jika berlaku sesuatu yang tidak diingini dalam negara, nanti sejarah akan mencatatkan keengganan ini sebagai satu sikap buruk. Anak cucu yang akan datang akan bertanya: “Perbalahan isu apakah itu sehingga mereka telah menggadaikan masa depan kita?”.

Saya terkenang Peperangan Jamal. Satu peristiwa yang mendukatacitakan umat. Ia berlaku disebabkan isu pembunuhan Saidina ‘Uthman bin ‘Affan r.a. Berlaku pertempuran sesama Islam. Sahabat Nabi s.a.w yang terkenal, Talhah bin ‘Ubaidah merenung panjang sebelum pertempuran itu berlaku. Ia berlaku disebabkan tangan-tangan jahat pihak musuh yang ingin melagakan sesama Islam.

Kata Talhah: “Dahulunya kita ini bagaikan satu tangan ketika menghadapi orang lain. Hari ini kita bagaikan dua bukit yang bergerak menuju satu sama lain. Namun bagiku, dalam persoalan ‘Uthman r.a aku tidak nampak melainkan ditumpahkan darahku untuk menuntut darahnya.
(Riwayat Al-Hakim dalam al-Mustadrak, dan nilai sahih oleh al-Zahabi).

Walaupun niatnya betul, namun keputusan nekad itu membawa penumpahan darah dan airmata sesama kaum muslimin. Beliau sendiri turut terkorban. Sehingga Saidina ‘Ali bin Abi Talib r.a. yang berada di pihak yang bertentangan dengan Talhah melihat jenazah Talhah yang terkorban berkata: “Semoga Allah merahmatimu wahai Abu Muhammad (Talhah)! Amat berat perasaanku melihat engkau diserang di bawah bintang langit. Kepada Allah aku mengadu kelemahan dan dukacitaku. Demi Allah! Aku lebih suka sekiranya aku meninggal sejak dua puluh tahun yang lalu. (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 7/257). Namun penyesalan ketika itu tidak lagi dapat mengubah catatan sejarah.

Kita memohon daripada Allah kesejahteraan masa depan umat Islam dan rakyat keseluruhannya. Masa masih ada untuk berbincang. Jika pun tidak berjaya semua perkara, mungkin kita dapat berdamai dalam beberapa perkara. Jika tidak dapat apapun persetujuan, sekurang-kurangnya kita berusaha menyahut ajaran Allah dan rasulNya agar yang berbalah itu berdamai. Sekurang-kurang ada juga kepatuhan terhadap al-Quran dan al-Sunnah. Maka, apa salahnya untuk mereka duduk semeja?