SERUAN yang dibuat oleh Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin agar empat pimpin tertinggi – Tun Mahathir, Datuk Seri Abdullah Badawi, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Nik Aziz sudi duduk semeja demi kepentingan negara tidak mendapat respon khusus dari pihak Umno sendiri.

Ini dijelaskan oleh Dr Asri pada satu pertemuan hari ini.

“Nampaknya hanya Datuk Nik Aziz dari PAS sahaja yang berminat hendak berbincang, yang lain tidak memberi respon positif,” jelas Dr Asri.

Walaupun begitu, Dr Asri agak terkilan dengan kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pemuda Pas, Salahudin Ayub yang meletakkan syarat agar diturunkan harga minyak dulu sebelum perbincangan.

“Sepatutnya jangan letak syarat sebelum perbincangan. Dengarkan dulu apa yang hendak diperkatakan. Kadang-kadang satu kemarahan itu tidak dapat reda kerana kita mendengar dari jauh saja.

“Kadang kala masalah tidak dapat diselesaikan disebabkan beratnya kemarahan itu bukan beratnya masalah itu. Kita kena keluar dari kepartisan dan lebih bersikap kemanusiaan dan insaniah.

“Jangan biarkan perbalahan berlarutan. Seeloknya, duduklah berbincang selesaikan untuk kepentingan rakyat,” kata Dr Asri yang masih positif satu mesyuarah boleh menyelesaikan kemelut politik yang dihadapi sekarang.

Dr Asri membuat rayuan ini memandangkan masa depan umat Islam yang mula goyah.

“Saya membuat seruan ini atas semangat persaudaraan Islam bukan atas semangat politik kepartian. Mereka yang saya maksudkan patut duduk berbincang. Pihak yang hendak dihukum, telahpun dihukum. Jadi sekarang adalah masa untuk lihat kesan pada hukuman dan bukannya ujudkan suasana cemas sampai datang huru hara,” katanya lagi.

Walaupun begitu, sehingga ke hari ini, belum ada tindakan positif untuk mengadakan muzakarah seperti yang disyorkan oleh Dr Asri.

“Saya cuma boleh mencadangkan tapi mereka tidak beri sebarang respon pun hingga ke hari ini. Pandangan telahpun diberikan dan rasanya mereka lebih masak untuk mengatasi masalah ini,” kata Dr Asri.

sumber: Mstar Online