Zikir Menari dan Kenyataan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK)
S.S. Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Pagi ini saya dihujani soalan bertalu-talu berhubung dengan kenyataan Pengerusi MFK tentang mengharuskan zikir menari, hubungan golongan habib dengan tarekat Naqsyanbadi Haqqani dan lain-lain. Kenyataan itu dibuat selepas mesyuarat MFK semalam yang saya juga salah seorang anggotanya. Di sini saya ingin menjelaskan hal berikut;

1. Saya hadir dalam mesyuarat semalam 20hb April 2015 selaku ahli MFK dari awal sehingga akhir tanpa keluar walaupun sejenak.

2. Mesyuarat semalam hanya memutus dua isu sahaja iaitu tentang kedudukan mangsa MH370 dan isu mereka yang terlibat dengan IS.

3. Tiada sebarang keputusan ataupun perbincangan mendalam tentang zikir menari dan hubungan habaib dengan tarekat Nasyabandi Haqqani.

4. Bahkan ada anggota fatwa dari Pantai Timur yang mengingatkan tentang hubungan golongan tertentu dengan tarekat Haqqani, lirik yang menyanggahi syariat serta meminta pihak JAKIM agar mengelakkan hadir dalam majlis-majlis seperti itu. Pihak JAKIM juga memaklumkan mereka tidak pernah hadir.

5. Namun, satu perbincangan rasmi untuk keputusan rasmi sama sekali TIDAK berlaku semalam.

6. Saya ingin mengandaikan mungkin pihak MEDIA tersalah lapor, ataupun itu hanya pendapat peribadi.

7. Buat rakyat Perlis khususnya, dan Malaysia umumnya, selaku anggota MFK saya menafikan terlibat dalam membuat keputusan yang membolehkan zikir menari seperti itu. Bahkan pendapat saya seiras dengan kertas kajian SS Mufti Wilayah. Demikian kenyataan yang pernah dibuat oleh Ketua Pengarah JAKIM, juga pendapat yang disuarakan oleh SS Mufti Trengganu.