PEMIMPIN ISLAM SERTAI PERAYAAN AGAMA LAIN?
Sahibus Samahah Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Asalnya muslim tidak boleh menyertai upacara agama lain, demikian juga penganut agama lain tidak boleh dipaksa menyertai upacara agama Islam. Namun, seseorang boleh hadir ke majlis upacara agama lain untuk menjalankan tugas yang memberikan manfaat untuk kemanusiaan seperti pegawai keselamatan yang hadir menjaga ketenteraman, doktor yang merawat pesakit dan seumpamanya.

Maka seorang pemimpin utama negara ataupun negeri yang beragama Islam boleh hadir tetapi BUKAN untuk turut merayakan upacara agama sebaliknya hadir sebagai menjalankan tugas kepimpinan seperti untuk berucap memberi nasihat umum tentang negara dan seumpamanya.

Untuk itu maka ketika seoarang muslim yang hadir untuk menjalankan tugas ke tempat-tempat tersebut seperti pemimpin yang hadir ke majlis-majlis agama lain atas kapasiti pemimpin, mereka TIDAK boleh menzahirkan seakan mereka turut merayakan upacara agama lain seperti melakukan perbuatan ataupun memakai pakaian upacara.

Penganut agama lain hendaklah menghormati agama pemimpin yang mengunjungi mereka dan tahu tujuan kehadiran pemimpin adalah untuk keharmonian yang ditonjol melalui kepimpinan yang terhormat, BUKAN dengan cara pemimpin turut melakukan upacara yang bukan ajaran agama pemimpin itu.

Saya berpendapat, ramai pemimpin termasuk YAB Perdana Menteri Malaysia, kadang kala tidak mendapat nasihat yang jelas tentang hal ini sehingga mereka hadir dalam keadaan seakan mereka sebahagian dari pengahut agama lain.

Islam menghormati hak pihak lain beragama, Islam menyuruh kita melakukan kebaikan untuk semua manusia tanpa dibatasi oleh sempadan agama tapi dalam masa yang sama seorang muslim wajib memelihara identiti akidah Islam yang dianutinya.