BEBERAPA ISU HUKUM SEMASA PUASA (2)
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Sambungan dari perbincangan dari siri yang lepas, berikut adalah beberapa isu hukum yang sering ditimbulkan semasa kita berpuasa;

Makan dulu atau solat dulu?

Ada orang menyangka bahawa sekalipun makanan sudah terhidang, yang terbaik itu solat dahulu, selepas itu barulah makan. Sehingga ada yang apabila mereka duduk di keliling hidangan, kemudian bangun meninggalkannya dan pergi menunaikan solat. Amalan seperti itu dirasakan oleh sesetengah pihak sebagai lebih mengikut kehendak agama. Namun, jika kita merujuk kepada hadis-hadis Nabi s.a.w kita akan dapati itu amalan yang silap. Antaranya hadis daripada Anas bin Malik r.a.: bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah makan sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah semasa makan malam kamu.”(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar, baginda s.a.w. bersabda:

“Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Riwayat di atas juga menambah bahawa Ibn Umar r.a. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan, walaupun beliau mendengar bacaan imam.

Hikmah daripada arahan Nabi s.a.w agar mendahulukan makan ialah agar pemikiran kita tidak diganggu ketika solat dengan ingatan kepada makanan yang telah kita lihat terhidang di hadapan mata sebelum bersolat tadi. Ini boleh mengganggu kekusyukan solat seseorang. Dengan itu para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata. Ini merangkumi semua solat, bukan khusus pada solat Maghrib sahaja. Kata al-Imam an-Nawawi (meninggal 676H) dalam Sharh Sahih Muslim mengulas hadis-hadis berkaitan:

“Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk”.

Ini bukan bererti kita mengutamakan makan dari solat. Sebaliknya kita makan terlebih dahulu kerana ingin menjaga kekusyukan solat.

Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) dalam Fath al-Bari memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H):

“Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.”

Dengan itu, makan dahulu setelah makanan terhidang kemudian baru bersolat adalah sunnah Nabi s.a.w. Maka apabila makanan terhidang, ibubapa hendaklah memberikan anak-anak makan terlebih dahulu ketika berbuka, sehingga mereka selesai maka barulah bersolat. Inilah sunnah.

Melakukan susunan yang seperti itu, mendapat pahala. Namun makanlah dengan kadar yang diajar oleh Islam, bukan makan sehingga mengah lalu gagal bersolat dengan sempurna.

Di sana ada cara untuk mengelakkan kemakruhan ini, iaitu elakkan menghidangkan makanan terlebih dahulu sebelum solat. Elakkan mata terpandang kepada makanan yang telah dihidangkan. Selepas selesai bersolat barulah dihidangkan. Namun, jika kelaparan itu kuat, bau makanan telah masuk ke hidung, sehingga ingatan kepada makanan sangat kuat sekali belum melihatnya, hendaklah dia makan terlebih dahulu.

Juga sudah pasti tidak makruh bersolat sekalipun makanan sudah terhidang jika keinginan kepada makanan tiada. Ini kerana punca (‘illah) larangan bersolat semasa makanan terhidang ialah agar tidak mengganggu kusyuk. Jika seseorang memang tiada keinginan kepada makanan, sudah pasti tidak menggangu kusyuk sekalipun makanan sudah terhidang.

Apakah fatwa Ibn ‘Abbas dan Ibn Umar tentang wanita hamil dan menyusu?

Dua tokoh ilmuwan sahabat Nabi iaitu ‘Abdullah bin ‘Abbas dan ‘Abdullah bin ‘Umar telah berfatwa dengan fatwa yang meringan bebanan wanita yang mengandung dan menyusukan anak. Menurut mereka berdua wanita yang mengandung dan menyusu jika buka puasa kerana bimbang keadaan diri ataupun anak hanyalah perlu membayar fidyah (beri makan orang miskin) tidak wajib qada (ganti) puasa.

Dalam riwayat al-Tabari dengan sanad yang sahih Ibn ‘Abbas menyebut:

“Jika wanita hamil bimbang terhadap dirinya, wanita menyusu bimbang terhadap anaknya pada bulan Ramadan maka dia boleh berbuka serta ganti setiap hari dengan memberi makan orang miskin dan TIDAK perlu ganti puasa”

Dalam riwayat al-Daraqutni dengan sanad yang sahih, Ibn ‘Umar berkata:

“Wanita yang hamil dan menyusu boleh berbuka tak perlu qada”

Dalam riwayat sahih al-Daraqutni juga:

“Seorang wanita hamil bertanya Ibn ‘Umar tentang puasanya, jawab Ibn ‘Umar: “Kamu boleh buka dan beri makan setiap hari seorang miskin, tidak perlu qada (ganti puasa)”.

Pendapat kedua tokoh ini sekalipun berbeza dengan pandangan yang dipilih dalam mazhab Syafi dan selainnya namun ia lebih memudahkan kaum wanita yang mengandung yang biasanya memakan masa selama 9 bulan kemudian kemudian diikuti dengan kelahiran dan menyusukan anak pula selama 2 tahun. Jika mereka diwajibkan qada tentu satu yang agak membebankan untuk menghimpunkan semua yang mereka tinggal dalam tempoh tersebut. Apatahlagi jika tahun berikutnya mereka mengandung lagi.

Dengan apa Nabi s.a.w berbuka puasa?

Nabi s.a.w berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu’jam al-Wasit 1/88).

Dalam hadith daripada Anas katanya:

“Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka dengan puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab, sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air. (Riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, katanya hadis ini hasan)

Inilah tertib yang dilakukan oleh baginda, pilihan pertama ialah rutab, jika tiada maka tamar dan jika tiada maka air.

Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H):

“Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada maka dengan tamar, dan sekiranya tiada maka dengan air…Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunnah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air. (al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).

Bolehkah berciuman dan ‘ringan-ringan’ dengan isteri?

Seorang yang berpuasa boleh untuk mencium dan bermesraan dengan isterinya selagi dia tidak melakukan persetubuhan. Jika dia tahu dia bahawa dia tidak mampu mengawal diri maka hendaklah dia mengelakkan cium dan ‘kemesraan yang lain‘.

Kata ‘Aishah:

“Nabi s.a.w mencium dan bermesraan dengan isteri sedangkan baginda berpuasa. Baginda itu paling dapat mengawal kemaluannya” (Riwayat al-Bukhari)

Masruq pernah bertanya ‘Aishah:

“Apakah yang halal untuk lelaki lakukan kepada isterinya semasa berpuasa?”. Jawab ‘Aishah: “Semua perkara kecuali persetubuhan” (Riwayat ‘Abd al-Razzaq dengan sanad yang sahih).

Manakah lebih afdhal, menjamu buka puasa ataupun moreh?

Menjamu orang makan adalah amalan yang mulia dalam Islam. Walaupun moreh hanyalah tradisi setempat, tetapi amalan memberi makan kepada orang ramai adalah sesuatu yang mendapat pahala. Pun begitu, secara perbandingan sudah amalan memberi makan orang yang berbuka puasa (iftar) adalah lebih baik kerana amalan itu disebut secara khusus dalam hadis Nabi s.a.w. Apatahlagi, berbuka puasa itu satu kewajiban dan keperluan sementara makan selepas solat taraweh (moreh) hanya satu budaya setempat dan bukan keperluan. Walaupun tidak dinafikan ia juga satu kebaikan namun secara perbandingannya menjamu berbuka puasa lebih besar ganjarannya.

Ini seperti yang disabdakan oleh Nabi s.a.w:

“Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa (iftar), maka baginya (pemberi) pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikit pun pahala orang yang berpuasa tersebut” (Riwayat at-Tirmizi, Ibn Majah dan Ibn Hibban menilainya sahih).