APAKAH PILIHAN KITA ITU MEMANG PILIHAN KITA?
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Beberapa orang melayu yang kurang biasa dengan makanan Jepun memasuki sebuah restaurant makanan Jepun untuk mencuba. Pelayan Japanese Restaurant itu datang dan memberikan menu makanan yang ada di restaurant berkenaan. Nama-nama makanan semuanya berbunyi jepun. Semua bunyi itu agak asing bagi pelanggan-pelanggan melayu berkenaan. ‘Sila pilih menu yang tuan-tuan mahukan’, kata pelayan.

Oleh kerana mereka tiada pengalaman merasai makanan jepun mereka kata ‘kami mahu menu yang sedap’. Pelayan itu pun mula membuat cadangan yang sedap pada pendapat beliau. Mereka pun setuju dan memesan makanan berdasarkan cadangan tersebut. Setelah makanan dihidangkan, para pelanggan melayu berkenaan mendapati ia tidak sedap seperti yang diharapkan. Kata mereka: ‘Ini tidak sedap! Kami minta yang sedap! Dah la harganya pula mahal, kita tertipu!’. Pelayan menjawab: “Saya berikan berdasarkan pilihan tuan-tuan. Saya tidak bersalah. Tuan-tuan telah membuat pilihan tadi tanpa sebarang paksaan”.

Terhad

Saya mulakan sketch di atas sebagai gambaran bagaimana manusia kemungkinan memilih apa yang bukan menjadi hasratnya sekalipun dia diberikan kebebasan memilih. Hal ini juga dibincangkan oleh ahli-ahli theology, falsafah dan kerohanian tentang sejauh manakah manusia benar-benar memilih apa yang dia benar-benar mahukan. Who decides? Do I choose for myself? Am I really free to decide? . Namun saya tidak mahu tenggelam dalam perbahasan mereka. Saya ingin membahaskan perkara ini dengan lebih simple terutamanya di musim pilihanraya ini.

Kegagalan para pelanggan tadi memilih apa yang mereka benar-benar mahukan iaitu makanan yang sedap adalah disebabkan beberapa perkara. Antaranya, mungkin makanan yang sedap yang mengikut selera melayu mereka tidak wujud di restaurant berkenaan. Maka, walaupun hak memilih diberikan, namun pilihan mereka terbatas dan apa yang dihajati tidak wujud dalam senarai pemilihan. Ini juga berlaku dalam hidup kita di mana kita kadang-kala walaupun mempunyai ruangan memilih tetapi apa yang menjadi pilihan kita tiada dalam senarai yang boleh kita pilih. Ini telah membataskan kebebasan pemilihan yang ada. Sehingga seseorang mungkin terpaksa memilih yang terbaik antara yang buruk-buruk. Ini disebut dalam qawaid fiqhiyyah ‘ Yukhtar Ahwan al-Syarrain’ atau Akhaf al-Dararain iaitu dipilih keburukan ataupun kemudaratan yang paling ringan dibandingkan yang lain. Ertinya jika tiada pilihan kita disuruh memilih bahaya yang paling kurang dibandingkan yang lain.

Pengetahuan

Kedua, kebebasan pemilihan tidak memberikan apa-apa makna jika kita tidak mempunyai pengetahuan tentang apa yang kita pilih. Ini seperti kaki ‘tikam ekor’ yang sekalipun dia memilih nombor yang dia mahu, tetapi semuanya tidak berasaskan ilmu pengetahuan. Kejahilan! Ya kejahilan akan mensia-siakan kebebasan memilih sesuatu. Para pelanggan Japanese Restaurant tadi jahil tentang makanan Jepun. Sekalipun mereka diberikan peluang memilih, tetapi memilih dalam kejahilan. Oleh kerana mereka jahil, maka terpaksa bergantung kepada pihak lain yang belum tentu tahu apakah maksud ‘sedap’ yang sebenarnya menjadi hasrat mereka. Ataupun, mereka tertipu kerana mereka mudah ditipu sebab tidak tahu. Mereka terdedah untuk ditipu atas nama pilihan sendiri. Padahal pilihan mereka ditentukan oleh pihak lain disebabkan kegagalan ilmu untuk menentukan pilihan yang benar-benar dikehendaki.

Justeru, memberikan kebebasan memilih tetapi tidak memberikan ilmu mengenai pilihan yang ada hanya mensia-siakan hak pemilihan. Akhirnya, walaupun seseorang mempunyai hak memilih tetapi pilihannya ditentukan oleh pihak lain yang mengambil kesempatan atas kejahilan. Dalam kata lain, memberikan kebebasan memilih, tapi tidak diberikan ruang ilmu untuk mengetahui senarai pilihan dengan adil dan betul adalah satu penipuan.

Kesempatan

Manusia hari ini banyak yang tertipu oleh iklan palsu. Dunia advertisement mempunyai seni yang tersendiri untuk mempengaruhi pelanggan sehingga mereka membeli apa yang bukan sebenarnya hasrat mereka. Media-massa demikian juga. Manusia akhirnya mempercayai apa yang bukan sebenarnya mereka patut percayai. Kedanggalan pengetahuan boleh diambil kesempatan oleh pihak lain untuk menipu pilihan seseorang.

Dalam pilihanraya, jika kebebasan memilih diberikan tetapi peluang untuk rakyat mengenali setiap calon dan parti secara adil tidak diberikan maka itu mensia-siakan hak memilih. Jika ada pihak yang menghalang rakyat mengetahui latar senarai pilihan secara adil dan saksama bererti pihak itu adalah penipu dan perosak kepada hak memilih yang sebenar rakyat.

Islam melarang kita mengikut ataupun memilih sesuatu tanpa ilmu yang cukup. Firman Allah: (maksudnya):

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta jantung akal kamu, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya”. (Surah al-Isra: 36).

Al-Quran menyuruh untuk kita mendengar dari pelbagai maklumat dan mengikut yang terbaik. Inilah yang dipanggil Ulul Albab. (maksudnya)

“..oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu . (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab” (al-Zumar: 17-18).

Ertinya, untuk seseorang dapat menjadi insan yang baik dia hendaklah mendengar pelbagai maklumat kemudian mengikut yang terbaik dari apa yang didengari dan dipelajari. Jika ada pihak yang menghalang rakyat dari ruang mendapat maklumat yang seimbang, maka itu satu usaha untuk menyesat rakyat dari pilihan yang betul samada dalam pemikiran ataupun politik. Tariq Ramadan dalam The Quest For Meaning menyebut:

‘..any society that does not guarantee the conditions for survival and life of all, education for all and rule of law to defend individual freedom (in the handling of interpersonal relationships) is a society that fails to respect basic human rights. It deprives its members of their potential and their powers, and, at best, encourages their illusions as to the immensity of power offered by the virtuality of their will, their dreams and their imagination.’ (57-58. Penguin Books, UK).

Tertipu

Menipu dengan cara mengelirukan pemilihan orang lain adalah satu kesalahan. Penipuan bererti mengkaburkan pengetahuan pihak yang memilih sehingga dia memilih apa yang bukan pilihannya. Justeru itu suatu ketika, Rasulullah s.a.w melintasi satu bekas makanan (untuk dijual), lalu baginda memasukkan tangannya ke dalamnya. Tangan baginda menjadi basah. Baginda pun bersabda:

“Apakah ini wahai empunya makanan (peniaga)?. Dia menjawab: “Terkena hujan, wahai Rasulullah!”. Baginda bersabda: “Mengapa engkau tidak jadikan bahagian yang basah itu di atas makanan supaya orang boleh nampak?! Sesiapa yang menipu, dia bukan dari pengikutku” (Riwayat Muslim).

Jika dilihat dalam konteks pilihanraya, ramai yang menyembunyikan hakikat dan menzahir yang baik sehingga orang ramai tertipu. Mereka menyangka mereka membeli barangan yang baik, padahal itu sebenarnya buruk. Mereka sangka mereka undi pihak yang baik, sebenarnya mereka memilih yang buruk. Namun, kempen yang bohong telah merosakkan hasrat pemilihan mereka yang sebenar. Sesiapa yang terlibat dalam kempen yang sedemikian, dia bukan dalam pengikut umat Nabi s.a.w.

Kita impikan kerajaan dan pemimpin yang menjamin hak-hak rakyat memilih dengan cara yang adil dan saksama. Pemberian hak mengundi secara bebas tidak bermakna jika ruang mengetahui apa yang hendak dipilih secara adil tidak bebas dan diberikan secara yang adil juga. Keadilan media awam amatlah penting dalam proses pilihanraya yang adil. Jika tidak, kita memilih apa yang bukan pilihan kita kerana kita tertipu.