BILAKAH NON-MUSLIM DIPERANGI?
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Sekalipun umat Islam di Malaysia telah hidup sekian lama bersama dengan mereka yang non-muslim, namun di sana masih terdapat beberapa persoalan dasar yang tidak jelas dalam pemikiran sesetengah pihak. Ketidakjelasan itu boleh menatijahkan tindakan yang tidak tepat dalam keadaan tertentu. Dalam keadaan biasa, mungkin kesannya kurang kelihatan, tetapi apabila krisis tertentu melanda, kita akan merasai kesan salah tanggapan terhadap Islam dan prinsipnya khusus berkaitan hubungan muslim dengan non-muslim.

Saya ingin menggesakan pelbagai pihak untuk menganjurkan wacana dan dialog tentang hubungan muslim dengan non-muslim di sudut nas-nas Islam yang sebenar. Perbincangan yang bebas dari ketamakan politik dan fanatik perkauman. Ini penting untuk nama baik Islam dan dakwah, serta masa depan negara ini.

Beberapa persoalan tentang prinsip interaksi antara muslim dan non-muslim seperti apakah asas hubungan antara muslim dan non-muslim; perdamaian ataupun permusuhan? Apakah sebabnya jihad dalam Islam difardukan; kerana kekufuran ataupun disebabkan permusuhan yang dilancarkan? Siapakah kafir zimmi dan harbi?, dan lain-lain lagi perlu didalami.

Disebabkan kegagalan memahami asas-asas ini dengan baik, maka sentimen agama yang kadang-kala tidak tepat dimainkan. Apatahlagi ada pihak yang menangguk di air keruh mengambil kesempatan politik pilihanraya.

Kenapa Non-Muslim Diperangi?

Ini satu persoalan yang penting. Jika salah langkah, maka banyak darah yang dihalalkan atas nama Tuhan. Secara umumnya dua punca (‘illah) dibahaskan oleh sarjana ; non-muslim diperangi atas sebab kekufuran ataupun peperangan yang mereka dilancarkan? Jawapan yang berbeza boleh memberikan implikasi yang berbeza terhadap sikap dan tindakan.

Para ulama usul al-Fiqh cuba untuk mencari `Illah (punca hukum) jihad disyariat. Maka para ulama dari mazhab al-Syafi`i dan al-Zahari berpendapat `illahnya ialah kerana kekufuran mereka. Ini bermaksud mereka diperangi kerana mereka kufur dengan Allah. Namun, pendapat ini dianggap lemah dan tidak boleh dipegang secara kefahaman dan praktikalnya. Sehingga Dr Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Fiqh al-Jihad meminta supaya ulama mazhab Syafi’i pada hari ini hendaklah menjelaskan kepada masyarakat awam bahawa pendapat al-Imam al-Syafi’i dalam hal ini adalah lemah dan ditolak. Ini bimbang digunakan oleh pihak tertentu untuk tujuan keganasan.

Senarai golongan non-muslim yang tidak boleh dibunuh semasa peperangan yang disebut dalam nas-nas sahih seperti wanita dan kanak-kanak, ahli ibadah yang sedang beribadah dalam rumah ibadah mereka, pekerja dan petani yang tidak terlibat secara langsung dengan peperangan, para perwakilan diplomatik dan lain-lain menjadi bukti bahawa sekadar kekufuran atau tidak beriman belum melayakkan seseorang itu dibunuh. Islam tetap memelihara nyawa mereka. Jika kekufuran itu punca mereka diperangi, sudah tentu golongan tersebut juga diperangi.

Oleh itu jumhur (majoriti) ulama berpendapat `illah (punca) sebenar non-muslim diperangi bukanlah kerana akidah mereka, tetapi kerana (al-Hirabah) iaitu menzahirkan permusuhan terhadap harta dan nyawa orang muslim disebabkan Islam yang dianuti. Maka, bagi golongan non-muslim yang tidak melancarkan peperangan dan permusuhan mereka terhadap umat Islam, mereka tidak diperangi. Kalaulah kekufuran yang menjadi alasan tentulah sewajar semua non-muslim itu diperangi. Inilah pendapat yang dipegang dalam Islam. Antara dalil-dalil yang dikemukakan oleh majoriti ulama ialah firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 190 (maksudnya):

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas”.

Juga firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 13: (maksudnya):

“Mengapa kamu tidak memerangi golongan yang telah mencabuli perjanjian mereka, serta mereka pula telah berazam hendak mengusir Rasulullah, dan mereka jugalah yang mula-mula memerangi kamu? Apakah kamu takutkan kepada mereka padahal hanya Allah yang berhak kamu takuti, sekiranya kamu orang-orang yang beriman”.

Juga ayat 36 daripada Surah al-Taubah:(yang bermaksud):

“Perangi golongan musyrikin itu keseluruhannya seperti mana mereka mereka memerangi kamu keseluruhan”.

Semua ayat-ayat di atas adalah jelas menunjukkan peperangan yang dilancarkan ke atas mereka adalah di atas sikap dan tindakan salah yang dilakukan mereka, bukan kerana kekufuran atau akidah mereka. Ayat-ayat ini menafikan hujah para ulama mazhab al-Syafi`i dan al-Zahiri.

Bersikap Baik

Bahkan dalam Surah al-Mumtahanah ayat 8-9 begitu jelas Allah menyatakan: (maksudnya)

“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.

Al-Imam al-Tabari (meninggal 310H) setelah membentang pendapat-pendapat mengenai ayat di atas, berkata:

“Pendapat yang lebih tepat ialah; ayat ini bermaksud Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan adil kepada sesiapa yang tidak memerangi kamu dari kalangan penganut semua agama. Ini kerana Allah menyebutnya secara umum dengan katanya “orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu” merangkumi sesiapa sahaja yang bersifat demikian” (Al-Tabari, Jami’ al-Bayan ‘an Takwil Aiy al-Quran 28/66 Beirut:Dar al-Fikr).

Juga telitilah firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 6-7 (maksudnya):

“Dan jika seseorang dari kalangan musyrikin meminta perlindungan kepadamu, maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke tempat yang aman. Yang demikian itu (perintah tersebut) ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam). Bagaimanakah dapat diakui adanya perjanjian (keamanan) di sisi Allah dan RasulNya bagi orang-orang musyrikin (sedang mereka mencabulinya)? Kecuali orang-orang (musyrikin) yang kamu telah mengikat perjanjian setia dengan mereka dekat Masjid Al-Haraam. Maka selagi mereka berlaku lurus terhadap kamu, hendaklah kamu berlaku lurus pula terhadap mereka; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.”

Pengarang al-Jihad fi al-Islam yang merupakan tokoh Mazhab Syafi’i di Syria iaitu Said Ramadan al-Buti dalam mengulas ayat di atas, berkata:

“Dari dua ayat tersebut, kita dapat fahami dengan jelas ia meyanggahi apa yang difahami oleh ulama mazhab al-Syafi`i dan al-Zahiri. Dari sini kita kemukakan kepada mereka (para ulama tersebut) soalan-soalan yang mereka tidak mungkin dapat menjawabnya, iaitu; Sekiranya `illah (punca hukum) jihad atau peperangan ialah kekufuran, sedangkan perintah Allah agar kita melindungi kaum musyrikin sepanjang tempoh mereka berada di samping kita, dengan harapan mereka mendengar ayat-ayat Allah dan beriman denganNya. Kemudian diperintahkan agar kita menghantarkan mereka ke tempat yang aman sekiranya mereka ingin pergi tanpa beriman… andainya kekufuran adalah sebab yang membawa kepada kita membunuh mereka, apakah mungkin untuk kita membantu mereka dengan perlindungan yang seperti ini, sedangkan mereka itu musyrikin? Sekiranya kekufuran mewajibkan peperangan, apakah mungkin untuk kita berurusan seperti itu dengan golongan Allah perintahkan kita memerangi mereka?. Ternyata sebab (kita dibenarkan berurusan baik dengan mereka) kerana mereka tidak menzahirkan permusuhan dan cenderung kepada perdamaian”.( Sa`id Ramadhan al-Buti, al-Jihad fi al-Islam, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr)

Dengan ini jelas, jihad berlaku hanya apabila mereka menzahirkan peperangan terhadap umat Islam kerana agama. Jika non-muslim mengkritik atau mencabar muslim melalui saluran undang-undang dalam negara Islam itu sendiri, ataupun membantah salahguna kuasa pihak umat Islam itu tidak dianggap memusuhi umat Islam kerana agama. Bahkan itu hak yang negara Islam berikan kepada mereka.

Siapakah Kafir Harbi?

Isu kafir harbi kadang-kala disebut oleh sesetengah pihak tanpa memahami maksud sebenar istilah berkenaan. Istilah harb merujuk kepada peperangan. Dalam pembahagian silam tentang jenis-jenis negara; disebut Dar al-Islam dan Dar al-Harb. Juga ditambah oleh sebahagian penulis pembahagian ketiga Dar al- ‘Ahd.

Secara ringkasnya, Dar al-Islam mempunyai tiga ciri utama; kekuasaan politik berada di tangan muslimin, zahir padanya hukum dan syiar Islam sekalipun tidak sempurna ataupun sebahagian sahaja dan kaum muslimin aman beramal dengan agama mereka sementara ahl-zimmah aman berdasarkan perjanjian mereka. Manakala negara-negara yang mempunyai perjanjian dengan umat Islam maka mereka adalah Dar al-‘Ahd.

Atas asas ini Dr Yusuf al-Qaradawi menyimpulkan bahawa keseluruhan negara umat Islam yang wujud pada hari ini adalah Dar al-Islam ataupun negara Islam termasuklah Malaysia. Sementara kesemua negara bukan Dar al-Islam yang berada di bawah Bangsa-Bangsa Bersatu adalah Dar al-‘Ahd termasuklah Amerika. Hanya dikategori sebagai Dar al-Harb pada masa ini ialah Negara Zionis Israel disebabkan kerana permusuhan yang zahir dan berterusan dengan umat Islam (Lihat: al-Qaradawi, Fiqh al-Jihad, Cairo: Maktabah Wahbah, ms 888-908)

Setelah memahami hal tersebut, maka dalam istilah awal, warga non-muslim yang hidup dalam masyarakat muslim ataupun bawah Dar al-Islam (negara Islam) dengan mengikat perjanjian kewarganegaraan disebut sebagai ahl-zimmah. Dalam konteks moden setiap yang mendapat kerakyatan dalam Dar al-Islam itu seorang zimmi, bererti yang dipelihara atau dilindungi haknya. Walaupun begitu, istilah ahl-al-zimmah itu boleh elakkan di zaman kini dengan menyebut rakyat atau warga negara non-muslim.

Sementara kafir harbi, berdasar yang dibincang di atas ialah non-muslim yang menolak dan menentang seruan Islam, bersekongkol dengan musuh-musuh Islam, tiada sebarang perjanjian aman dengan Dar al-Islam dan mereka tinggal di negara mereka Dar al-Harb (Lihat: ibid, ms 912).

Maka non-muslim yang mendapat kerakyatan dan dipelihara oleh undang-undang negara muslim, tidak dinamakan dengan kafir harbi. Sehinggalah dia tiada lagi sebarang ikatan perjanjian dengan negara Islam dan tidak dilindungi lagi oleh undang-undang negara Islam. Dengan itu rakyat Malaysia yang bukan muslim tidak boleh dikatagorikan kafir harbi yang boleh diperangi dan halal darahnya ditumpahkan selagi mereka mempunyai ikatan hubungan dengan negara!