CERAMAH YANG BELUM CAPAI PIAWAIAN ILMU
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Malang jika modal sesetengah penceramah agama ialah maklumat yang dikutip dari apa sahaja bahan yang sampai kepada mereka. Ibarat kata, ‘membujur lalu, melintang pukang‘. Mereka tidak mempunyai kekuatan ilmiah dan minda dalam menilai dan menapis fakta. Maka, semua yang dibaca dianggap benar dan disampaikan. Sehingga buku palsu “Dialog Nabi s.a.w Dengan Iblis” juga dipercayai.

Antaranya, konon baginda Nabi s.a.w bertanya Iblis, “apakah tempat yang paling engkau suka?”. Jawab Iblis “panggung wayang”. Walaupun, penceramah mungkin mempunyai tujuan tertentu. Namun kepalsuan adalah musuh agama ini. Kita tahu pada zaman Nabi s.a.w belum ada panggung wayang. Bagaimana mungkin istilah ini muncul? Sudahlah cerita-cerita dalamnya tidak mempunyai sanad yang diterima, ditambah lagi dengan kebodohan jalan cerita yang boleh menyebabkan generasi yang berakal menolak agama. Padahal itu bukan fakta agama. Al-Quran sendiri tidak menyebut peralatan senjata moden, sebaliknya menyebut kuda, bagi memahamkan senjata terbaik ketika itu. Mana mungkin pula hadis menyebut istilah yang tidak wujud di zaman tersebut.

Tak Logik

Ada pula yang membawa cerita, kononnya wali tertentu bersolat seribu rakaat semalam. Walaupun itu disebut dalam sesetengah karya besar, namun patut dinilai semula. Adakah satu malam mempunyai seribu minit untuk dia bersolat seribu rakaat selaju seminit satu rakaat?!! Jika diambil pukul lapan malam sehingga enam pagi pun, baru sepuluh jam bererti enam ratus minit!!. Mampukah dia melakukan seribu rakaat?. Matematik sekolah rendah pun dapat memikirkan hal ini. Sedangkan Rasulullah s.a.w. yang agung itu, menurut ‘Aisyah r.a. dalam riwayat yang sahih oleh Abu Daud dan al-Nasa’i bahawa solat malam baginda tidak melebihi sebelas rakaat. Benarlah kata sesetengah sarjana hadis:

Apabila engkau melihat sesebuah hadis menyanggahi logik, menyalahi manqul (al-Quran) dan bertentangan dengan usul-usul Islam, maka ketahui ianya hadis yang palsu (Al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, m.s. 182, Beirut: Dar al-Fikr).

Dongeng

Fonomena ini bukan sahaja berlaku dalam TV. Bahkan itulah realitinya di luar TV. Masih ramai ustaz-ustaz kita yang kadang kala bermodalkan cerita dongeng dan kartun. Di samping riwayat Israiliyyat dan hadis-hadis palsu yang dibaca di dalam masjid dan surau, mereka menokok tambah kejadian-kejadian pelik untuk menarik perhatian pendengar. Cerita mayat jadi itu dan ini menjadi modal murahan. Dengan tidak dinafikan Allah mampu melakukan segala-galanya, namun sejarah menunjukkan Allah tidak bertindak demikian kepada umat NabiNya yang akhir. Tidak seperti mana kepada umat yang sebelumnya. Kalau Allah mahu, tentu mayat Abu Jahal, atau Abu Lahab terlebih dahulu akan menjadi contoh. Kedua-dua tokoh kekufuran itu, tidak juga mati terkejut, atau kerana penyakit misteri disebabkan kejahatan mereka. Sebaliknya kaum musliminlah yang berjihad dan menghapuskan keduanya di medan pertempuran. Islam meminta usaha, bukan menunggu tindakan Allah tanpa usaha. Firman Allah mengenai cabaran musyrikin terhadap Nabi s.a.w

(maksudnya): “Dan mereka berkata: Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan bagi kami matair dari bumi. Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus. Atau engkau gugurkan langit berkeping-keping ke atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya. Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya.

Katakanlah (wahai Muhammad): “Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?”. Dan tiadalah yang menghalang orang-orang musyrik itu dari beriman ketika datang kepada mereka hidayah petunjuk, melainkan (keingkaran mereka tentang manusia menjadi Rasul, sehingga) mereka berkata dengan hairan: “Patutkah Allah mengutus seorang manusia menjadi Rasul?” (Surah al-Isra`: 90-94).

Demikian dahsyat cabaran mereka, baginda tidak menyahutnya, kerana bukan itu kehendak Allah. Mereka meminta langit berkeping-keping menimpa kepala mereka, namun baginda menjawab “Aku hanya seorang insan yang diutuskan menjadi rasul”. Allah s.w.t Yang Maha Bijaksana tidak pula memusnahkan kaum musyrikin dengan apa yang mereka minta, sebaliknya dijadikan kemusnahan mereka melalui sebab perjuangan golongan yang beriman.

Apa yang pelik sesetengah ustaz atau penceramah agama itu membawa cerita yang jauh berbeza dengan tabiat sirah Nabi dan para sahabah. Kononnya orang ini mayatnya jadi begini kerana tidak datang masjid, atau kerana terlalu kedekut dan seumpamanya. Yang ini pula tangannya lumpuh, atau berpenyakit badan kerana tidak mahu pergi haji. Mereka mengandaikan perkara yang tidak pasti. Boleh jadi seseorang yang sakit itu kifarah Allah ke atasnya kerana dosa tertentu. Namun boleh jadi juga di atas hikmah yang lain. Ramai orang beriman lagi soleh juga sakit.

Adapun cerita mayat jadi itu dan ini, kebanyakannya andaian atau tokok tambah. Apa yang membimbangkan, ada media massa yang mengambil kesempatan lalu menjadikan tajuk-tajuk sebegini sebagai penarik pembaca setiap keluarannya. Sehingga ada orang bukan muslim membaca dan berkata: “Teruknya orang Islam, mati macam-macam jadi. Kita yang awak katakan cakap kafir pun tidak jadi macam itu. Kalau macam ini takut kita hendak masuk Islam. Bahaya! Nanti tuhan selalu marah, mati pun tak boleh senang”.

Masjid Jadi Pasar

Lebih dukacita lagi, sebahagian penceramah, menjadikan masjid dan surau sebagai platform mengiklankan barang-barang jualan mereka. Atau mengiklan produk-produk mereka yang disokong oleh dalil-dalil yang kebanyakannya tidak benar. Namun masyarakat umum yang telah memberi kepercayaan, ramai yang termakan. Akhirnya masjid menjadi pusat iklan barangan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu. Sedangkan peniaga-peniaga lain tidak ada peluang. Kalau satu syarikat diizinkan, mengapa syarikat yang lain tidak? Jika semuanya diizinkan, jadilah masjid bagaikan ‘pasar lambak’ tempat peniaga mengiklankan barangan mereka. Barangkali inilah hikmat baginda Nabi s.a.w menyebut:

“Jika kamu melihat seseorang menjual atau membeli di masjid, maka katakanlah: ALLAH tidak akan menguntungkan perniagaanmu..” (Riwayat al-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani).

Cuma malangnya masyarakat kita, siapa sahaja yang dinobatkan sebagai ‘ustaz’, bagi mereka tentulah tahu semua benda dalam agama. Padahal, Islam begitu luas lagi ilmiah. Mana mungkin hanya dengan bergelar ustaz dia menguasai disiplin-disiplin yang hebat itu tanpa mempunyai kajian dan kaedah kajian yang mantap. Apakah dianggap pengkaji Islam jika sekadar mencetuskan beberapa lawak jenaka atau beberapa petua suami-isteri?!!.

Tukang Cerita

Dalam sejarah para ulama hadis sejak dahulu mengingatkan umat Islam tentang bahayanya golongan qussas dan wu’adz. Golongan ini adalah antara yang paling berperanan menwujudkan hadis palsu, atau menyebarkannya. Bahkan melalui mereka tersebarnya Israiliyyat, petua-petua khurafat dan cerita-cerita karut yang disandarkan kepada tokoh itu dan ini. Agama tercemar kerana mereka. Secara ringkas kita terjemahkan wu’adz dan qussas sebagai para penceramah agama dan tukang cerita.

Mungkin kita akan bertanya, apakah bahaya? Tidakkah mereka ini memberi nasihat di masjid dan surau kepada orang ramai. Orang ramai pula dapat mengambil manfaat daripada mereka?!.Kita katakan, bahayanya bukan kerana mereka memberikan nasihat, tapi bahayanya kerana ada isi kandungan agama yang terkandung dalam ucapan-ucapan mereka banyak yang tidak benar. Orang ramai terseleweng kerana mereka. Walaupun kita sedar bukan semua penceramah begitu. Ramai juga penceramah yang berhati-hati dalam penyampaian maklumat dan hadis-hadis yang dibaca. Namun lebih ramai penceramah yang hanya memikirkan apa yang disukai oleh pendengar semata. Kata Dr. Nasir bin `Abd al-Karim al-`Aql:

“Qussas mereka itu adalah wu’`azd yang mengadakan majlis-majlis untuk memberi nasihat, yang mana ianya menyanggahi majlis ilmu. Mereka memberi nasihat kepada orang ramai dengan berbagai hikayat, israiliyyat dan seumpamanya yang tidak ada asal usulnya, atau palsu, atau apa yang akal orang awam tidak dapat memikirkannya” (Nasir bin `Abd al-Karim al-`Aql, Al-Ahwa` wa al-Firaq wa al-Bida’ `ibr Tarikh al-Islam, m.s. 44, Riyadh: Dar al-Watan).

Orang Awam Terpengaruh

Sepatutnya majlis-majlis nasihat mestilah berteraskan ilmu yang tulen. Ayat-ayat al-Quran dan hadis yang dihuraikan mestilah memenuhi disiplin keilmuan yang telah digariskan oleh para sarjana Islam. Kata al-Imam Ibn Jauzi (meninggal 597H) ketika mengulas mengenai tipu daya iblis terhadap wu’adz dan qussas ini:

“…maka golongan awam dan wanita begitu suka kepada mereka. Lantas orang ramai tidak lagi sibuk dengan ilmu sebaliknya mereka berpaling kepada cerita-cerita dan perkara yang diminati oleh orang yang jahil. Maka timbullah berbagai bid`ah dalam bidang ini… di kalangan mereka ada yang memalsu hadis-hadis dalam al-targhib (menggalakkan ibadah) dan al-tarhib (menakutkan orang ramai terhadap maksiat).

Iblis menipu mereka lalu mereka berkata: “tujuan kami ialah untuk menggalakkan orang ramai kepada kebaikan dan menghalang mereka daripada kejahatan. Ini adalah penambahan mereka terhadap syariat. Justeru dengan perbuatan ini, syariat pada sisi mereka adalah cacat dan berhajatkan kepada penyempurnaan. Mereka lupa sabda Nabi S.A.W: “Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka” (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 143 , Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).

Ceramah Cari Makan

Adalah menyedihkan jika ada pihak yang menganggap, ceramah agama sebagai sumber mengumpul kekayaan. Tujuan ceramah ialah duit. Maka dia mencetuskan apa yang dirasakan boleh menghasilkan duit. Lalu dia rela mengorbankan ilmu dan fakta hanya kerana harta. Kata al-Syeikh Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib:

“Kebanyakan qussas (tukang cerita) mereka hanya pentingkan orang ramai berkumpul kepada mereka. Maka mereka pun mencipta hadis apa yang boleh disukai dan membangkitkan jiwa orang ramai, menggerakkan perasaan dan memberikan harapan. Di kalangan para qussas ada yang melakukan itu semua demi untuk memperolehi habuan dan faedah dari pendengar. Kebanyakan bala datang daripada mereka. Mereka berdusta kepada Nabi s.a.w.dan tidak pula menganggap itu sebagai dosa dan pembohongan. Peliknya, -mendukacitakan- mereka memperolehi pula telinga-telinga yang sudi mendengar, membenarkan dan membela mereka. Ini disebabkan kejahilan orang awam yang tidak mementingkan kajian dan penelitian”.( Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib, Usul al-Hadith, m.s. 424, Beirut: Dar al-Fikr)

Inilah hakikat yang berlaku sehingga ke hari ini. Entah berapa ramai penceramah tidak meneliti kedudukan fakta-fakta yang dikemukakan. Apa yang mereka pentingkan ialah jempuan orang ramai dan kesudian mereka untuk mendengar. Sebab itulah pada zaman dahulu Ibn `Umar beliau mengarahkan agar pihak berkuasa mengeluarkan mereka dari masjid dan `Umar bin `Abd al-`Aziz pula memenjarakan mereka dan sesiapa yang duduk dalam majlis mereka.( Lihat: Nasir bin `Abd al-Karim al-`Aql, Al-Ahwa` wa al-Firaq wa al-Bida’ `ibr Tarikh al-Islam, m.s. 44.).

Kesalahan mereka bukan kerana mereka memberi nasihat kepada orang ramai. Rasulullah S.A.W. dan para ulama salaf juga memberi ceramah dan nasihat kepada orang ramai. Namun yang salah ialah mereka menyebarkan perkara-perkara palsu.

Menyandarkan maklumat palsu kepada Islam adalah sesuatu yang amat haram. Malangnya perkara yang amat diharamkan syarak ini berlaku di masjid-masjid. Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (seorang ulama hadis al-Azhar):

“Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadis, samada ilmu riwayat atau dirayah (mengenai periwayatan dan teks hadis). Mereka hanya membaca hadis apa yang mereka hafal dan dari tulisan-tulisan tanpa mengetahui kedudukan hadis tersebut. Apa yang mereka pentingkan hanyalah reda orang ramai. Lalu mereka menyebut perkara yang berlebih-lebih, pelik dan ajaib yang Islam tiada kaitan dengannya. Mereka ini sepatutnya dihalang dari berceramah, memberi nasihat dan bertazkirah (Abu Syahbah, al-Wasit fi `Ulum wa al-Mustalah al-Hadith, m.s. 322, Kaherah: Dar al-Fikr al-`Arabi).