INI KESIMPULAN DARI SEBUAH KEHIDUPAN
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

Kita ini hanyalah bilangan hari dan waktu. Apabila sebahagian bilangan itu pergi, pergilah sebahagian dari kita ini. Setiap bilah hari yang meninggalkan kita, membawa bersamanya pelbagai coretan, kenangan, rahsia, cerita, derita, bahagia dan segala rupa warna dan rasa. Sebahagian yang tinggal menunggu giliran untuk melalui peristiwa yang sama. Mungkin berbeza nama hari, bulan dan tahun, tetapi tetap sama pada keadaan dan peranan. Ia akan membawa lagi sebahagian dari kita pergi meninggalkan kehidupan dunia ini. Sehinggalah pada saat tamatnya bilangan terakhir, maka ketika itu berakhirlah kehidupan kita di dunia ini.

Walaupun saban waktu dan hari bilangan itu pergi tidak kembali lagi, tetapi ia tetap meninggalkan kesan pada bilangan yang masih ada. Kenangan, peristiwa, pengajaran dan bekalan yang dikutip oleh hari-hari semalam ditinggalkan untuk hari-hari mendatang. Adakala ia pahit, adakala manis, adakala kita membencinya, adakala kita menangisi kehilangannya dan adakala kita ingin melupai dan mengharapkan supaya bilangan itu tidak pernah wujud dalam diari kehidupan kita. Bilangan yang pergi dan datang jua menyimpan pelbagai rahsia setiap kita. Bukan semua babak lakonan setiap insan diketahui oleh orang lain. Sebahagian besarnya adalah rahsia kehidupan, hanya dia dan Tuhan. Beruntunglah insan yang rahsianya di sisi Yang Maha Esa lebih baik dari apa yang disangka oleh manusia.

Ramai yang seakan merasa segala kezaliman dan kekejamannya ke atas orang lain berakhir dengan berlalunya hari-hari dirinya dan orang lain. Segalanya dilupa. Tapi, kesan kesakitan dan luka yang ditinggalkan oleh hari-hari semalam tidak semestinya dilupai oleh yang dizalimi. Hari-hari yang pergi mewarisi luka-luka yang terpalit dalam memori. Si mangsa tidak lupa. Allah juga tidak lupa, akan hari pembalasanNYA. Samada pembalasan itu hadir dalam baki hari-hari duniawi yang masih tertinggal ataupun pada Hari Pembalasan yang sangat agung. Ataupun, pembalasan itu akan tiba dalam dua alam; dunia yang fana ini dan akhirat yang kekal abadi. Ataupun, Allah mengampunkannya atas ilmuNYA yang DIA Maha Tahu.

Hari yang pergi, jika ia kejelekan dan kotor hitam, kita diberi peluang untuk mengindahkan dan memutihkannya pada hari-hari yang masih berbaki. Adakala kejelekan itu tidak boleh diindahkan kembali melainkan melalui proses yang panjang. Adakala kekotoran dan kehitaman itu tidak boleh dicuci dan diputihkan dengan mudah. Mengambil masa yang lama dan memerlukan bahan pembersih yang banyak.

Ada kalanya pula, kita telah benar-benar membersihkannya namun oleh kerana warna hitam semalam terlalu kuat mempengaruhi pemikiran sebahagian orang, lantas mereka tetap menafikan warna putih, ataupun kain yang sudah kita bersih pada hari-hari yang berbaki. Mungkin mereka tahu hakikatnya telah suci, tapi masih ingin menafi atas sifat rakus insani. Ataupun, memang rupa jelek atau warna hitam semalam telah benar-benar membutakan mata dari melihat warna murni hari ini.

Namun, kita perlu yakin tanpa syak bahawa Allah benar-benar mengetahui segalanya. Dia Maha Mengetahui antara yang hitam dan putih, antara yang bersih dan kotor. Dia Mengetahui siapa hambaNYA yang bertaubat, siapa pula hambaNYA yang keras jantung hati. Penilaian Tuhan sentiasa adil tanpa kekurangan. Hari-hari yang baki memberi peluang insan membaiki diri. Bahkan dengan keikhlasan kepada Tuhan, kebaikan hari ini dapat memadamkan keburukan hari semalam.

Sebahagian manusia pula menyangka bahawa kemanisan hari-hari yang pergi akan terus diwarisi tanpa siapa yang dapat menghalangi. Tiba-tiba dia sedar, bahawa hari-hari yang berbaki tidak semestinya menjejaki warna-warna indah, ceria dan bahagia yang telah pergi meninggalkannya. Duka mengambil tempat suka, derita merampas hari-hari bahagia. Sekali lagi diingatkan agar insan sentiasa bersyukur atas apa yang telah diberikan dan memohonkan dikekalkan nikmat kurniaan. Disuruh kita membunuh rasa bongkak dan takabur atas kurnia nikmat, kerana segalanya mungkin saja bertukar. Senggara itu boleh menjelma dalam pelbagai rupa. Walaupun sang raja masih hidup di istana mewahnya, namun senggara boleh masuk dan mencabut gembira dan bahagia sekalipun dia masih berada atas singgahsana empuknya. Kepada Allah juga pengharapan dalam setiap detik kehidupan. Dia Yang Memberikan segala kurnia sebagai ujian untuk sebahagian hamba-hambaNYA.

Hari-hari yang pergi dengan penuh dengan tangisan dan kesedihan tidak semestinya mewarisi airmata derita dan wajah duka untuk hari-hari yang menjelma selepasnya. Tangisan dari sepasang mata mungkin terus mengalir pada hari yang berbaki, tetapi disebabkan gembira dan bahagia. Bukan lagi disebabkan sengsara. Hari-hari yang datang, tidak semestinya mencontohi lagi hari semalam. Bahkan derita semalam, memuncakkan kenikmatan apabila kebahgiaan menjelma pada hari ini. Siapakah penentu segalanya? Allah. Allah. Allah tiada tuhan melainkan Dia Yang Maha Menguasai segalanya. Maka jangan hairan wahai teman, jika anda melihat yang miskin bertukar menjadi kaya, yang sengsara bertukar bahagia. Juga jangan hairan, jika berlaku hal yang sebaliknya. Sesiapa yang bertawakal kepada Allah, akan dibukakan baginya pelbagai keajaiban yang tidak disangka.

Akhirnya kita akui bahawa, kita hanya bilangan hari. Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan detik dan waktu. Kita semua akan sampai pada saat bilangan detik yang terakhir. Di kala itu tamatlah segala drama dan babak-babaknya yang kita lalui di atas pentas dunia yang fana. Menunggu saat perhitungan Tuhan atas segala cerita yang kita lakonkan. Segala lenggang lenggok watak dan gaya kita, telah tamat dengan berakhirnya bilah terakhir yang pergi dan tiada yang datang lagi. Tiada subsidi waktu dan hari yang mampu diberikan oleh sesiapa pun. Segalanya kenangan bagi semua drama kehidupan. Tiada lagi teman, tiada lagi harta dan tiada lagi senyum tawa. Derita dan derita. Atau pun, tiada lagi derita, tiada lagi sengsara. Bahagia dan bahagia. Di kala itu kita akan hidup dalam bilangan hari yang tiada kesudahan, dan waktu yang tiada berbaki. Ya Allah! Ampunilah kami ini.