KENYATAAN HASAN ALI BOLEH MENGHINA UMAT ISLAM
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

 

 

1. Saya terbaca kenyataan Dato Hasan Ali yang menyatakan umat Islam boleh murtad sebab sebaran solar-powered talking Bible. Jika benar laporan media, saya rasa kenyataan itu satu penghinaan kepada masyarakat Islam di Malaysia dan boleh menjadi satu tindakan kempen tidak langsung tentang ‘the power of reading the Bible’ seperti yang ditonjolkan oleh sesetengah pihak.

 

2. Di Malaysia, al-Quran dikumandangkan di pembesar suara, TV, radio, majlis-majlis kerajaan dan lain-lain, tidak pula dihebohkan bukan muslim menganut Islam kerana terdengar bacaan al-Quran setiap hari. Tiba-tiba dihebohkan kononnya ada yang masuk Kristian kerana mendapat alat kecil yang membaca Bible. Alangkah hinanya umat Islam dan agamanya. Seakan-akan orang Islam yang sekian lama mendengar al-Quran, terus berubah kerana terdengar atau mendengar bacaan Bible. Tindakan ini seakan kuasa ataupun pengaruh Bible mengatasi al-Quran.

 

3. Bagi saya, maaf terpaksa katakan bahawa kenyataan itu juga sesuatu yang amat tidak wajar bagi seorang exco kerajaan yang hidup di zaman teknologi. Hari ini segala bacaan samada al-Quran ataupun Bible boleh di dapati di internet. Pelbagai peralatan, samada komputer ataupun selainnya boleh melakukan ‘download’ semua bacaan ini. Tidak perlu untuk bersembunyi mendapat atau mendengarnya. Bagi saya, kenyataan beliau tanpa disedari boleh menjadi kempen mendengar Bible yang sebelum ini tidak ramai yang mengambil kisah. Itu pun bukan satu kesalahan. Dunia tidak tertutup. Setiap yang mendengar dan menilai akan dapat menemui kebenaran yang hakiki. Peranan golongan agama di era ini, bukan menghalang tetapi berhujah dan menerangkan apa yang diyakini secara matang.

4. Jika benar seperti yang didakwa, ada pihak Kristian yang menyebarkan alatan itu secara percuma dan bantuan lain lagi kepada saudara-saudara muslim kita, maka saya mencadangkan beliau kena mengerahkan JAIS membuat kerja yang lebih bermanfaat dengan menyebarkan secara percuma alatan yang sama atau lebih canggih yang mengandungi ayat al-Quran dan terjemahannya. Juga mengandungi ucapan-ucapan dakwah kepada Islam secara hikmah dan bijaksana. JAIS boleh pastikan dulu alat itu ‘mendapat tauliah’ supaya alat itu tidak ditangkap atau dirampas.

5. Sudah banyak kali beberapa pihak menyebut tentang umat Islam yang murtad. Tuduhan murtad amatlah besar. Menyatakan sejumlah besar umat Islam murtad adalah memalukan umat Islam itu sendiri. Perlu tanggungjawab atas dakwaan ini. Saya mengharapkan pihak beliau boleh mengeluarkan nama-nama mereka berkenaan jika benar wujud. Kedua, dengan senarai nama itu, boleh membantu untuk pihak lain membuat kajian tentang punca murtad jika benar berlaku. Dalam artikel saya MENANGISI MURTAD DAN ZAKAT, saya sendiri pergi berjumpa dengan pihak yang dikatakan murtad itu. Boleh rujuk kepada artikel itu. Ya, sesetengah pihak menyebut ratusan ribu, ada yang menyebut puluhan ribu, ada yang menyebut beribu-ribu. Harap nama-nama mereka dapat diserah kepada pihak-pihak yang dapat mengkaji punca untuk mengatasi masalah. Janganlah ia hanya satu dakwaan kosong yang tiada bukti yang diyakini, ataupun memang wujud tetapi tidak berani didedahkan kerana mereka tahu mungkin kesalahannya akan balik kepada pihak berkuasa yang menguruskan urusan agama itu sendiri.

6. Saya bimbang cara exco PAS mengendalikan isu-isu ini memperlihatkan corak pemerintahan sesetengah mereka jika berkuasa penuh nanti. Saya amat bimbang. Saya bimbang usaha mempertahankan Islam sebegini secara tidak langsung boleh memperlekehkan umat dan agama Islam sendiri tanpa sedar. Mungkin kita ingin menutup kelemahan kita dengan menudingkan jari kepada pihak lain. Itu bukan tindakan yang baik bagi pihak yang berkuasa. Memalukan, umat yang majoriti sering menampilkan diri sebagai tertindas oleh agama yang minoriti. Padahal jika kita benar-benar menggerakkan kemampuan yang ada dalam kalangan Islam di Malaysia, banyak yang boleh dilakukan. Malanglah jika exco agama yang memerintah negeri dengan segala dana harta dan kuasa membuat kenyataan bagaikan seorang muslim di Selatan Thailand yang tertindas.

7. Cara dan gaya mempertahankan Islam para era ini memerlukan pendekatan yang lebih bersifat semasa dan berkesan. Sepatutnya sebagai ‘parti alternatif’ PR mempelopori pendekatan baru yang lebih berkesan dan meninggalkan cara lama yang mungkin sudah tidak sesuai untuk era ini. Malangnya hal ini tidak berlaku. Menyedihkan. Orang lain tertawakan cara kita, maka jangan hairan jika ada muslim juga yang bertambah keliru. Mungkin yang hendak masuk Islam menjadi terbantut, yang lemah iman tergugat. Maka jangan hairan jika benar ada yang murtad atau yang baru masuk ingin keluar semula. Siapakah punca langsung dan tidak langsung? Berhati-hati dalam isu ini.

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
OCIS, Oxford.