DOSA SIAPAKAH ATAS KEJAHILAN MANUSIA?
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

 

Apabila tulisan saya ‘Bolehkah Bukan Muslim Selamat Dari Neraka’ keluar minggu lepas, maka ada pula yang berkata bahawa manusia sepatutnya dapat berfikir sendiri untuk mencari agama yang sebenar. Ada yang bertanya ‘jika ada bukan muslim yang terlepas dari hukuman Allah disebabkan hujah Islam yang tidak sampai kepada mereka, maka siapakah yang bersalah?’.


Idea bahawa manusia tanpa wahyu Allah pun boleh berfikir sendiri untuk memahami agama dengan melihat kepada kebesaran Allah di alam ini adalah idea aliran muktazilah. Namun idea ini tertolak dengan bukti terbesar Allah mengutuskan para rasul dan mewajibkan dakwah serta pengajaran. Jika manusia boleh berfikir tentang agama sebenar sendirian, maka apa perlunya pengutusan para rasul? Apa perlunya diwajibkan dakwah?

 

Melihat alam ciptaan Tuhan membolehkan manusia menyimpul tentang kewujudan dan kebesaran Tuhan. Namun, manusia tidak mungkin tahu agama yang sebenar melainkan dengan kedatangan hujah wahyu. Jika Nabi s.a.w sendiri tidak tahu tentang agama yang sebenar sebelum ketibaan wahyu, bagaimana mungkin manusia di timur dan barat, di hutan dan padang pasir, yang bodoh dan cerdik, yang terpelajar dan buta huruf, yang kuat dan yang lemah difardukan memahami sendiri agama yang sebenar tanpa kedatangan hujah Islam kepadanya? Kemudian mereka dihukum Tuhan? Mustahil.

Firman Allah: (maksudnya)

“Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) ruh dari sisi Kami (Al-Quran) sedangkan engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah itu iman ; akan tetapi Kami jadikannya (Al-Quran) cahaya yang Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki dalam kalangan hamba-hamba Kami. dan sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk ke jalan yang lurus. (al-Shura 52)

Tiga Golongan

Rabu lepas saya hadir ke dinner rasmi mingguan anjuran OCIS di Bandar Oxford ini. Di sebelah tempat duduk saya penasihat hak asasi manusia bagi Commonwealth Secretariat. Namanya Treva D Braun. Beliau berbicara dengan saya beberapa tajuk terutama tentang kebimbangan beliau terhadap perlaksanaan Islam akan menjejaskan hak asasi wanita. Saya berbincang tentang salahfaham beliau mengenai wanita dalam Islam. Beliau berkata bahawa mungkin apa yang saya kata itu satu tafsiran namun apa yang berlaku sebaliknya. Beberapa isu dibangkitkan oleh beliau. Ada yang betul, ada yang hanya disebabkan persepsi beliau. Nilai yang berbeza. Apapun gambaran Islam yang ada mengelirukan beliau, atau mungkin sengaja memilih sikap yang demikian.


Gambar di Cornmarket Oxfort. Bantahan terhadap Human Trafficking.

Semasa mendengar komentar beliau saya sekali lagi teringatkan soalan ‘siapakah yang bertanggungjawab atas terhalangnya hidayah sampai kepada manusia? Ya, secara umumnya tiga golongan paling bertanggungjawab; pertama, mereka yang menghalang hujah Islam atau ajaran Islam yang sebenar sampai kepada manusia. Kedua, mereka yang memutar belitkan kebenaran sehingga manusia keliru dan terhalang maklumat yang sebenar. Ketiga, mereka yang enggan menyampaikan ajaran yang sebenar.

Penghalang ajaran agama bukan sahaja ada di negara bukan muslim seperti beberapa negara komunis, tetapi juga kadang-kala dalam kalangan umat Islam sendiri. Bukan sedikit para pemerintah dalam dunia Islam yang menghalang ajaran yang sebenar. Bukan setakat hari ini; bahkan sejak zaman Islam di bawah khalifah-khalifah dalam pelbagai dinasti, ramai ulama yang ditahan, diseksa dan dibunuh. Bahkan dalam dunia Islam hari ada yang menggunakan nama ‘penguatkuasaan agama’ untuk menghalang hujah-hujah agama.

Jika di China umpamanya, penyebaran Islam secara terbuka tidak dibenarkan, tapi di Malaysia lebih menarik, artis tiada masalah ketika berdansa di khalayak ramai, tetapi didakwa apabila cuba bertazkirah agama atas alasan tauliah. Jika atas alasan ‘ajaran salah’ boleh difikir dan dinilai. Alasan tauliah semata, tidak jauh dengan alasan negara China. Bahkan berapa ramai mereka yang memiliki PhD dan Master pengajian Islam dari institusi pengajian Islam yang diiktiraf dalam dan luar negara tidak mendapat tauliah di Selangor.

Secara umumnya, apabila manusia benar-benar terhalang sehingga ruang cahaya kebenaran tidak dapat ditembusi, sehingga mereka jahil hakikat kebenaran; samada keseluruhan kebenaran atau sebahagiannya, maka kadar kejahilan manusia itu ditanggung dosanya oleh sesiapa yang menghalang hujah kebenaran untuk sampai kepada manusia.

Ini mengingatkan kita kepada surat Nabi s.a.w kepada Hercules:

“Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, daripada Muhammad Pesuruh Allah kepada Hercules Pembesar Rom, salam sejahtera kepada sesiapa yang mengikut petunjuk. Seterusnya, aku menyeru kamu dengan seruan Islam, terimalah Islam nescaya kamu selamat. Allah akan memberikan kamu dua ganjaran. Jika kamu enggan, kamu menanggung dosa rakyat bawahanmu.

–kemudian baginda menulis firman Allah- (maksudnya):”Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dan kamu; Iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja selain dari Allah”. Kemudian jika mereka (ahli kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam” –Ali ‘Imran: 64. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Disesatkan

Mereka yang menjadi pengikut bawahan terdiri dari dua kelompok; pertama mereka yang benar-benar terhalang cahaya kebenaran. Mereka ini selamat di akhirat Kedua; mereka yang berpeluang mendengar hujah kebenaran tetapi memilih untuk bersama dengan para penentang kebenaran disebabkan kelebihan yang ditawarkan. Mereka tidak selamat. Al-Quran menyebutkan tentang mereka yang menyebabkan orang lain sesat dengan firmanNya: (maksudnya)

“dan sesungguhnya mereka akan menanggung beban-beban dosa mereka dan beban-beban (dosa orang-orang yang mereka sesatkan) bersama-sama dengan beban-beban dosa mereka sendiri; dan sesungguhnya mereka akan ditanya pada hari kiamat kelak tentang apa yang mereka pernah ada-adakan secara dusta itu”. (al-Ankabut: 13)


Karya-karya di Barat pada era ini sering mengaitkan isu keganasan dan Islam. Ini hasil dari lobi media massa di Barat.

Media di Barat sentiasa memberikan gambaran yang negatif tentang Islam. Kaitan Islam dengan militant akan dibahaskan secara langsung dan tidak langsung. Orang awam ramai menjadi begitu prejudis dan phobia dengan Islam. Tujuan mereka amat halus dan jahat. Islam menjadi begitu kabur bagi sebahagian besar masyarakat dunia. Niat buruk media-media ini dikukuhkan lagi dengan berita-berita tindakan orang Islam sendiri.

Baru-baru ini di UK ada keluarga muslim yang membunuh anak perempuan mereka yang bercinta atas alasan honor killing. Islam digambarkan tidak menghormati hak asasi, walaupun banyak yang Barat sendiri langgar. Wanita dianggap tertindas berdasarkan takrifan kebebasan yang Barat gunapakai dan juga realiti yang berlaku seperti fatwa wanita tidak boleh memandu kereta di Arab Saudi dan tindakan sebahagian yang memaksa anak perempuan kahwin, paksaan memakai purdah dan lain-lain.

Wajah Islam yang pelbagai juga begitu mengelirukan. Di UK Alhamdulillah tahun ini hariraya adha serentak. Sebelum ini, setiap aliran berlainan hari. Ada salafi, ada sufi, ada brelewi ada syiah dan entah berapa lagi puak. Ditambah lagi dengan Ismaili dan Gadiani yang juga menggunakan nama Islam. Menu yang mengelirukan, boleh menjadikan orang awam hilang selera hendak makan. Di manakah Islam yang sebenar? Media Barat membakar api atas minyak yang mengalir.

 

Tanggungjawab Dakwah

Tugasan kita yang sebenar menyampaikan Islam yang berasaskan dalil dan hujah. Apabila kita mengetahui kebenaran, haram kita menyembunyikannya sehingga manusia menjadi keliru dan sesat. Cuma cara sesuatu kebenaran hendak disampaikan, hendaklah dengan hikmah agar menepati sasarannya. Dosa menyembunyikan kebenaran tanpa sebab yang sah sehingga manusia sesat akan ditanggung oleh mereka yang Allah kurniakan ilmu pengetahuan tentang kebenaran. Tanpa perlu menoleh kepada gelaran ulama atau bukan ulama. Setiap kita bertanggungjawab menyampaikan kebenaran dengan kadar yang ada padanya. Sama seperti zakat harta, setiap orang membayar dengan kadar hartanya.

Kita perlu jelaskan Islam yang bersumberkan nas yang sahih dan hujah yang munasabah yang sesuai berdasarkan waktu dan tempat. Sesiapa yang menyembunyikan ilmu tentang kebenaran ini sehingga tidak tertegaknya hujah yang teguh untuk manusia memahami kebenaran maka dia akan dihukum oleh Allah. Sudah pasti ulama yang menyembunyi al-haq akan lebih dahsyat dilaknat Tuhan dibandingkan orang lain. Firman Allah : (maksudnya):

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia dalam Kitab (yang diturunkan), mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (penyelewengan mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Baqarah: ayat 159-160).