KUALA LUMPUR, 30 Sept — Pusat Penyelidikan PAS mencadangkan agar bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dilantik mengetuai muzakarah mengenai pelaksanaan hukum hudud, yang disyorkan oleh parti Islam itu semalam.

 

“Cadangan melantik Dr Asri ini dilihat boleh diterima oleh semua pihak memandangkan beliau tidak berpihak kepada mana-mana parti politik sama ada PAS, PKR dan Umno.

 

“Justeru pelantikan beliau akan lebih menjayakan muzakarah ke arah pelaksanaan usaha yang murni ini,” kata Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Dr Zuhdi Marzuki.

 

Semalam, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan agar diadakan satu muzakarah untuk meleraikan kekeliruan dan membetulkan persepsi negatif yang timbul dalam masyarakat terhadap sistem perundangan Islam di negara ini.

Selain itu PAS turut mencadangkan agar muzakarah ini dihadiri oleh para mufti dan Umno mewakili parti pemerintah.

“Muzakarah ini diharap dapat diadakan secara terbuka bagi memberi ruang luas kepada seluruh masyarakat mendengar pandangan semua pihak, bukannya tindakan sebelah pihak,” kata Tuan Ibrahim.

PAS mengesyorkan pandangan ini ketika negara menyaksikan kontroversi berkaitan dengan pelaksanaan hukum hudud. Isu ini muncul kembali minggu lalu.

Selain itu kata Zuhdi, Asri juga dihormati sebagai ilmuan Islam kontemporari, yang peka dengan perkembangan politik semasa termasuk di Malaysia.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Zuhdi berkata, Pusat penyelidikan PAS berpandangan fungsi muzakarah ini seumpama Majlis Perundingan Ekonomi Negara (Mpen) yang pernah ditubuhkan oleh kerajaan untuk merangka rancangan jangka panjang pembangunan Malaysia menjelang tamatnya tempoh pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

“Menyedari hakikat tersebut, muzakarah pelaksanaan hukum-hukum syariah perlu merumuskan langkah-langkah yang perlu diambil ke arah melaksanakan syariah di Malaysia termasuklah mewujudkan suasana yang kondusif seperti yang pernah dibangkitkan oleh Dr Asri sebelum ini.

“Cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh muzakarah ini hendaklah dilaksanakan oleh kerajaan sama ada di peringkat persekutuan atau negeri, bukan seperti yang telah berlaku kepada Mpen sebelum ini, apabila Perdana Menteri ketika itu menegaskan kerajaan tidak terikat dengan keputusan-keputusan Mpen,” katanya lagi.

Jelas beliau, Pusat Penyelidikan PAS melihat dengan muzakarah yang dicadangkan itu, polemik berkaitan pelaksanaan syariah di Malaysia termasuklah yang berkaitan dengan isu pelaksanaan hukum hudud dapat diselesaikan.

“Pusat Penyelidikan PAS menggesa kerajaan Malaysia menyahut seruan Ketua Penerangan PAS untuk mewujudkan muzakarah tersebut, bukannya berdolak-dalik dalam isu pelaksanaan syariah ini.

“Pendirian Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sendiri saling bercangggah dalam isu ini. Perdana Menteri menyatakan hukum hudud tidak akan dilaksanakan di Malaysia, yang difahami bahawa sampai bila-bila tiada ruang bagi hukum hudud untuk dilaksanakan manakala Timbalan Perdana Menteri pula menyatakan bahawa hukum hudud belum sesuai dilaksanakan, yang boleh difahami bahawa akan tiba masanya hukum hudud itu dilaksanakan,” kata Zuhdi.

Oleh itu kata beliau, Pusat Penyelidikan PAS menggesa supaya seruan ini disahut sebagai membuktikan komitmen kerajaan khususnya Umno dalam melaksanakan hukum-hukum syariah pada masa-masa hadapan.

sumber : The Malaysian Insider