LANGKAH MANSUH ISA MESTI DIPUJI DAN DISOKONG
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)

 

Saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih yang teramat sangat kepada langkah bersejarah dan tindakan berwibawa YAB Perdana Menteri DS Najib Tun Razak yang memansuh ISA dan tiga Proklamasi Darurat yang baru sahaja diumumkan. Bagi saya pengumuman itu membawa makna yang besar kepada negara dan amat bersejarah;

 


1. ISA adalah satu akta yang tidak Islamik, menjejaskan hak asasi individu, boleh disalahgunakan oleh pemerintah dengan mudah; maka tindakan memansuhkannya adalah tindakan yang amat islamik. Dalam masa yang sama menunjukkan semangat penghormatan hak rakyat yang tinggi oleh pihak pimpinan YAB Perdana Menteri sekarang dalam isu ini.

2. Sekian lama perjuangan agar akta ini dimansuhkan, hari ini YAB PM telah merealisasikan harapan dan impian rakyat ini. Itu satu penunaian hasrat rakyat yang besar untuk melihat sistem pengadilan negara yang lebih baik.

3. Pengumuman ini lebih berharga dari segala pemberian bonus dan kenaikan gaji, kerana pemansuhan ini bererti mengembalikan hak asasi insani yang lebih berharga dari wang ringgit. Ini bererti ia sebuah hadiah daripada PM yang bermakna sempena Hari Malaysia.

4. Pengumuman ini bererti, usaha transformasi negara dan kesedaran kerajaan YAB PM sekarang tentang perubahan situasi rakyat tidak boleh dianggap retorik politik semata, sebaliknya ia telah diterjemahkan dalam beberapa langkah yang berani dan bermakna.

5. Rakyat yang insaf, tanpa mengira parti hendaklah berterima kasih kepada pengumuman ini. Kita hendaklah berpolitik secara matang, memuji apa yang patut dipuji, menyokong apa yang patut disokong, membantah apa yang patut dibantah, mengkritik apa yang patut dikritik.

Akhirnya, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih dan tahniah, dan menyeru semua rakyat berterima kasih atas langkah ini.