DI MANAKAH HENDAK DICARI KETENANGAN HAKIKI?
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com
atau email drmaza71@gmail.com)

 

Seseorang bertanya bagaimanakah beliau dapat mencari kebahagiaan yang hakiki dalam menghadapi hidup yang mencabar. Apakah itu sakinah dalam kehidupan?

 

Sebenarnya, saya sendiri gerun untuk menjawabnya kerana ketenangan dan ketenteraman jiwa yang sebenar tidak boleh sesiapa pun berikan melainkan hanya Allah. Hanya insan-insan yang benar-benar mendampingi diri kepada Allah akan menikmatinya. Saya juga seperti yang bertanya, berusaha mencari dan ingin memperolehinya.

 

Saya merenung kata-kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) dalam kitab kerohaniannya yang terkenal ‘Madarij al-Salikin’. Suatu kata-kata yang terbit dari ilmu dan pengalaman kerohanian yang dalam. Kata beliau:

“Dalam jantung hati ada keserabutan yang tidak dapat dibersihkan melainkan dengan mengadap Allah, padanya ada kesunyian yang tidak dapat dihilangkan melainkan perdampingan dengan Allah, padanya ada dukacita yang tidak dapat ditanggalkan kecuali dengan kegembiraan mengenali Allah dan ketulusan berhubungan denganNya, padanya ada kegusaran yang tidak ditenangkan melainkan bersama Allah dan kembali kepadaNya, padanya ada api kedukaan yang tidak dapat dipadamkan melainkan redha dengan perintah, larangan dan ketentuan Allah, menghayati kesabaran sehingga bertemuNya, padanya ada kefakiran yang tidak dapat ditampung melainkan dengan cinta dan penyerahan diri kepada Allah, sentiasa mengingatiNya, keikhlasan yang benar kepadaNya”.

Penawar

Itulah penawar bagi jantung hati insan. Itu ubat bagi nurani insan. Dunia dan segala isinya tidak akan dapat membawa kebahagiaan ke dalam sanubari insani, jika insan itu tidak mengenali Allah, mendampingiNya, memohon daripadaNya, merintih dan menangis di hadapan kebesaranNya. Insan telah mencuba pelbagai perkara dalam kehidupan, tetapi mereka tetap gagal menemui sakinah, kebahagian dan ketenangan yang hakiki selagi mereka tidak kembali menyerah jiwa raga, ruh dan jasad tunduk dalam sedu dan syahdu mengingati dan bertawakkal kepada Allah.

Manusia mungkin boleh menawarkan harta, wanita dan kuasa, namun belum tentu bersamanya bahagia. Justeru, seorang yang tinggal dalam rumah yang indah dan mewah, belum tentu lebih bahagia dan tenteram jiwa dari seorang yang tinggal di rumah yang usang dan buruk. Seorang wanita yang bersuami orang kaya belum tentu lebih bahagia dari seorang wanita yang bersuami lelaki biasa. Seorang yang beristeri cantik, belum tentu lebih bahagia dari yang beristeri tidak seberapa. Bahkan yang dihidangkan makanan lazat, belum tentu dapat menikmatinya melebihi seorang yang hanya dihidang makanan kebanyakan. Maka, jangan hairan jika negara-negara maju dan kaya seperti Perancis, Germany, Jepun, Austria peratusan rakyat mereka yang membunuh diri tinggi. Kebahagiaan bukan soal harta, tetapi soal jiwa insani yang kahausan kasih dan cinta ilahi.

Al-Quran dan al-Sunnah membimbing insan dalam mencari kebahagian yang hakiki ini. Allah menyebut: (maksudnya)

“Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepada satu nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi apa (penyakit-penyakit) yang ada dalam dada kamu, dan juga menjadi petunjuk serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman”. (Surah Yunus, 57).

Nabi s.a.w pula menyebut:

“Sesiapa yang akhirat itu tujuan utamanya, maka Allah jadikan kekayaannya dalam jiwanya. Allah mudahkan segala urusannya dan dunia akan datang kepadanya dengan hina (iaitu dalam keadaan dirinya mulia). Sesiapa yang menjadikan dunia itu tujuan utamanya, maka Allah akan letakkan kefakirannya antara kedua matanya. Allah cerai beraikan urusannya, dan dunia pula tidak datang kepadanya melainkan dengan apa yang ditakdirkan untuknya (iaitu dalam keadaan dirinya hina)”. (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Sakinah

Mengetahui agama belum tentu menjadikan seseorang mendekatkan diri kepada Allah. Betapa banyak insan yang memakai pelbagai gelaran agama, namun mereka gagal mendampingkan diri kepada Allah. Maka, untuk mencari kebahagian dan sakinah, insan bukan sekadar berilmu, tetapi hendaklah mengikhlaskan diri kepada Allah, menyerah dan bergantung kepadaNya. Apabila jiwa bersih dari sebarang unsur syirik, apabila ditanggalkan dari nurani ini kebesaran dan pergantungan kepada makhluk, ditempatkan hakikat tawakal kepada Allah, apabila insan sentiasa berdoa; rintihan, harapan, rayuan, esakan dan tangisan kepada Allah, dilontar jauh segala perharapan jiwa kepada selainNya, maka insan akan menemui hakikat kenikmatan hidup.

bahgia.jpg

Apabila zahir dalam kehidupannya apa yang dia sering kita ungkapkan dalam Surah al-Fatihah: “Hanya Engkau kami sembah dan hanya Engkau kami mohon pertolongan”, maka zahir keyakinan hidup dan kenikmatan yang tiada bertebing bagi sebuah diari yang singkat ini. Moga kenikmatan yang lebih besar di akhirat menanti. Apabila zahir hakikat ini dalam hidup, lahirlah kehidupan yang berprinsip, dibukakan laluan kehidupan dan sentiasa dibimbing dalam menuju garis penamat riwayat dunia ini. Lahirlah insan soleh yang kakinya memijak bumi, jiwanya bergantung pada Allah. Lahirlah insan soleh yang siangnya bagaikan perwira yang tangkas, namun dalam kesunyian malam dia adalah hamba yang kusyuk dan penuh sendu dan tangis merintih dan merayu kepada Allah Yang Esa.

Apabila sakinah itu Allah berikan dalam kehidupan seseorang, segala rintangan amat kecil kerana dia sedang bersandar kepada yang Maha Agung dan Maha Besar. Kata al-Imam Ibn al-Qayyim:

“Sakinah: ketenteraman dan ketenangan hati nurani. Asalnya dalam hati nurani dan zahir kesannya pada anggota” ( Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Tibb al-Qulub 237. Damsyik: Dar al-Qalam).

Demikian sakinah itu hadir dalam jiwa Nabi Ibrahim a.s. ketika dia dilontarkan ke dalam api, hadir dalam jiwa Nabi Musa a.s. ketika dia dikepung oleh Firaun. Demikian kepada sekelian para nabi, terutama nabi kita Muhammad s.a.w. Firman Allah (maksudnya):

“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua (Abu Bakar) semasa mereka berlindung dalam sebuah gua, ketika dia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan sakinah ke atasnya (Nabi s.a.w) dan menguatkannya dengan bantuan tentera yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (hina), dan kalimah Allah (Islam) itulah yang tertinggikerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” (Surah al-Taubah, 40).

Demikian sakinah diturunkan ke dalam hati nurani mereka yang beriman dalam kalangan sahabah Nabi s.a.w yang berjuang pada jalan Allah dan menghadapi cabaran. Firman Allah: (maksudnya)

“Dialah Yang menurunkan sakinah ke dalam hati nurani orang-orang yang beriman (semasa mereka marah terhadap angkara musuh) supaya bertambah iman beserta iman mereka yang sedia ada; dan Allah mempunyai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”. (Surah al-Fath, 4).

Apabila sakinah itu turun ke dalam jiwa mukmin, tindakan dan bicara mereka melambangkan tindakan dan bicara insan yang berprinsip dan matang. Berbeza dengan musuh atau pihak yang tiada sakinah dalam bicara dan tindakan mereka. Allah menyebut hal ini: (maksudnya)

“Ketika orang-orang yang kafir itu menimbulkan perasaan sombong angkuh yang ada dalam jantung hati mereka -perasaan sombong angkuh secara jahiliyah-, lalu Allah menurunkan sakinah kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman, serta meminta mereka tetap berpegang kepada “kalimah Taqwa”, sedang mereka (di sisi Allah) adalah orang-orang yang sangat berhak dengan kalimah itu serta menjadi ahlinya. dan (ingatlah), Allah itu Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (Surah al-Fath, 26).

Itulah sakinah yang telah Allah turunkan kepada para nabi a.s. dan kepada golongan mukminan yang berjuang mendapatkan redha Allah.

Maka, dalam menelusuri hidup yang mencabar, di zaman yang penuh fitnah ini, tiada yang dapat mententeramkan jiwa kecuali bila Allah menurunkan kebahagiaan dari sisiNya kepada kita. Kata Ibn al-Qayyim dalam Tibb al-Qulub sebab yang membawa seorang kepada sakinah ialah perasaan perdampingan (muraqabah) dengan Allah seakan dia melihat Allah. Apabila perasaan itu bertambah, maka bertambahlah rasa cinta, tunduk, kusyuk, takut dan harap kepadaNya.

Kita mungkin tidak dapat menyelak cabaran dan ujian dalam hidup. Manusia yang zalim dan jahat mungkin cuba merampas pelbagai hak kita dalam kehidupan, namun mereka tidak akan dapat merampas kebahagian dalam jiwa kita kerana sakinah adalah kurniaan Allah yang diturunkan dalam jiwa mukmin. Kita mungkin tidak dapat bersaingan dengan orang lain di sudut kekayaan dunia dan kenikmatannya, tetapi kita sentiasa berpeluang mendapat sakinah jika memohon dan mencarinya di sisi Allah.