PERTANDINGAN JORAN BANYAK BERASASKAN JUDI
Prof Madya Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

 

Setelah diteliti didapati kebanyakan pertandingan joran yang sekarang begitu meluas dalam negara ini berasaskan ‘judi’ atau qimar. Malangnya, pertandingan joran yang berasaskan prinsip perjudian ini begitu telah membabitkan pelbagai pihak; kerajaan negeri, kerajaan tempatan, majlis perbandaran, parti-parti politik, sekolah, syarikat perniagaan, persatuan dan lain-lain. Masyarakat pula tidak mengambil serius tentang pembabitan unsur atau asas perjudian dalam kebanyakan pertandingan joran yang diadakan. Untuk itu beberapa perkara berikut perlu disebutkan;

 

1. Dalam Islam judi atau qimar adalah haram dan tersenarai dalam dosa-dosa besar. Qimar atau judi bermaksud ‘setiap pertandingan yang mensyaratkan pemenang mengambil sesuatu dari yang kalah’. Dalam qimar atau judi ada pihak yang rugi dan yang untung atas pertaruhan tersebut. Hal ini berlaku dalam kebanyakan pertandingan joran dalam negara ini. Wang pertaruhan yang dinamakan ‘yuran penyertaan’ yang diambil itu dijadikan hadiah untuk yang menang, atau keuntungan kepada pengajur atas kekalahan peserta. Pembayaran wang penyertaan kebanyakannya bukan untuk kemudahan yang dinikmati oleh peserta, sebaliknya sebagai wang pertaruhan. Ini terbukti setiap peserta dikehendaki membayar berdasarkan mata pancing yang digunakan. Wang yang terkumpul itu juga dijadikan hadiah, atau keuntungan penganjur jika peserta gagal. Unsur pertaruhan itu jelas. Biasanya, lebih besar pertaruhan, lebih lumayan hadiah.

2. Sebenarnya, yuran penyertaan itu jika sekadar pembayaran peserta menggunakan kemudahan yang disediakan seperti makan minum, duit kenderaan dan seumpamanya, maka itu bukan judi dan pertaruhan. Namun, apabila ia menjadi wang terkumpul untuk hadiah pemenang, maka itu adalah satu perjudian. Konsep ini hampir sama dengan apa yang digunakan oleh syarikat-syarikat loteri yang pernah menamakan diri mereka ‘loteri kebajikan’.

3. Umat Islam wajib menghindari penyertaan pertandingan joran atas konsep perjudian yang seperti itu. Ia adalah haram dan dosa besar.

Firman Allah: (maksudnya) 90. Wahai mereka yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib adalah keji dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Maidah: 90).

4. Para penganjur yang sekarang sudah membabitkan pelbagai peringkat hendaklah mengelakkan unsur perjudian dalam pertandingan joran yang diadakan.

Firman Allah: (maksudnya) “Wahai mereka yang beriman, jangan kamu makan harta kamu antara kamu dengan cara yang batil (salah)” (Surah al-Nisa: 29).

Haram sesiapa yang terbabit dalam menganjur kegiatan judi atau menggalakkannya.