JEPUN, ISLAM DAN BARAT
Prof. Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

 

Ketika saya menulis artikel ini, saya sedang berada di Tokyo, Jepun. Alhamdulillah, sudah banyak juga negara saya lawati, namun saya belum pernah melawat Jepun. Kedatangan saya ke Jepun buat pertama kali ini adalah atas jemputan Japan Foundation di bawah program “Invitation Program for Young Muslim Intellectuals in Southest Asia”. Ada lagi beberapa orang wakil negara-negara lain. Setiap negara seorang, kecuali Indonesia, mereka ada empat orang wakil. Kami –insyaAllah-akan berada di Jepun ini selama 10 hari.

 

Pada hari pertama sampai, kami dihidangkan dengan syarahan dan diskusi bersama Professor Kosugi Yasushi, pengarah Center for Islamic Area Studies. Syarahan beliau bertajuk: “Islam, the Muslim World and Japan”. Mendengar cara beliau menghuraikan Islam dan beberapa istilah Arab yang disebut secara fasih, saya merasakan macam beliau seorang muslim. Selepas ceramah saya dimaklumkan memang beliau seorang muslim. Namun, ini tidak melunturkan ‘japaneseness’ beliau. Apatah lagi, nilai-nilai mulia masyarakat Jepun itu begitu hampir dengan Islam.

 


Dr MAZA bersama Prof Kosugi Yasushi di Tokyo.

Nilai ‘Kejepunan’

Apabila menyebut Jepun, berbagai gambaran yang terbayang dalam pemikiran orang di Malaysia. Orang tua-tua kita mungkin membayangkan Jepun seperti gambaran zaman perang dahulu. Anak-anak kecil mungkin membayangkan ‘ultraman’ atau beberapa watak kartun yang lain. Bagi pekerja kilang swasta Jepun, tentulah Jepun negara ‘bos’ mereka. Apapun, secara umumnya kita semua tahu bahawa bangsa Jepun atau japanese adalah suatu bangsa yang berdisiplin dan mempunyai banyak nilai yang terpuji.

Kita seketika pernah melaungkan slogan “Dasar pandang ke Timur”, bagi menjadikan negara maju Timur ini sebagai penanda aras, ataupun sekurangnya contoh teladan dalam membina kemajuan. Saya tidak tahu di mana berakhirnya slogan tersebut?! Begitulah, banyak slogan kita yang akan berakhir dengan berakhirnya perdana menteri atau menteri yang terlibat. Sebahagian slogan itu kita belanja wang dengan begitu banyak seperti ‘Islam Hadari’ yang akhirnya tidak ke mana. Banyak dalam kes ‘Islam Hadari’, ia memberikan kesan yang ‘tidak positif’.

Pandang Ke Timur

Namun, bagi saya ‘Dasar Pandang ke Timur’ suatu slogan yang baik. Disebabkan Dunia Islam kini gagal untuk menjadi contoh yang baik dalam membina kemodenan hidup yang diburu oleh manusia, Barat telah mengambil tempat mengepalai ‘tamadun dengan acuan mereka’. Akhirnya, Barat diikuti atau dipuja oleh pelbagai pihak dalam dunia ini.

Setelah kejatuhan tamadun Umat Islam, Barat dilihat sebagai kiblat baru dunia dalam membina kemajuan dan gaya hidup. Sehingga seringkali ‘modernization’ itu dikaitkan dengan ‘westernization’. Seakan, jika seorang itu hendak maju, dia mesti meniru Barat dan bergaya Barat. Atau, jika seseorang itu meniru atau bergaya Barat maka dia dianggap maju atau moden. Jika tidak, maka syarat ‘kemodenan’ itu tidak cukup. Ini adalah gambaran yang melekat dalam pemikiran ramai manusia di kurun ini mengenai ‘modernization’.

Maka persoalan seperti yang ditulis oleh Deepak Lal; “Does Modernization require Westernization?” patut dikaji dan diteliti oleh banyak pihak. Barat dalam mengekspot ‘westernization’ mereka mempunyai pelbagai agenda termasuk penguasaan politik dan ekonomi. Selagi mana dunia percaya bahawa ‘westernization’ itu syarat kepada ‘modernization’, maka selagi itu kita tidak dapat melepaskan diri dari cengkaman ‘hagemony’ Barat.

Jepun, telah membina kemajuan atau telah menjadi begitu moden tanpa perlu berpaksikan Barat. Di sudut ini, Jepun patut dicontohi. Jepun cuba mengekalkan ‘kejepunan’ (japaneseness) mereka dalam proses membina kemajuan. Nilai-nilai masyarakat Jepun yang baik cuba dikekalkan. Banyak nilai-nilai mulia dan tinggi dalam masyarakat Jepun. ‘Japanese values’ ini sebahagian besarnya seiras dengan tuntutan Islam.

Masyarakat Jepun terkenal dengan nilai-nilai mulia seperti bersih, menepati waktu, santun, kuat bekerja dan hubungan kekeluargaan. Sebenarnya, nilai-nilai mulia ini adalah nilai yang pegang oleh masyarakat Jepun sebagai adat dan budaya. Ia bukan kerana asas agama. Masyarakat Jepun mempunyai pelbagai agama. Bahkan agama tidak mempunyai peranan besar dalam kehidupan mereka. Dalam sebahagian kajian menunjukkan kebanyakan masyarakat Jepun tidak berpegang kepada apa-apa agama. Nilai-nilai agama juga tidak ditonjolkan di khalayak awam. Sementara nilai-nilai mulia bangsa itu dipatuhi dan diwarisi dari jenerasi ke jenerasi.


Bukan sahaja dalam bangunan dilarang merokok, di jalan juga dilarang.

Jika budaya dan adat yang tidak menjanjikan syurga dan neraka, tidak berpaksikan konsep ketuhanan atau tauhid mampu membentuk kualiti masyarakat Jepun, malulah kita umat Islam, jika agama yang kita anuti gagal berperanan dalam membangunkan kualiti masyarakat kita. Sepatutnya Islam yang bersumberkan wahyu, arahan dari Allah patut memberi lebih impak dalam masyarakat kita melebihi masyarakat Jepun.

Islam Di Jepun

Islam di Jepun masih baru. Menurut Prof Kosugi Yasushi, muslim pertama di Jepun pada tahun 1891. Orang Jepun pertama pergi haji pada tahun 1909. Masjid pertama di Jepun ialah di Kobe, pada tahun 1934. Sementara Masjid Tokyo pada tahun 1938. Ertinya, Islam masih baru di Jepun. Hanya sekitar 100 tahun. Ada beberapa krisis Dunia yang menyebabkan timbul minat masyarakat Jepun ingin mengenali Islam, antaranya krisis minyak pada tahun 1973, Revolusi Iran 1979 dan 11 September 2001.

Maka, salah faham dan Islamophobia atau prajudis terhadap Islam dan muslim tidak begitu kelihatan di Jepun. Hanya media Barat yang cuba memberikan gambaran yang salah kepada mereka. Pada era 70an, orang Jepun hanya mengenali muslim sebagai orang yang tidak minum arak, tidak makan babi dan boleh berkahwin lebih daripada seorang isteri. Mereka juga memanggil Islam sebagai Kaikyo agama orang Uygur iaitu suku bangsa di China yang kebanyakan mereka muslim.

Selepas 11 September dan provokasi Barat mengenai “Islamic Terrorism”, mereka bertambah minat hendak mengetahui Islam itu sendiri. Menurut Kosugi, Islamophobia tidak kelihatan di Jepun. Namun mereka masih tertanya-tanya. Hari ini dianggarkan 10,000 rakyat Jepun yang menganut Islam. Perkahwinan dengan muslim salah satu faktor kemasukan rakyat Jepun ke dalam Islam.

Apapun, yang penting wajah Islam belum tercemar di Jepun. Nilai-nilai Jepun yang baik patut diakui oleh kita sebagai masyarakat muslim. Di sudut nilai-nilai ini mereka lebih dekat untuk dijadikan sahabat dibandingkan Barat.

Japan Foundation cuba mempromosikan negaranya sebagai perantara untuk bukan sahaja ‘dialogue of civilizations’ tetapi ‘trialogue’ yang akan membabitkan lebih dari dua peradaban. Dengan nilai-nilai mulia yang dimiliki dan juga sikapnya yang lebih adil terhadap orang Islam dibandingkan Barat, Jepun lebih berpotensi untuk menjadi perantara dialog atau trialog peradaban yang baik. Peradaban Jepun, Peradaban Islam, Peradaban Barat dan selainnya patut memiliki ruang yang lebih adil untuk duduk berbincang. Cara yang Barat lakukan hari ini telah menimbulkan salah faham terhadap hakikat Islam; bagaimana mungkin mereka ingin menjadi hakim atau penilai yang adil terhadap muslim?

Jika Jepun berusaha lebih dan dasar pandang ke Timur dilihat semula oleh Dunia Islam, mungkin kita adalah memiliki pengacara baru yang lebih saksama dalam menghubungkan antara tamadun-tamadun.. Mungkin Jepun boleh mengendalikan proses ‘the harmonization of civilizations’ bagi mengganti teori Huntington iaitu “the clash of civilizations”. Huntington telah mengujudkan permusuhan dan kemusnahan tamadun dan peradaban. Sepatutnya, tamadun dan peradaban mengambil manfaat dan saling memahami antara satu sama lain bukan berperang. Mungkinkah Jepun boleh menjadi harapan baru?