ANTARA BEIJING DAN KAHERAH: ISLAM DI MANA ARAH?
Dr Mohd Asri Zainul Abidin

 

Seminggu dua ini saya agak sibuk dengan banyak lawatan. Selama seminggu saya berada di China, melawat Shanghai, Xian dan Beijing. Lawatan ke China itu rasmi. Pulang sahaja dari China saya ke Kaherah dan Iskandariah, Mesir, itu lawatan separa rasmi. Ini bukan kali pertama saya ke Mesir, sudah beberapa kali. Namun, lawatan saya ke Beijing, selepas itu ke Kaherah membuatkan saya berfikir tentang realiti kita umat Islam hari ini.

 

Ada beberapa persamaan antara Beijing dan Kaherah dari sudut sejarah ketamadunan silam. Kedua-dua kota ini menyimpan sejarah ketamadunan ribuan tahun lamanya. Di Beijing, ada Tembok Besar China yang merupakan salah satu perkara ajaib dunia. Tembok yang begitu besar dibina merentasi pergunungan sejauh 5000 kilometer. Bayangkan hebatnya manusia di China ketika hampir tiga ribu tahun yang lalu. Mengkagumkan! Di Mesir pula terdapat pyramid yang sudah berusia mungkin melebihi lima ribu tahun. Seni bina yang hebat. Ia juga salah satu perkara ajaib di dunia ini. Ya, kedua binaan itu juga menyimpan sejarah kezaliman dan kerakusan kuasa.

 


Gambar: Penulis di hadapan pyramid

Maka, berdasarkan kemampuan teknologi binaan, sepatutnya kedua-dua negara ini mampu menjadi negara yang maju, kerana tamadun di tempat mereka sudah lama bermula. Jika tidak pun di tempat teratas, mereka sepatutnya melangkah mendahului banyak negara lain. Ya, China memang maju ke hadapan dan sedang menjadi kuasa besar ekonomi dunia hari ini, setelah sekian lama menjadi kuasa besar senjata dunia. Malangnya, Mesir pula, terus mundur dan kotor, terus meminta ‘sedekah’ dan bantuan kewangan dari negara-negara besar. Hutangnya yang begitu tinggi menjadikan ia sering menghambakan diri kepada kuasa lain.


Gambar: Penulis di atas Tembok Besar China

China, dulu diperintah pelbagai mahajara. Mesir pula diperintah pelbagai firaun. Kemudian China digenggam oleh kuasa komunis. Moa Tse Tung yang merupakan pemimpin China era komunis yang dianggap agung. Mayatnya diawet dan ribuan manusia mengunjungi mayat awet itu saban hari. Mereka sanggup dan sabar berbaris berkilometer jauhnya untuk lalu dan melihat mayat yang diawet yang di simpan di Medan Tiananmen. Dari sudut penghayatan mana-mana agama, China boleh dikatakan ke belakang disebabkan tekanan kuasa politik.

Maka, China dan komunis sukar untuk dipisahkan, walaupun usaha-usaha ke arah demokrasi itu bergerak, namun perjalanannya masih jauh. Sementara Mesir, ia dibuka oleh kerajaan Islam sejak zaman ‘Umar bin Al-Khattab r.a. Sahabat Nabi ‘Amr bin al-‘As pernah menjadi gabenor Mesir. Umat Islam pernah cemerlang di Mesir. Islam disebarkan dan rakyat Mesir majoriti mereka adalah muslim. Sejak dahulu, ramai tokoh-tokoh ilmuan pernah berada di sana termasuk al-Imam al-Syafi’i r.h. Mesir terkenal kerana Universiti Al-Azhar. Hari ini ia diperintah oleh aliran sosialis Arab namun menjadi hamba Barat. Pun begitu, masih ramai yang beranggapan Mesir itu lambang ilmu Islam dan menara umat Islam.


Gambar: Penduduk China beratur untuk melihat mayat awet Mao Tse Tung

Malangnya, jika seseorang melawat Beijing, dia akan dapati Beijing begitu maju sekarang. Keretapi laju bawah tanah antara yang terpantas di dunia. Bandarnya yang mempunyai penduduk sekitar 18 juta itu, bersih, cantik dan tersusun. Kita merasa aman untuk berjalan. Penduduknya tahu untuk beratur apabila perlu. Memandu mengikut aturan jalanraya. Bahkan China hari ini mementingkan kenderaan yang tidak mencemarkan alam sekitar. Keretapi dan bas elektrik digunakan.

Sementara jika kita ke Kaherah, atau Mesir keseluruhannya, amatlah kotor dan tidak tersusun. Di Kaherah juga mempunyai penduduk sekitar 18 juta. Tapi, di Kaherah sampah sarap menjadi hiasan. Tabiat buang air kecil ke dinding bangunan masih dilakukan oleh sesetengah rakyatnya. Kereta dan bas yang sudah uzur yang hanya kita lihat sebelum negara kita merdeka masih memenuhi jalanraya Kaherah.

Peraturan jalanraya tiada makna. Round-about yang sehala, boleh dijadikan dua hala mengikut selera pengguna. Jalan sehala, boleh menjadi dua hala. Sign board dan peraturan tidak memberi kesan. Tiada guna diadakan lampu trafik, sebab itu polis terpaksa menjaga di setiap simpang yang sibuk. Sehingga, kononnya seorang arkitek Jerman yang cuba merangka semula Kaherah menyatakan cara untuk membaik pulih Kaherah adalah dengan dihapuskan semua penduduknya dan digantikan dengan penduduk baru yang berdisiplin. Sungai Nil begitu tercemar. Sampah sarap memenuhi sungai lagenda itu. Rasa malu benar kita sebagai muslim terhadap pelancong-pelancong Barat dan Jepun.


Gambar: Kenderaan seperti ini masih memenuhi jalanraya Kaherah

Di Kaherah, jutaan penduduk hidup atas perkuburan lama kerana tiada tanah dan rumah. Kawasan perkuburan bagaikan pesta yang tengit penuh dengan bermacam bau. Tidak hairanlah jika ada tarikat dari Mesir yang selalu gemar ke kubur dan memuja kubur. Penduduk yang miskin dan fakir terlalu ramai. Di samping itu, tabiat menipu atau suka ‘pau’ amat berluluasa. Atas nama ‘bakhshish’ atau hadiah, maka rasuah, kezaliman dan penipuan berlaku di sana sini.

Jika anda makan di restoran, di samping membayar harga makanan, pekerja yang berkerja juga akan menuntut wang ‘bakhshish’ untuknya. Itu mungkin masih kecil, tetapi bakhshish menjadi amalan pegawai-pegawai kerajaan; polis, kastam dan segalanya. Jika tidak diberikan, kerja tidak dijalankan atau masalah lain akan ditimbulkan.

Semasa ingin pulang, para pelajar Malaysia yang menghantar saya telah mengingatkan saya supaya menyediakan wang ‘bakhshish’ sebelum memasuki kawasan airport. Di sana sini, bakhshish menanti. Barang saya di’scan’ di airport. Pihak polis airport meminta untuk saya membuka kotak-kotak yang mereka pun dapat tahu tiada apa yang luar biasa, sambil tangan mereka memberi isyarat mahukan wang ‘bakhshish’. Tanpa rasa segan silu dan zalim, mereka meminta. Jika tidak diberi, barang tidak dilepaskan tanpa sebab, atau akan dibuat masalah yang lain. Maka, sesiapa pun terpaksa beri untuk mengelakkan kezaliman. Itulah kehidupan mereka.

Kali yang lepas saya sampai di airport Kaherah, bas enggan bergerak sehingga pemandunya diberi wang ‘bakhshish’. Jangan ditanya lagi tentang penipuan di pasar atas nama Islam. Peniaga sanggup bersumpah dengan nama ‘Allah’ atau menyatakan ‘saya jual murah sebab awak muslim’, padahal itu harga yang termahal. Hal ini berluluasa di kota yang ada pusat pengajian Islam. ‘Bakhshish’ menjadi simbol Mesir dari rakyat bawahan sehingga orang politik. Dari orang biasa sehingga yang ber’title’ agama. Walaupun kita sedar, masih ramai juga yang baik dan soleh, namun suasana tersebut telah menguasai keadaan. Pelajar kita di sana semua terpaksa berurusan dengan kerenah ‘bakhshish’ mereka.


Gambar: Sungai Nil yang kotor

Di Beijing, kita tidak dapati hal ‘bakhshish’ dengan jelas. Mungkin ada, tapi bukan simbol seperti Kaherah. Menaikkan harga barang, ya! Itu memang ada. Mungkin berlipat kali ganda dijual. Mungkin barang tidak asli dan pelbagai kemungkinan. Itu fonomena biasa di setiap kota. Bezanya, mereka tidak beragama, sementara Kaherah dianggap sebagai kononnya pusat pengajian agama.

Cubalah bayangkan, jika seorang pelancong yang tidak beragama dan sedang mencari agama. Dia pergi ke Beijing melihat Kota Beijing yang tidak berslogan agama, bahkan prejudis dengan segala agama. Namun, dia dapati bersih, tersusun, berperaturan dan maju. Kemudian dia pergi pula ke Kaherah yang mengangkat slogan Islam sebagai agama rakyat, ulama-ulamanya pula dengan lantang menyatakan umat Islam umat terpilih, Islam membentuk kehidupan yang teratur di dunia dan pelbagai lagi. Apakah pelancong akan terpengaruh dengan Bandar Beijing tanpa Tuhan yang tersusun itu, atau dengan kota Kaherah yang kononnya berslogan agama tapi menonjolkan segala unsur yang bertentangan?! Banyak persoalan yang akan timbul dalam benaknya. Orang Beijing sekurang-kurang mewarisi ketamadunan mereka. Orang Kaherah, mereka tidak mewarisi teknologi firaun, tidak pula mewarisi kecemerlangan sejarah Islam yang lepas.

Saya membayangkan, jika maharaja-maharaja yang membina tembok besar China diberi peluang bangkit semula, mereka mungkin tidak boleh begitu bongkak disebabkan Beijing hari ini juga hebat dari segi pembangunannya. Namun, jika firaun yang membina pyramid itu diberi peluang bangkit, dia mungkin akan terus bongkak dan merasakan dia masih patut mentadbir Mesir kerana mundur dan gagal menyainginya.

Di celahan inilah, maka kita jangan hairan jika orang Barat prajudis dan menuduh Islam mundur, tidak beraturan dan seumpamanya. Mereka salah tafsir terhadap Islam kerana kita tersalah memberikan lambang dan gambaran. Beijingkah yang lebih mendekati wajah pembangunan Islam atau Kaherah? Kita mungkin mempunyai seribu huraian dan alasan, tetapi Barat dan Timur banyak yang melihat realiti yang berlaku. Terhijabnya hidayah Islam kerana perlambangan yang dirosakkan. Tersalah sangka terhadap kesesatan kerana kejayaan yang ditonjolkan. Siapakah yang patut dipersoalkan?