Oleh: A. Ariff

 

 

Ahad, 22 Ogos 2010 - Majlis Perasmian Dewan Baru Institut al-Qayyim (IQ) yang diadakan malam tadi berjaya mengumpul lebih seribu orang pendokong dakwah Islam dari seluruh pelosok tanah air. Majlis yang disempurnakan oleh D.Y.T.M Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertujuan untuk merasmikan dewan baru Institut al-Qayyim yang siap dibina untuk menampung keperluan semasa dakwah Islamiah. Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah serta rombongan dari negeri Perlis.

 

Majlis ini juga turut meraikan anak-anak yatim yang sama-sama memeriahkan lagi upacara perasmian Dewan Baru Institut al-Qayyim, selain turut disertai oleh beberapa kumpulan pelajar tahfiz sekitar Pulau Pinang serta Kuala Lumpur.

Institut al-Qayyim yang digerakkan oleh gabungan ilmuan agama serta golongan professional sememangnya aktif dalam menebarkan dakwah Islamiah kepada masyarakat di negara ini. Ia pertama kali dirasmikan oleh Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Ya’kub pada tahun 2005 dalam rangka membentuk satu badan bukan kerajaan (NGO) untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat dalam skop dakwah Islamiah.