Oleh: A. Ariff

 

maza1

 

21 Mei 2010, Bukit Mertajam:- Dr Mohd Asri hari ini telah menyampaikan khutbah di Masjid Jamek Kg Mengkuang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Khutbah yang menyentuh mengenai peristiwa di antara Adam dan Iblis di dalam al-Quran banyak mengajak para jemaah untuk tidak mencontohi Iblis yang ingkar, sebaliknya mengajak jemaah untuk mengikuti jejak Adam AS apabila melakukan kesalahan.

 

Dr Mohd Asri menjelaskan akan kenapa Iblis dicampakkan ke dalam neraka, walhal Adam juga yang membuat kesalahan dikeluarkan dari syurga, namun ditempatkan ke atas dunia. Perbezaan di antara Adam dan Iblis apabila melakukan kesalahan adalah apabila Iblis angkuh terhadap Allah dalam pengingkarannya, sedangkan Adam apabila melakukan kesilapan, baginda rendah diri dalam taubatnya seraya berdoa;

 

“Wahai Tuhan kami, kami telah menganiayai diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya pastilah kami termasuk orang-orang yang rugi.” (al-A’raf:23)

Beliau berkata; “Sewajarnya kita mengikut perangai bapa kita, Adam, apabila kita melakukan kesalahan, iaitu kita bertaubat kepada Allah. Dan bukannya mengikuti perangai syaitan yang melawan perintah Allah Azza wa Jalla.”

Selain itu, beliau juga menyentuh tentang pengeluaran lesen judi yang dikeluarkan baru-baru ini. Beliau berkata, bahawasanya judi itu haram, tidak kira bagi yang dilesenkan mahupun tidak, bahkan semua agama menganggap bahawa judi adalah suatu benda yang memudaratkan serta tidak membawa manfaat. Lebih daripada itu, pengeluaran lesen judi mampu membawa kepada keruntuhan nilai moral serta membawa kerugian kepada masyarakat dan negara secara amnya.

Beliau berkata; “Dalam keadaan di mana gejala sosial sudah pun banyak dan berleluasa, usahlah ditambah lagi dengan perkara ini (perlesenan judi).”

Sementara itu, Dr Mohd Asri juga mengulas akan kempen melukis gambar Rasulullah SAW yang dilancarkan di Facebook baru-baru ini.

Kempen yang bertajuk ‘Everybody Draw Mohammed Day’ (Semua orang melukis sempena Hari Muhammad) yang diadakan di ruangan sosial, Facebook, pada 20 Mei 2010 bertujuan untuk menghina Nabi Muhammad SAW telah menimbulkan ketegangan di sesetengah negara yang menggesa perkara ini dihentikan.

Dr Mohd Asri ketika membicarakan bab ini berkata; “Orang Islam pasti tidak akan buat perkara seperti ini kepada agama lain kerana Islam melarang penganutnya untuk mencerca agama lain. Dan di sini kita nyatakan bantahan kita dan perbuatan ini adalah satu perbuatan yang tidak bertamadun.”