Islam adalah agama yang mementingkan soal hubungan insan dengan Allah dalam ibadah ritualnya. Demikian juga Islam mementingkan hubungan insan sesama insan dalam ertikata memakmurkan alam ini dengan pembinaan peradaban dan tamadun yang berteraskan ajaran Allah dan RasulNya.

Dalam dunia Islam kita sering menghadapi dua kefahaman yang melemahkan agama yang agung ini. Pertama; kefahaman yang hanya menumpukan penghayatan Islam kepada persoalan ibadah ritual semata-mata, tanpa atau kurang memperdulikan tentang persoalan pembangunan tamadun dan survival umat ini. Bagi kefahaman ini, seakan di akhirat kelak Allah hanya mempersoalkan tentang urusan peribadi sahaja. Adapun persoalan dunia persekitaran atau hubungan seseorang dengan saudara muslim atau manusia lain seakan tidak termasuk dalam perkara yang akan disoal dan timbang balasannya oleh Allah di akhirat kelak.

Kefahaman ini sebenarnya telah menjadi racun yang telah memandulkan sesetengah golongan pro-agama sepanjang zaman. Kefahaman kedua yang mengancam agama ini adalah mereka yang menganggap remeh atau lekeh untuk diberikan penekanan atau perbincangan tentang persoalan ibadah ritual dalam agama ini. Bagi mereka ini pula, tumpuan yang penuh hendaklah diberikan kepada persoalan pembangunan fizikal, ekonomi dan imej luar umat Islam. Persoalan ibadah ritual ini adalah terlalu sampingan dan kita tidak perlu bersoal banyak mengenainya. Seakan bagi mereka ini pula, di akhirat nanti Allah hanya akan mempersoalkan tentang soal hubungan sesama insan semata tanpa mempersoal hubungan antara insan dengan Tuhannya.

Kedua-dua kefahaman ini sebenarnya telah meminggirkan hakikat Islam yang sebenar. Islam adalah agama yang mementingkan soal hubungan insan dengan Allah dalam ibadah ritualnya. Demikian juga Islam mementingkan hubungan insan sesama insan dalam ertikata memakmurkan alam ini dengan pembinaan peradaban dan tamadun yang berteraskan ajaran Allah dan RasulNya. Firman Allah menceritakan tentang kehinaan yang menimpa umat terdahulu: (maksudnya) “Mereka ditimpakan kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya perhubungan dengan Allah dan adanya perhubungan dengan manusia”.

Abdullah bin al-Mubarak ialah seorang tokoh ilmuan besar yang menjadi rujukan umat dalam memahami al-Kitab dan al-Sunnah. Kefahaman dan penghayatannya tiada tolok bandingnya. Pada tahun 177H beliau menulis surat kepada sahabatnya yang juga merupa tokoh ulama iaitu al-Fudail bin ‘Iyad yang kuat beribadah di Makah dan Madinah sehingga seakan melupai perjuangan jihad membela kerajaan Islam ketika itu. Dalam surat tersebut beliau menulis syair yang mendalam ertinya. Antara yang beliau sebut dalam syairnya itu:

Wahai ahli ibadah di Dua Tanah Haram, jika engkau melihat kami,
nescaya engkau mengetahui sesungguhnya engkau hanyalah bermain-main dalam ibadah,
sesiapa yang mencelup lehernya dengan airmata (kerana khusyuk beribadah)
sesungguhnya tengkok kami bercelupan dengan darah,
sesiapa yang memenatkan kudanya di jalan kebatilan (sia-sia),
sesungguhnya kuda-kuda kami kepenatan di medan peperangan.

(lihat: al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 8/412, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Dalam syair tersebut beliau ingin menggambarkan bahawa ibadah individu tanpa mengambil peduli tentang survival dan nasib umat seakan bukan ibadah yang sebenar. Kekusyukan dan airmata dalam ibadah tiada ertinya jika seseorang meninggalkan perjuangan umat. Sedangkan orang lain berkorban dan terkorban di jalan Allah. Perjalanan kenderaan untuk ibadah secara individu hanya sia-sia, jika kita membiarkan hanya orang lain berjuang bermati-matian membela umat.

Muslim yang sebenar menjadikan perjalanan hidupnya seimbang antara tumpuan kepada persoalan ibadah yang ritual dan tumpuan kepada pembangunan umat sebagai tanggungjawab kekhalifan atas muka bumi. Tumpuan kepada ibadah yang ritual itu merangkumi pembaikian jiwa dari sudut keikhlasan dan kesungguhan, demikian sentiasa memastikan bertepatan dengan contoh asal yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. tanpa melakukan tokok tambah yang tidak diajar oleh sunah. Sementara tumpuan pembangunan umat membabit soal halatuju yang menepati kehendak Allah dan RasulNya dan juga keberkesanan tindakan serta strategi yang memastikan umat gemilang. Kelalaian terhadap salah sudut ini, adalah kecuaian terhadap agama yang agung ini. Tidak boleh sesiapa pun menganggap bahawa salah satu dari dua bahagian ini tidak mustahak atau remeh.

Hubungan insan dengan Allah adalah teras tamadun umat. Hubungan itu berlaku dengan perasaan dan jiwa yang selalu mengingati Allah dan dilaksanakan ibadah ritual dengan cara yang ditunjukkan oleh Allah menerusi RasulNya. Sebenarnya, kehendak insan untuk berhubungan dengan Tuhan menerusi ibadah ritual adalah dikongsi oleh semua manusia yang bercirikan manusia. Hanya manusia yang bertukar tabiat sahaja yang enggan kembali kepada Tuhan. Sebab manusia itu diciptakan dengan fitrah yang ingin tunduk dan berhubungan dengan Tuhan. Inilah jawapan kenapa hampir keseluruhan manusia di atas dunia ini beragama. Apapun agamanya, ia adalah tafsiran kehendak manusia ingin berdampingan dengan Tuhan atau memohon pertolongan daripadaNya. Namun –selain asas akidah- yang membezakan Islam dari yang lain adalah cara berhubungan dalam Islam adalah cara yang ditunjukkan oleh Tuhan sendiri melalui pengutusan wakil yang rasmi iaitu RasululLah s.a.w. Dalam ertikata lain, inilah cara yang diiktiraf dalam soal hubungan dengan Tuhan.

Jika tidak, ia adalah ajaran palsu yang tidak mendapat pengesahan Tuhan. Maka tidak ada jalan dalam ibadah ritual, melainkan mesti diberikan penekanan tentang keikhlasan niat dan keaslian cara yang tunjukkan oleh wakil Tuhan yang diiktiraf, iaitu Muhammad Rasulullah s.a.w.. Jika seorang muslim mengambil enteng soal ibadah ritual ini sehingga menyatakan; “buatlah ibadah macamana cara pun, asalkan engkau buat” atau “solatlah macam mana pun asalkan engkau solat”, maka dia sebenarnya gagal membezakan antara agama Tuhan yang datang melalui utusan rasmi dan agama rekaan yang dicetuskan oleh idea atau kehendak manusia semata. Firman Allah (maksudnya) Apakah bagi mereka sekutu-sekutu yang membuat syariat – mana-mana bahagian dari ugama mereka – apa yang tidak diizinkan oleh Allah?!. (Surah al-Syura:21). Dalam hadis daripada ‘Aisyah r.ha, katanya: sabda Nabi S.A.W.: “Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ianya tertolak” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maka Dr Yusuf al-Qaradawi: “Hendaklah seorang muslim dalam ibadahnya mengikut batasan yang ditentukan untuknya. Tidak mencukupi hanya sekadar bertujuan untuk keredhaan Allah semata, bahkan hendaklah ibadah itu dilakukan dalam bentuk yang disyariatkan Allah, dengan kaifiyyat (cara) yang diredhaiNya. Janganlah ibadah seorang muslim itu ialah apa yang yang direka oleh manusia berdasarkan hawa nafsu dan sangkaan…tidak boleh bagi sesiapa pun dari kalangan imam-imam kaum muslimin sekalipun tinggi darjat ilmunya, demikian juga tidak boleh bagi mana-mana badan ilmu sekalipun hebat kedudukannya, demikian juga tidak boleh bagi mana-mana institusi ilmu, atau golongan dari kaum muslimin samada kecil atau besar untuk mencipta (ibtida’) ibadah yang baru dalam agama Allah, atau menokok tambah ibadah yang ada dalam agama, atau mengubah cara yang dilakukan pada zaman RasuluLah S.A.W. Ini kerana hanya Allah sahaja pembuat syari`at dan al-Rasul pula adalah penyampai, sedangkan kita hanyalah pengikut. Segala kebaikan itu dalam al-ittiba’ (mengikut apa yang ditentukan Allah dan RasulNya)”. Al-Qaradawi, Al-`Ibadah fi Al-Islam, m.s 165-167, Beirut: Muassasah al-Risalah).

Justeru itu, walaupun Aminah Wadud, wanita yang mengepalai solat Jumaat beberapa tahun lepas barangkali niatnya baik bagi pembanguan wanita iaitu untuk menunjukkan –pada tanggapannya- kesamaan hak antara jantina, namun bukan itu caranya. Ibadah ritual tidak boleh diubah dan tiada kaitan pun tentang keadilan atau kezaliman antara jantina. Itu bukan perlambangan penindasan sama sekali. Ibadah ritual dalam Islam tidak boleh dilakukan tanpa contoh daripada Rasulullah s.a.w. Sekalipun tiada larangan, ibadah ritual tidak boleh dibuat tanpa ada contoh. Jika kita ingin mencari dalil yang melarang wanita menjadi imam solat jumaat, kita pasti tidak akan berjumpa. Adapun hadis Jabir yang diriwayatkan oleh Ibn Majah “Jangan sama sekali wanita mengimami lelaki, badawi mengimami ahli hijrah dan orang jahat mengimami mukmin” sanadnya lemah dan tidak boleh dijadikan hujah. Sebaliknya dalam hadis Umm Waraqah yang diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanadnya yang hasan Nabi s.a.w menyuruh Umm Waraqah menjadi imam untuk ahli rumahnya, yang termasuk seorang lelaki. Hadis itu menjadi bukti wanita boleh menjadi imam untuk lelaki dalam rumahnya. Seperti ibu menjadi imam dirumahnya dan diikuti oleh anak lelakinya.

Inilah pegangan yang disokong oleh ramai ulama, antaranya Dr. ‘Abd al-Karim Zaidan dalam Al-Mufassal fi Ahkam al-Marah. Namun Aminah Wadud mahu lebih dari itu, dia mengkiaskan hadis ini, lalu dia ingin menjadi imam solat jumaat. Pada zaman Nabi s.a.w solat Jumaat telah ditunaikan saban minggu. Tiada seorang wanita pun yang baginda lantik menjadi imam di mana-mana masjid pada zaman tersebut. Padahal wanita-wanita zaman itu lebih kuat beragama daripada Aminah Wadud. Apabila RasululLah s.a.w wafat, ada isteri-isteri baginda yang masih hidup, termasuk ‘Aisyah, Hafsah dan Umm Salamah. Ilmu mereka sangat banyak, diambil langsung daripada Nabi s.a.w., dari segi kefahaman dan penghayatan. Pun tidak terlintas mereka untuk menjadi imam solat jumaat, bahkan tidak ada sesiapa pun di kalangan umat yang begitu mencintai dan menyayangi mereka, menawarkan perkara itu kepada mereka. Ini kerana perkara tersebut tidak pernah dilakukan di zaman Nabi s.a.w. Maka ibadah ritual tidak boleh dilakukan tanpa dalil yang membuktikannya, walaupun tiada dalil yang melarangnya. Kita tidak boleh kata dalam ibadah ritual: “mana ada Nabi s.a.w larang”, maka kita pun boleh buat apa sahaja selagi tiada larangan. Sebaliknya dalam ibadah ritual hendaklah kita bertanya: adakah Nabi s.a.w menyuruh atau melakukannya?. Inilah soalan yang betul, jika tidak segala ‘mak nenek’ manusia akan buat tambahan dalam ibadah. Jika dia solat subuh lapan rakaat pun dia akan kata: ‘aku ikhlas, bukan ada Nabi s.a.w larang lapan rakaat, yang penting ikhlas’. Maka rosaklah ketulenan agama.

Manusia boleh berinovasi dan berkreativiti dalam soal-soal lain mengenai kehidupan mereka. Namun tidak dalam soal ibadah ritual. Allah telah menselaraskan kita semua sebagai lambang kesatuan umat atas satu agama. Namun apabila kita melanggar pantang larang ini, kita dapati masyarakat Islam mempunyai berbagai ibadah yang berlainan satu sama lain. Perbezaan upacara ibadah antara tarekat dengan tarekat, antara bangsa dengan bangsa, antara negara dengan negara dan seterusnya. Lalu timbul pula perasaan berpuak dengan menyebut: “inilah cara kita” atau “ini cara negara atau daerah kami”. Sepatutnya mereka berfikir untuk menyebut: inilah cara yang ditunjukkan oleh RasululLah s.a.w dalam hadis-hadis baginda dan kita semua ialah pengikut baginda. Bahkan kebanyakan kita dalam ibadah ritual tidak pernah pun bertanya dalil dari guru agama tentang pengamalan ibadah-ibadah tersebut. Lebih dari itu, sebahagian guru agama pun hanya mengikut kebiasaan sahaja tanpa mengetahui dalil.

Maka tidak hairanlah jika jiwa umat ini gagal bersatu apabila ditindas musuh, kerana dalam soal ibadah ritual pun ada yang ingin bersifat kepuakan. Malangnya, dalam kehidupan dunia yang disuruh kita untuk berinovasi dan berkreativiti agar dapat mengeluarkan produk-produk yang bermutu yang memberi manfaat untuk manusia dan mengangkat mertabat umat, tidak pula kita maju ke hadapan. Bahkan dunia Islam yang mempunyai berbagai edisi baru ibadah ritual itu, gagal pula mengeluarkan atau mencetuskan bahan dan produk baru untuk kegunaan dunia.

Maka penekanan soal ibadah ritual, tidak boleh dianggap remeh. Pembangunan yang seimbang antara membina ruhani dan jasmani, antara ibadah yang tulen dan pembangunan minda dan tamadun yang kreatif dan inovatif. Sekali lagi saya memetik kata-kata al-Qaradawi: “Namun yang kita ingin tegaskan sejak dari awal bahawa hadarah (ketamadunan) yang Islam hendak dirikannya bukan seperti tamadun-tamadun yang lain yang lebih mementingkan sudut kebendaan dalam kehidupan, yang lebih mementingkan sudut jasad dan nafsu pada insan. Mementingkan kelazatan yang segera di dunia. Maka ia menjadikan dunia itu perkara terbesar yang diambil berat dan sekadar itu ilmunya. Ia tidak meletakkan bagi Allah suatu kedudukan yang disebut di dalam falsafahnya. Akhirat tiada ruang baginya dalam sistem pemikiran dan pendidikan. Ini bercanggah dengan hadarah al-Islam (Tamadun Islam). Ia menyambungkan antara insan dengan Allah, mengikat antara bumi dengan langit. Ia menjadikan dunia untuk akhirat. Mencampurkan antara ruh dan kebendaaan. Menseimbangkan antara akal dan hati. Menghimpunkan antara ilmu dan iman. Ia mengambil berat tentang ketinggian akhlak seperti ia mengambil berat tentang kemajuan kebendaan. Ia sebenarnya tamadun keruhanian dan kebendaan, impian dan realiti, rabbani dan insani, akhlak dan pembangunan, individu dan jamaah. Ia adalah tamadun yang seimbang dan pertengahan” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Sunnah masdaran li al-Ma’rifat wa al-Hadarat, m.s. 204, cetakan: Dar al-Syuruq, Mesir.).

Malangnya, kita sering bertemu mereka yang kuat menekan soal ibadah ritual, namun mengabaikan soal pembangunan tamadun umat. Dalam masa yang sama, kita bertemu pula ramai yang bercakap soal tamadun, namun begitu lalai dan alpa tentang soal ibadah ritual. Maka lahirlah golongan agama tanpa kekuatan, golongan profesional tanpa panduan. Ibadah gagalkan menjadikan kita khalifah, tamadun kebendaan pula menjadikan kita hamba Allah. Kembalilah kepada penekanan yang seimbang.