Oleh: A. Ariff

 

Kota Bharu, 29 April 2010:- Dr Mohd Asri Zainul Abidin malam ini telah dijemput untuk memeriahkan satu forum yang diadakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan bersempena Ekspo Pertanian di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV.

 

Forum yang bertajuk, Islam Sebagai ad-Deen: Suatu Koreksi, turut membariskan Dato’ Dr Johari Mat, Pengarah Eksekutif Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) sebagai panel serta Ustaz Ahmad Fadhli bin Shaari, Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan sebagai moderator.

 

Forum tersebut membahaskan Islam sebagai satu agama dan cara hidup yang berkesan dan perlu dilalui oleh setiap umat Islam.

Antara isi penting yang dikupas oleh kedua-dua ahli panel ialah perlunya Islam sebagai sistem untuk memimpin cara hidup dengan selamat. Islam sebagai ad-deen untuk menyusun kehidupan manusia, seterusnya menjadikan manusia bahagia dan mendapat keredhaan Allah.

Dato’ Dr Johari juga menyentuh bahawa wujudnya Islam adalah sebagai satu standard ataupun tanda aras. Apabila Islam dijadikan cara hidup dan diamalkan oleh orang Islam, maka gejala-gejala sosial dan kemungkaran akan hilang. Namun, sebaik sahaja meninggalkan Islam, maka umat mula dijajah serta musibah akan mula merundum.

Islam perlu dianggap sebagai sistem dan piawaian sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Rasulullah. Maka, apa yang penting adalah untuk tidak berselisih dengan piawaian yang telah ditetapkan oleh baginda.

Sementara itu, Dr Mohd Asri dalam menyingkap persoalan, bagaimana untuk mencari keredhaan Allah dan seterusnya untuk kembali ke tempat asal, yakni ke syurga berkata bahawa bukan semua manusia yang berjaya dalam akademik mahupun kehidupan mereka mampu mengecap nikmat syurga. Maksud Islam ialah kita perlu menjadi hamba Allah yang sebenar. Perlunya manusia untuk hidup dalam keseimbangan dengan Islam sebagai isinya yang utama.

Beliau juga menjelaskan bahawa, Islam bukanlah datang untuk satu kelompok. Sebaliknya Islam itu datang buat semua. Bahkan, apa yang lebih penting, Islam itu mudah.

Forum yang berakhir pada jam 11.30 malam itu berjaya menarik lebih 500 hadirin yang terdiri daripada pengunjung ekspo.