*Satu sisipan untuk penilaian semua

 

Gerakan Islah merupakan gerakan yang berusaha mendorong masyarakat Melayu supaya membetulkan pandangan mereka terhadap Islam. Pendorong gerakan ini antaranya termasuklah Sheikh Tahir Jalaludin, Syed Syeikh al-Hadi dan Dr. Burhanuddin al-Helmy. Golongan ini dikenali sebagai Kaum Muda. Akhbar dan majalah yang terkenal seperti al-Imam, Neracha, Idaran Zaman dan Pengasuh telah menjadi saluran Gerakan Islah ini.

 

Kaum Muda menyampaikan idea mereka dan menjana ajaran Islam dari sudut kemajuan dunia, termasuklah gesaan untuk memajukan ekonomi, pendidikan, politik dan sosial orang Melayu. Golongan ini juga berusaha menyematkan sikap mengkritik penjajah ke dalam fikiran orang Islam. Mereka turut mengkritik raja dan pembesar Melayu yang tidak berperanan penting dalam memajukan orang Melayu.

 

Gerakan Kaum Muda ini ditentang oleh Kaum Tua yang terdiri daripada golongan alim ulama. Golongan ini telah menguasai masyarakat dengan fahaman mereka bahawa Islam itu adalah tentang akhirat dan mereka juga menekankan fardu ain sahaja sehingga amat sukar untuk Kaum Muda mempengaruhi masyarakat Melayu. Gerakan Islah oleh Kaum Muda ini dapat bergerak dengan baik di Negeri-negeri Selat sahaja kerana beberapa undang-undang telah dikeluarkan oleh Negeri-negeri Melayu bagi menghalang pengaruh Kaum Muda. Undang-undang ini tidak membenarkan sebarang kegiatan dakwah Islam dilakukan tanpa kebenaan Sultan. Undang-undang ini juga tidak membenarkan risalah dan buku Kaum Muda dibawa masuk ke negeri-negeri tersebut.

Gerakan Kaum Muda telah menubuhkan beberapa buah madrasah. Madrasah ini menjalankan sistem pendidikan Islam yang meliputi pendidikan untuk dunia dan akhirat seperti pendidikan fardu ain, Ilmu Hisab dan Bahasa Inggeris. Madrasah ini juga memberikan peluang kepada pelajar perempuan untuk mendapatkan pendidikan. Ternyata tekanan British dan Kaum Tua tidak dapat menghalang sepenuhnya Gerakan Islah dalam masyarakat Melayu, terutamanya dalam bentuk pendidikan.

*Rujukan : Ramlah Adam, Shakila Parween Yacob, Abdul Hakim Samuri & Muslimin Fadzil (2003). Buku Teks Sejarah Tingkatan 5 m/s 49-50. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka