Oleh HELMI MOHD. FOAD dan THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my

dn_01_11.jpg

 

DR. MAHATHIR Mohamad menandatangani replika kulit buku Mengemudi Bahtera Perubahan Minda pada pelancarannya sambil disaksikan Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (kiri), Zainuddin Maidin dan Dr. Ahmad Hairi Abu Bakar di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, semalam. – BERNAMA

 

PUTRAJAYA 21 April – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, umat Islam perlu membuka minda mereka kepada penafsiran agama yang lebih ‘masuk akal’ dan sejajar dengan perkembangan zaman.

 

Bekas Perdana Menteri berkata, ini kerana umat Islam amat bergantung kepada penafsiran yang dilakukan oleh para ulama dalam memahami serta mengamalkan ajaran agama.

 

Bagaimanapun, beliau berkata, penafsiran itu tetap terdedah kepada kesilapan selain kadang kala berlaku pertentangan besar di kalangan segelintir ahli tafsir.

“Kita ikuti hingga terikat kepada tafsiran mereka seolah-olah mereka tidak silap sedangkan mereka adalah manusia biasa.

“Jadi kita perlukan tafsiran yang masuk akal pada zaman ini dan ia (tafsiran) berbeza-beza dari satu zaman ke zaman,” katanya.

Dr. Mahathir menyatakan demikian ketika berucap melancarkan edisi baharu buku Mengemudi Bahtera Perubahan Minda tulisan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Buku terbitan Utusan Publications and Distribution (UP&D) itu merupakan kompilasi tulisan Mohd. Asri dalam kolum Pena Mufti yang disiarkan Mingguan Malaysia sejak 11 Mac 2007.

Hadir sama bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin dan Pengarah Eksekutif UP&D, Dr. Ahmad Hairi Abu Bakar.

Menurut Dr. Mahathir, pada zaman dahulu ramai ahli tafsir mengemukakan pandangan mereka sehingga ada yang ditahan atau diusir dan terpaksa pergi ke tempat yang lebih bebas untuk mengeluarkan pandangan.

“Ada raja yang zalim suruh ulama keluarkan tafsiran yang disukai oleh raja… sehingga 200 tahun pandangan itu diterima.

“Ini tekanan yang dihadapi ulama,” katanya.

Justeru, beliau berkata, umat Islam perlu bersikap terbuka kepada perbezaan tafsiran agama.

Katanya, penafsiran tersebut perlu dipastikan tidak akan membawa kelemahan kepada umat Islam.

“Kalau tidak dapat terima (perbezaan tafsiran), kita kembali kepada al-Quran seperti kata pepatah Melayu, kalau sesat (di hujung) jalan, kembali ke pangkal jalan,” katanya.

Namun, beliau berasa kesal kerana umat Islam berpecah sehingga tahap sanggup membunuh antara satu sama lain akibat perbezaan penafsiran agama.

“Seperti (perbezaan) Sunni dan Syiah yang begitu mendalam sehingga bermusuhan dan anggap pengikut imam yang lain sebagai bukan Islam.

“Di negara lain juga terdapat pengikut agama Islam yang mempunyai fahaman yang berbeza-beza,” katanya.

Sedangkan, katanya, Nabi Muhammad SAW membawa Islam yang satu dan pada zaman baginda tidak pernah timbul soal Sunni atau Syiah.

Sementara itu Dr. Mahathir berkata, beliau sering membaca tulisan Mohd. Asri yang pernah disiarkan oleh Mingguan Malaysia sebelum ini bagi membuka minda dan mendapatkan maklumat tentang tafsiran agama.

“Tidak semua pandangannya saya setuju tetapi sebahagian rencana beliau perlu dibaca oleh umat Islam dan bukan Islam,” katanya.