Oleh A. Ariff

 

19 April 2010, Shah Alam:- Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini tiba di perkarangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada jam 3 petang untuk memberikan keterangan berhubung dengan artikel bertajuk, “Telan air ludah ustaz!” yang disiarkan di lama MalaysiaKini baru-baru ini.

 

Terdahulu, Dr Mohd Asri baru-baru ini membuat pendedahan berkenaan wujudnya golongan yang memberikan air liur guru besar mereka kepada para pengikut. Pendedahan yang menggemparkan ini telah menyebabkan JAIS memanggil Dr Mohd Asri untuk hadir memberikan kerjasama berhubung dengan perkara tersebut.

Dr Mohd Asri yang hadir bersama-sama peguam beliau, Jahaberdeen Mohamed Yunoos dan Mohd Irwan Mohd Mubarak, dalam sidang medianya selepas temuramah bersama pegawai JAIS menyebut bahawa “Saya telah pergi sebagaimana yang diminta, dan saya bagitahu bahawasanya maklumat itu boleh dipercayai kerana banyak sumber (yang memberitahu).”

Dr Mohd Asri, tokoh agama yang pernah menjawat jawatan Mufti bagi Negeri Perlis ini seringkali dilihat sebagai seorang tokoh yang prolifik dalam melontarkan idea-idea beliau yang berbentuk pembaharuan terutama dalam bidang agama dan isu semasa yang berkait.

Beliau menyebut bahawa, “Saya hanya maklumkan bahawa ianya berlaku di Ampang. Dan saya juga katakan pada mereka apa yang saya tahu, (bahawa) mereka mempunyai surat yang dihantar oleh orang ramai yang (lebih) detil daripada itu.”

 Dalam ulasan lain, beliau berkata bahawa aduan orang ramai sudah dilaporkan kepada JAIS, dan beliau juga mendapat salinan laporan yang sama. Maka, terpulang kepada pihak JAIS untuk menilai laporan tersebut.

Dr Mohd Asri juga menyebut bahawa pegangan kes ini adalah aduan yang dibuat oleh orang ramai. Dan beliau berpendapat bahawa aduan-aduan tersebut sudah memadai bagi memulakan siasatan.

Dalam pada itu, beliau mengatakan bahawa adalah tidak wajar untuk mendedahkan siapa pengadu tersebut atas dasar amanah sambil menyifatkan perbuatan itu boleh menjejaskan kepercayaan orang ramai kepada beliau. “Jadi saya, kalau setiap kali orang ada masalah, orang datang mengadu kepada saya, (kalau) saya dedah boleh jadi masalah. Esok orang dah tak mahu beri maklumat kepada saya.”

Beliau juga memuji sikap pegawai-pegawai JAIS yang menemuramah beliau sambil menyifatkan mereka sebagai mesra dan sopan dalam berkomunikasi.

 Sementara itu peguam beliau mengulas bahawa Dr Mohd Asri dipanggil hanya untuk membantu siasatan dan bukannya beliau terlibat dalam kes ini. Dan sepatutnya JAIS memulakan siasatan setelah mendapat maklumat berdasarkan kerjasama yang telah diberikan.

Dr Mohd Asri dilihat beredar daripada perkarangan pejabat JAIS lebih kurang jam 4.30 petang.