Oleh: A. Ariff

 

12 April 2010, Pulau Pinang:- Dr Mohd Asri Zainul Abidin malam semalam mengadakan kuliah tafsir di Masjid Jelutong Pulau Pinang. Kuliah itu dihadiri oleh sekitar 500 hadirin. Turut hadir YB Exco Agama Negeri, Tuan Haji Abdul Malik Kassim.

 

Kuliah mingguan Dr Mohd Asri itu membahaskan mengenai tafsir ayat dalam surah Yusuf. Beliau menerangkan beberapa poin penting dalam ayat 4 dan 5 surah tersebut mengenai mimpi Nabi Yusuf AS serta perbualan baginda bersama ayahandanya, Nabi Yaakub.

Dalam pada itu, Dr Mohd Asri juga turut memberikan ulasan mengenai kes sebatan yang dikenakan ke atas Kartika Sari. Beliau berkata bahawa bukanlah beliau bersetuju seratus peratus akan pengguguran hukuman sebat, namun suasana yang kondusif perlu diwujudkan sebelum melaksanakan hukuman itu, “Suasana itu mesti sesuai untuk memungkinkan hukuman dilaksanakan.”

┬áNamun dalam pada masa yang sama, beliau juga melahirkan kerisauan bahawa kemungkinan wujud ‘people above the (syarie) law’ dengan pengurniaan pengampunan yang mungkin menyebabkan suasana jadi mengelirukan di masa hadapan.

Dr Mohd Asri turut ditanya mengenai isu semasa yang semakin berleluasa iaitu zina serta pembuangan bayi. Fenomena yang tidak sihat dan berleluasa ini kata beliau, disebabkan bahawa kesukaran yang diwujudkan oleh sesetengah manusia dalam agama yang menyukarkan perkara yang halal seperti perkahwinan menyebabkan penzinaan berleluasa.

Wujudnya juga birokrasi dalam agama serta istiadat yang memaksa juga menyebabkan lebih ramai memilih jalan zina daripada berkahwin. Beliau juga turut membidas golongan agama yang lebih suka menghukum daripada memberikan solusi kepada permasalahan semasa yang berlaku dalam masyarakat setempat, “Dalam zaman ini, pendakwah perlu menggunakan hikmah (kebijasanaan) dalam mengatasi isu semasa.”

Beliau turut memberikan pandangan bahawa bantuan zakat perlu diperluaskan skop pembahagiannya, termasuk kepada mereka yang ingin mendirikan rumah tangga. Zakat yang dikutip jutaan ringgit setiap tahun wajar untuk diperuntukkan kepada pemuda-pemudi yang ingin bernikah bagi mengatasi masalah penzinaan.

Kuliah tersebut berakhir pada jam 9.30 malam.