Saya Ingin Memuji Tun Siti..

SAYA INGIN MEMUJI TUN SITI..
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

 

 

Sudah beberapa hari saya teringatkan ketinggian budi Tun Dr. Siti Hasmah. Agak sudah beberapa bulan saya tidak bertemu beliau. Gambaran wajah Tun Siti yang paling indah yang saya lihat ialah ketika beliau memakai telekung untuk solat. Ketika itu saya pergi menziarahi Tun Mahathir di IJN. Tun Siti sendiri yang menelefon saya menjemput saya ke sana. MasyaAllah, wajah Tun Siti ketika bertelekung saling tak tumpah bagaikan wajah nenek saya yang sudah kembali ke rahmatullah.

 

Berjalan ke berbagai tempat dalam negara ini, bertemu dengan berbagai pihak memberikan kita berbagai maklumat mengenai persepsi masyarakat terhadap berbagai perkara khususnya para pemimpin politik. Cetusan dan ulasan rakyat itulah yang menjadikan saya ingatkan Tun Dr Siti Hasmah..

 

Teruskan membaca..>>

Menangisi Kenaikan Harga Barang

Menangisi Kenaikan Harga Barang

 

..Menangisi kedukaan rakyat atas kenaikan 5 harga barang yang terbaru, maka di sini dibawa semula artikel lama Dr. Mohd Asri Zainul Abidin AGAMA BUKAN CANDU UNTUK MENGKHAYALKAN ORANG MISKIN yang ditulis dan disiarkan di media utama semasa kenaikan harga minyak di zaman Pak Lah..

 

Aduhai malangnya, ketika kerajaan sedang membina istana negara yang berharga 811 juta yang hanya ekslusif untuk segolongan manusia sahaja, serta di sana berbagai lagi pembaziran yang lain, tiba-tiba rakyat awam menjadi mangsa, subsidi mereka pula yang dirampas..

 

Kenangilah orang-orang kampung yang susah, ibubapa yang terhad pendapatan mereka dan anak-anak miskin yang akan termangsa dari setiap kenaikan harga barang.. mereka tiada istana mewah, tiada kereta mewah, tiada hidangan mewah..

 

Ketika golongan bangsawan dan pembesar itu bersenang lenang dengan segala kemewahan yang telah merampas subsidi rakyat, orang miskin menangis suapan mereka yang makin meninggi harganya, yang meratah tenaga jasad dan kekayaan negara mereka..

 

* Dr. Mohd Asri Zainul Abidin *

 

Isu Hakim Wanita: Kita Wajar Terbuka

Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin

 

Ramai yang meminta saya memberikan pandangan berhubungan perlantikan hakim wanita di mahkamah syariah baru-baru ini. Sebahagian mereka ini terpengaruh dengan pendapat yang agak ‘keras’ yang hanya membenarkan Islam itu dilihat dalam kerangka sesebuah mazhab sahaja, lalu tanpa penelitian atau kesederhanaan menghukum haram, sesat, dosa dan berbagai lagi.

 

Sedangkan kita sepatutnya melihat Islam dalam kerangka yang lebih luas yang meliputi semua aliran mazhab, pendapat dan pandangan ilmiah dari mana sahaja ia berasal. Apa yang penting penghujahannya hendaklah berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah serta mengikuti garis panduan ilmu yang ditetapkan. Di samping bersedia menerima perbezaan dalam perkara-perkara yang boleh kita berbeza. Saya ingin menyentuh hal ini dalam nota-nota berikut;

 

Teruskan membaca..>>

Kenyataan Dr. Mohd Asri Tentang Penyertaan ke UMNO


Ingin saya tegaskan kepada rakyat Malaysia bahawa saya sehingga kini tidak menyertai mana-mana parti politik.

 

Sokongan saya adalah kepada kebenaran dan fakta, tanpa mengira batasan parti, kaum dan agama. Itulah prinsip Islam yang adil untuk semua.

 

Dalam masa yang sama, saya menghormati mana-mana pihak untuk melakukan dakwah dalam mana-mana parti. saya tidak mahu membuat kenyataan banyak dalam hal ini, demi menjaga perasaan sahabat-sahabat dan pihak-pihak yang lain.

 

Apa yang penting, saya tidak menyertai mana-mana parti, dan tidak bercadang untuk memilih jalan itu setakat ini.

 

-Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

 

Zamihan Terus Berdusta

Merujuk kepada kenyataan Zamihan bahawa dalam pembentangannya kepada pihak penguatkuasa dan wakil-wakil universiti itu, beliau hanya menyebut “Dr Asri sepemikiran dengan Wahabi”. Katanya, tafsiran itu dibuat berdasarkan tulisan Dr Asri melalui sebuah buku Bid’ah: Istilah yang Disalahfahami yang diterbitkan beberapa tahun lalu. Katanya: “Saya hanya copy and paste (salin dan tampal) pandangannya yang menyamakan (sambutan) Maulud Nabi dengan amalan orang Kristian. Zamihan menambah, pandangan yang “keras” sebegitu jika tidak dibendung boleh menjurus ke arah pendekatan “radikal” di negara ini.” (Malaysiakini 24 Jun 2010).

 

Berikut ulasan saya;

 

1. Ini adalah satu pendustaan yang nyata. Dalam buku Bid’ah: Istilah yang Disalahfahami sama sekali tiada disebutkan perkataan sedemikian. Sekadar yang ada sentuhan yang disebut oleh al-Imam al-Syatibi (meninggal 790H), pun begitu tiada perkataan beliau yang dipetik menyamakan dengan Kristian. Saya mencabar Zamihan membuktikan ayat dan muka surat mana yang menyebut hal seperti itu.

 

bukubidaah.JPG

2. Sebenarnya, persoalan maulid pernah saya sebut dalam artikel lain yang bertajuk ‘Maulid: Antara Sejarah Dan Amalan’ yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia dan tiada pun perkataan seperti didakwa itu disebutkan. Bahkan saya menyebut: “Ya, saya fikir, perasaan bersyukur mengenangkan sejarah kelahiran Nabi s.a.w dengan semangat untuk mengikuti baginda adalah wajar. Di samping kita perlu sedar fakta-fakta yang disebutkan tadi. Jika Bulan Rabi’ul Awwal ini dikatakan bulan kelahiran Nabi s.a.w, maka tidak salah untuk kita berceramah menceritakan sejarah perjuangan dan prinsip-prinsip Islam yang dibawa oleh baginda. Sama ada pada bulan ini atau selainnya. Sama seperti apabila kita melintas suatu tempat bersejarah, kita mengenang sejarah tersebut. Cuma janganlah kita ini menjadi manusia bermusim yang hanya mengenang rasul dan ajaran baginda pada hari-hari tertentu, tetapi kita seakan sudah tidak mengingati baginda selepas itu”.

 

3. Adapun dalam artikel lain yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia bertajuk ‘Melayu Dan Mamak Penang’ yang mempertahankan pendirian MB Kelantan mengenai isu maulid, perkataan Kristian ada disebut tetapi bukan perkataan saya, sebaliknya seperti berikut: Al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) mencatatkan bahawa cadangan agar tarikh Maulid Nabi s.a.w dijadikan tarikh kiraan tahun Islam pernah dibuat kepada ‘Umar bin al-Khattab. Namun beliau tidak menerimanya. Kata seorang pengkaji Sirah yang juga merupakan tokoh politik dan Ahli Parlimen Jordan, Dr Muhammad ‘Abd al-Qadir Abu Faris: “Pada pendapat kami –Allah lebih mengetahui-, hikmah di sebalik penolakan Umar itu kerana beliau mempelajari dari Rasulullah s.a.w agar kita berbeza dengan Yahudi dan Kristian. Orang Kristian menentukan tarikh berdasarkan kelahiran Nabi Isa bin Maryam a.s. Mereka berlebihan dalam memuji dan membesarkan baginda sehingga sampai ke peringkat ketuhanan. Mereka kata: dia anak Allah, kadangkala “dia Allah” dan dia satu dari yang tiga. Tujuan ‘Umar itu agar orang Islam tidak terjatuh seperti Kristian dalam berlebihan membesarkan Nabi s.a.w. Rasulullah s.a.w sendiri telah memberi amaran agar tidak berlebih-lebihan dalam memuji baginda. Sabda baginda: “Jangan kamu memujiku berlebihan seperti Kristian berlebihan memuji Isa bin Maryam. Aku hanya seorang hamba Allah. Katakanlah: “Hamba Allah dan rasulNya” (al-Bukhari). Maka Umar tidak menjadikan maulid Nabi s.a.w sebagai permulaan kalendar Islam untuk mengelakkan jenerasi kemudian menyeleweng” (Abu Faris, al-Hijrah al-Nabawiyyah, m.s 16, Jordan: Dar al-Furqan). Inilah ulasan Dr Abu Faris dan pendapat ini dikongsi oleh ramai pengkaji yang lain”. Saya hanya menyebut pendapat tersebut, tetapi tidak menyatakan menyokongnya.

 

4. Dengan ini jelas bahawa beliau telah memberikan taklimat yang dusta lagi bohong kepada pegawai keselamatan dan TNC-TNC seluruh negara. Persoalannya, bagaimana kerajaan atau pihak polis boleh membenarkan pendustaan seperti ini dibuat dalam satu taklimat penting mengenai keselamatan negara?

 

5. Di sudut yang lain, jika ada pihak yang tidak ingin mengadakan perayaan Maulid seperti Kerajaan Kelantan atau Perlis, apakah pula kaitannya dengan keselamatan negara? Jelas, isu keselamatan negara telah menjadi mainan pihak tertentu dan dipermudah-mudahkan.

 

6. Isu ini menggambarkan betapa suasana pengurusan keselamatan negara diperjudikan atas perkara-perkara remeh seperti ini.

 

Mengapa Kerajaan BN Berbohong?


(Kenyataan Bersama Sahibus Samahah Dr Juanda Jaya dan Dr Mohd Asri Zainul Abidin)

 

 

1. Apa yang didakwa oleh banyak pihak, terutama parti pembangkang bahawa isu keselamatan negara yang membabit ancaman pengganas yang digembar-gemburkan oleh pihak kerajaan adalah permainan politik, nampaknya mempunyai asas yang kukuh. Kerajaan Pusat kelihatan memperjudikan isu keselamatan negara yang diada-adakan untuk kepentingan tertentu.

 

2. Buktinya, laporan Malaysiakini pada 22hb Jun 2010, yang menyatakan bahawa dalam satu taklimat keselamatan negara berhubung JI (Jamaah Islamiah) di Bukit Aman pada 21 Jun, yang dihadiri oleh Menteri, Timbalan Menteri dan TNC-TNC seluruh negara, penceramah yang diundang oleh pihak polis Zamihan Mat Zain dari ILIM telah mendakwa dengan satu dakwaan yang sangat jahat iaitu YB Presidan PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, YB Dato Seri Shahidan Kassim, kami berdua dan ramai lagi tokoh masyarakat dikaitkan dengan wahabi dan pengganas JI. Demikian dikaitkan pertubuhan JIM dengan rangkaian pemikiran radikal di Timur Tengah.

 

3. Dakwaan ini sangat jahat. Jelas sengaja diada-adakan. Rakyat Malaysia mengenali pemikiran kami yang sentiasa menyeru kepada Islam yang progresif, keharmonian kaum dan agama, menentang sikap fanatik dan apa sahaja bentuk kekerasan pandangan. Isu-isu kami bawa selama ini sentiasa mendapat perhatian semua agama dan kaum kerana mempamerkan Islam yang “tolerance” dan berpaksikan kesesuaian hidup masyarakat yang serba rencam. Hal ini boleh dirujuk dalam berbagai tulisan dan kenyataan kami. Justeru, Zamihan dan polis wajib bertanggungjawab atas fitnah ini.

 

4. Bagi kami YB Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sama sekali tidak wajar dikaitkan dengan keganasan. Beliau ialah bekas MB Terengganu. Mengetuai sebuah parti politik tanahair sejak sekian lama. Ini melambangkan penghormatan beliau dan partinya terhadap amalan demokrasi dan hak kebebasan rakyat. Tuduhan terhadap beliau telah menghina sebuah parti politik yang selama ini melalui lunas-lunas sistem demokrasi negara ini. Sekali lagi, Zamihan dan polis perlu bertanggungjawab terhadap fitnah ini.

 

5. Demikian Dato Seri Shahidan Kassim. Bekas MB Perlis dan kini Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Naib Presiden PERKIM, Malaysia dan akvitis berbagai kebajikan rakyat. Layakkah orang seperti ini dituduh mempunyai kaitan dengan pengganas. Nampaknya UMNO dan BN sanggup membunuh rakan sendiri dalam memperjudikan kepentingan politik tertentu.

 

6. Adapun JIM kami tidak mempunyai maklumat yang banyak mengenai mereka. Namun, kami percaya mereka bukan pengganas dan tidak layak dikaitkan dengan tuduhan jijik itu. Sebagai NGO, mereka mempunyai sumbangan kepada negara yang patut dihargai.

 

7. Pihak polis perlu memberikan penjelasan kepada rakyat terhadap fitnah rambang ini. Siapakah Zamihan sehingga dia digunakan oleh pihak polis untuk membuat agenda jahat ini? Polis sepatutnya menyiasat beliau ini dan hubungannya dengan mentor yang selalu dirujuk kepadanya iaitu Hasan al-Saqqaf. Hasan al-Saqqaf yang terkenal suka menyesat dan mengkafirkan sesiapa yang berbeza pandangan dengannya itu, kini terbabit dengan isu keselamatan negara Jordan.

 

8. Jika pihak polis tidak menafikan dakwaan Zamihan ini, bererti pihak polis yang dikuasai oleh Menteri Keselamatan Dalam Negeri seakan sengaja menabur fitnah yang tidak berasas.

 

9. Dengan ini, apa yang disebut oleh beberapa tokoh masyarakat seperti SM Idris dan pihak Pakatan Rakyat bahawa isu ini tiada asasnya kelihatan benar. Bahkan ia berkemungkinan besar mainan politik kotor kerajaan yang memerintah untuk mengalihkan isu-isu tertentu.

 

10. Dengan ini, kami menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini dan mengingatkan rakyat bahawa mana-mana pemerintahan atau parti politik yang sanggup memperjudikan isu keselamatan negara untuk kepentingan tertentu adalah sebuah pemerintahan yang tidak bertanggungjawab. Pemerintahan yang menggunapakai kaedah tipu muslihat, berbohong, menggadaikan maruah orang lain untuk kepentingan sempit, mencemarkan hak rakyat dan memanipulasikan isu keselamatan negara adalah amat merbahaya bagi sesebuah negara yang harmoni.

 

11. Di samping itu, kami menyeru setiap lapisan rakyat agar menolak segala bentuk keganasan sama ada berupa tindakan ataupun pemikiran. Dan juga sekali lagi menyeru agar tidak mendokong pihak yang memperjudikan keselamatan negara demi kepentingan sempit.

 

Sahibus Samahah Dr Juanda Jaya
(Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Ahli Fatwa Kebangsaan, kini Visiting Fellow Oxford University, UK)

 

Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(Bekas Mufti Perlis, Ahli Majlis Agama Islam Perlis, Pensyarah Pengajian Islam USM)

 

23 Jun 2010

 

Kempen Agar Mendaftar Untuk Pilihanraya

 

1. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih atas pandangan dan nasihat yang bertalu-talu dikirimkan kepada saya dari seluruh negara. Semoga Allah memberikan kebaikan atas keprihatinan semua pihak. Hubungan perasaan kasih dan mengharapkan kebaikan yang digambarkan itu, amat mengharukan saya.

 

Teruskan membaca..>>

Penyertaan Ke Dalam Parti Politik

Sehingga saat ini saya belum membuat apa-apa keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik. Saya mengharapkan semua pihak tidak membuat andaian yang terlalu cepat terhadap kenyataan mana-mana pihak mengenai isu ini.

 

Perbincangan dengan pihak yang membuat kenyataan akan di adakan. Sebarang kenyataan kepada media tidak akan dibuat setakat ini.

 

Saya berdoa kepada Allah agar diberikan kebaikan untuk umat Islam dan para pendakwah Islam yang ikhlas.

 

- dr mohd asri zainul abidin.

 

 

Artikel Selanjutnya »