sinar2.jpg

 

Soalan: Saya seorang wanita yang merasa tertipu. Atas cadangan beberapa pihak saya menerima pinangan seorang pemuda. Mereka kata dia seorang yang baik. Kami pun bernikah. Setelah bernikah baru saya tahu dia seorang penagih dadah. Sudah dua kali dia ditahan. Saya tidak sanggup lagi bersuamikan dia. Dia pernah memukul saya. Malu saya di tempat kerja.

 

Saya ingin minta diceraikan atau kami dipisahkan. Ramai yang beritahu saya berdosa isteri minta cerai. Keluarga dia lebih-lebihan kutuk saya, kata saya isteri yang tidak baik kerana hendak minta cerai. Allah murka kepada isteri seperti saya. Dr, kenapa saya rasa tertindas jadi perempuan dalam agama saya sendiri?

 

Fazlina, Kuala Terengganu.

 

Jawapan Dr Mohd Asri Zainul Abidin:

 

Semoga Allah mengeluarkan puan dari kezaliman manusia. Berikut adalah jawapan saya dalam masalah yang puan kemukakan:

1. Jika benar seperti yang disebutkan, pihak yang memperkenalkan suami puan kepada puan sehingga puan menerima pinangannya itu berdosa kalau mereka tahu dia seorang penagih tetapi tidak memaklumkannya kepada puan. Mereka termasuk dalam golongan yang menipu dan melakukan penyaksian dusta. Dosa keperitan hidup yang puan tanggung akan dikenakan juga kepada mereka atas penipuan tersebut. Nabi s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang memperdaya kami (kaum muslimin) maka dia bukan dalam kalangan kami. Tipu daya dan tipu helah itu dalam neraka” (Riwayat al-Tabarani dan Ibn Hibban, dinilai sahih oleh al-Albani).

Dalam hadis ini Nabi s.a.w menyatakan mereka yang menipu orang Islam itu terkeluar dari jalan petunjuk baginda. Bahkan perbuatan itu tempatnya dalam neraka.

2. Seorang muslim hendaklah berlaku jujur apabila ditanya tentang bakal suami atau isteri yang hendak seseorang kahwini. Memberitahu perihal seseorang kepada yang ingin membuat pertimbangan untuk menerima atau menolak pinangan tidak termasuk dalam mengumpat yang diharamkan.

Cumanya, pemberitahuan itu hendaklah sekadar yang diperlukan tanpa berlebihan kepada perkara-perkara yang tiada kaitan. Dalam hadis, apabila Fatimah binti Qais bertanya pendapat Nabi s.a.w mengenai Mu’awiyah bin Abi Sufyan dan Abu Jahm yang datang meminangnya, Nabi s.a.w menjawab:

“Adapun Abu Jahm dia tidak menurunkan tongkatnya dari bahunya. Sementara Mu’awiyah seorang yang miskin tiada berharta. Kahwinilah Usamah bin Zaid” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis ini Nabi s.a.w memberitahu perihal Abu Jahm dan Mu’awiyah yang menjadikan tidak sesuai untuk diterima pinangan mereka. Tidak menurunkan tongkat dalam hadis tersebut boleh jadi bermaksud sering bermusafir atau suka memukul wanita. Kemiskinan Mu’awiyah juga dimaklumkan oleh Nabi s.a.w untuk mengelakkan masalah. Bahkan Nabi s.a.w mencadangkan calon lain yang lebih baik.

3. Rumahtangga atau perkahwinan bukanlah penjara seksaan untuk seorang lelaki atau wanita. Ia sepatutnya dibina atas cinta dan kebahagiaan, bukan kebencian dan permusuhan. Jika kebencian dan permusuhan mengambil tempat, maka tiada ertinya lagi untuk sesuatu perkahwinan itu diteruskan. Ia akan lebih mengundang dosa daripada pahala. Ia akan merosakkan jiwa dan ketenteraman perasaan.

Hidup ini bukan sekadar untuk bertarung dengan masalah sebuah rumahtangga semata sehingga melupai tujuan kehidupan yang sebenar. Untuk itu, Islam mensyariatkan talak dan beberapa pintu lain seperti khulu’ dan fasakh untuk memboleh seseorang keluar dari neraka kehidupan dan mencari ketenteraman yang baru. Islam tidak seperti sesetengah agama yang menganggap perkahwinan itu semestinya abadi dan tiada jalan keluar lagi sekalipun terpaksa hidup memamah derita.

4. Pemikiran sesetengah masyarakat Islam bahawa penceraian atau talak itu semua buruk adalah tidak benar. Talak atau cerai adakalanya disuruh oleh al-Quran, jika perkahwinan sudah tidak lagi membawa kebaikan. Firman Allah: (maksudnya)

“Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik, dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan tujuan memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menzalimi dirinya sendiri. dan janganlah kamu menjadikan ayat-ayat (hukum) Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan permainan), dan kenanglah nikmat Allah yang diberikan kepada kamu, (dan kenanglah) apa yang diturunkan kepada kamu iaitu Kitab (Al-Quran) dan hikmat (sunnah), untuk memberi pengajaran kepada kamu dengannya. dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah: sesungguhnya Allah Maha mengetahui segala-galanya” (Surah al-Baqarah, ayat 231). (Surah al-Baqarah, ayat 231).

Maka talak itu jika membawa kebaikan seperti mengelakkan kezaliman antara suami dan isteri atau anak-anak, maka itu adalah suatu kebaikan. Jika membawa keburukan maka keburukan atau perkara negatif dibenci oleh Allah dan RasulNya. Adapun hadis riwayat Abu Daud:

“Perkara halal yang paling dibenci Allah ialah talak” merupakan sebuah hadis yang dhaif atau lemah.(lihat: al-Albani, Irwa al-Ghalil, 7/106, Beirut: al-Maktab al-Islami).

Sementara hadis:

“Kahwinilah dan jangan kamu talak, kerana talak itu menggoncang Arasy” adalah sebuah hadis yang palsu. (lihat: al-Albani, al-Silsilah al-Daifah, 1/278, Riyadh: Maktabah al-Ma’arif).

Hadis ini amat tidak lojik, bagaimana mungkin Arasy Allah bergegar dengan perceraian seseorang?! Sedangkan Nabi s.a.w sendiri pernah mentalakkan isteri baginda.

5. Wanita juga boleh memohon fasakh (bubar perkahwinan) atau khulu’ (tebus talak) jika dia merasakan suaminya sudah tidak sesuai dengannya dan dia tidak mampu lagi menunaikan tanggungjawab sebagai isteri. Isteri Thabit bin Qais pernah datang kepada Rasulullah s.a.d dan mengadu:

“Wahai RasululLah! Aku tidak mempertikaikan Thabit bin Qais di sudut akhlak dan agamanya. Namun aku membenci kekufuran dalam Islam. Maka RasululLah s.a.w pun bersabda: Mahukah engkau mengembalikan kebunnya? Jawabnya: “Ya”. Lalu RasululLah bersabda kepada Thabit: Ambillah kebunmu dan talakkanlah dia” (Riwayat al-Bukhari).

Membenci kekufuran dalam Islam bermaksud penderhakaan terhadap suami yang akhirnya menyerupai kaum yang tidak beriman. Ada juga para ulama yang menafsirkan maksudnya dia terdesak menjadi kufur kerana ingin membebaskan diri dari suami. Kata al-Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H):

“Sesungguhnya wanita apabila membenci suaminya disebabkan akhlak atau rupa paras atau agama atau usianya yang tua atau lemah atau seumpamanya dan dia takut tidak dapat menunaikan perintah Allah dalam mentaati suami, maka harus baginya untuk khulu’ (tebus talak) dengan bayaran gantian untuk dirinya. Ini berdasarkan firman Allah: (maksudnya): “jika kamu takut keduanya (suami isteri) tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya”(Surah al-Baqarah:229) (Ibn Qudamah, al-Mughni, 10/267, Kaherah: Hijr).

6. Seorang suami yang menagih dadah boleh membahayakan isteri. Sama ada boleh membawa penyakit yang bahaya seperti aids atau mendorong dia berlaku kejam. Kes-kes seperti ini tidak sepatutnya ditangguhkan. Surat bukti sah suami terjebak dengan dadah sepatutnya cukup untuk memboleh perkahwinan dibatalkan oleh pihak kadi atau mahkamah. Ini jika mahkamah mempunyai kesedaran tentang keadilan melebihi kecenderungan mempertahankan kerenah birokrasi.

7. Sebenarnya, banyak perkara yang disebut oleh para ulama yang membolehkan perkahwinan dibatalkan atau dibubarkan (fasakh) apabila berlaku kezaliman kepada isteri. Dr Karim ‘Abd al-Karim Zaidan ketika mambahaskan tentang memisahkan (tafriq) suami dan isteri disebabkan mudarat menyebut dua jenis mudarat yang memboleh isteri menuntut untuk dia dipisahkan.

Satunya, mudarat dari segi fizikal seperti suami memukul, atau membuatkan sesuatu yang menyebabkan kecederaan. Kedua, segi jiwa atau psikologi seperti suami memakinya, atau tidak lagi mahu bersetubuh dengannya, atau menengkingnya atau enggan berbicara dengannya. Dr. Zaidan juga memetik apa yang disebut oleh al-Dardir dalam al-Syarh al-Kabir:

“Bagi isteri boleh menuntut dipisahkan dari suami disebabkan mudarat yang dilakukannya; iaitu apa yang tidak diizinkan oleh syarak untuk dia buat seperti meninggalkan isteri atau memukulnya tanpa sebab yang dibenarkan syarak. Atau memaki dia atau bapanya seperti menyebut: Wahai anak anjing, atau wahai anak kafir! Atau wahai anak orang yang dilaknat. Ini seperti yang berlaku dalam kalangan mereka yang tidak senonoh. Di samping itu tambahan kepada dipisahkan, dia patut dihukum untuk diadabkannya. Ini seperti jika dia meliwat isteri”. Dr Zaidan seterusnya memetik apa yang disebut oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: “Maka dianggap memberi mudarat kepada isteri yang boleh dipisah (difasakh) apabila suami meninggalkan persetubuhan dalam apa keadaan sekalipun. Samada suami sengaja atau tidak sengaja”. (Dr Zaidan, al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah 8/439. Beirut: Muassasah al-Risalah).

8. Jelas, Islam sama sekali tidak pernah menzalimi wanita. Apa yang berlaku dalam banyak keadaan adalah disebabkan oleh pengurusan sesetengah pihak tentang urusan wanita yang tidak menekan nilai-nilai keadilan, keselamatan wanita, perasaan mereka yang lemah dan seumpamanya. Janganlah disalahkan Islam, sebaliknya lihat keadilan Islam jendela nas-nas yang sahih.

9. Perkara yang terpenting dalam hal puan ini, berdoalah kepada Allah agar dibebaskan diri dari keadaan puan dan diberi gentian suami yang lebih baik dan soleh. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui tentang masa depan seseorang, pohonlah masa depan yang baik daripadaNya.