SOALAN : Saya sering melihat di negara kita digantungkan lafaz niat seperti niat iktikaf, atau niat solat di masjid. Apakah niat memerlukan lafaz?


Jawapan: Pada asalnya, menggantungkan apa-apa ayat al-Quran atau hadith di masjid atau selainnya, tidak termasuk dalam perkara yang dilarang selagi memenuhi syarat-syarat berikut:
1. Tujuannya memberikan manfaat peringatan kepada orang ramai. Bukan dengan maksud yang salah seperti kepercayaan yang khurafat bahawa ayat itu menjadi pelaris, atau boleh membawa maksud yang salah atau menghina Allah dan RasulNya.
2. Hendaklah inti-kandungan perkara yang digantung itu tidak bercanggah dengan agama. Maka tidak boleh menggantung hadith yang palsu lalu disandarkan kepada Nabi s.a.w, kerana itu adalah pembohongan dan dosa yang amat besar dalam agama. Demikian menggantungkan maklumat berkaitan dengan agama yang boleh menjadi orang ramai salah faham terhadap agama.

Menggantungkan peringatan agar orang beriktikaf dalam masjid adalah tidak dilarang, bahkan jika itu membantu kepada ibadah tersebut ia sesuatu yang digalakkan. Ini kerana jumhur ulama menganggap iktikaf boleh dibuat di semua masjid. Sementara sebahagian ulama pula ia hanya khas untuk tiga masjid, iaitu Masjid al-Haram, Masjid al-Nabi dan al-Masjid al-Aqsa. Bagi golongan ulama yang kedua ini, perbuatan itu tentu tidak digalakkan.

Namun bagi jumhur (majoriti) ulama, iktikaf boleh dibuat disemua masjid dan digalakkan. Perbuatan menggalakkan amalan sunat adalah sunat. Justeru, perbuatan tersebut pada asalnya tidak bid’ah . Apatah lagi menggantungkan galakan untuk sesuatu kebaikan itu adalah soal teknikal dalam berdakwah bukan berbentuk ibadah khususiah.Namun inti kandungan galakan itu hendaklah tepat dengan syarak. Jika inti-kandungan itu salah ia membawa kepada salah faham orang ramai terhadap agama.

Adapun lafaz niat untuk iktikaf, tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w.. Sama halnya dengan lafaz niat bagi solat, wuduk, puasa dan lain-lain. Nabi s.a.w bersabda:

صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي

“Solatlah kamu seperti mana kamu lihat aku bersolat” (Riwayat al-Bukhari)

Kata Ibn Taimiyyah (meninggal 728H) dalam Al-Fatawa al-Kubra,jilid 2/ muka surat 95:

بل التلفظ بالنية نقص في العقل والدين. أما في الدين فلأنه بدعة. وأما في العقل فلأنه بمنزلة من يريد يأكل طعاماً فيقول: نويت بوضع يدي في هذا الإناء أني أريد آخذ منه لقمة فأضعها في فمي فأمضغها ثم أبلعها لأشبع. مثل القائل الذي يقول: نويت أصلي فريضة هذه الصلاة المفروضة علي حاضر الوقت، أربع ركعات في جماعة، أداء لله تعالى. فهذا كله حمق وجهل، وذلك أن النية بليغ العلم، فمتى علم العبد ما يفعله كان قد نواه ضرورة، فلا يتصور مع وجود العلم بالعقل أن يفعل بلا نية: ولا يمكن مع عدم العلم أن تحصل نية.وقد اتفق الأئمة على أن الجهر بالنية وتكريرها ليس بمشروع، بل من اعتاد ذلك فإنه ينبغي له أن يؤدب تأديباً يمنعه عن ذلك التعبد بالبدع، وأذاء الناس برفع صوته..

(Bahkan melafazkan niat itu adalah cacat pada akal dan agama. Adapun pada agama kerana ia adalah bid’ah . Adapun pada akal, kerana ia seperti orang yang hendak makan sesuatu makanan lalu berkata: “Aku berniat meletakkan tanganku pada bekas ini kerana aku hendak mengambil satu suap darinya, lalu aku letakkannya dalam mulutku, lalu aku kunyah kemudian aku menelannya supaya aku kenyang”. Sama seperti orang yang menyebut: “Aku niat bersolat fardu ini pada masuk waktunya, empat rakaat dalam jamaah, tunai kerana Allah”. Ini semua adalah bodoh dan jahil. Ini kerana niat adalah kesampaian pengetahuan. Apabila seseorang hamba Allah tahu apa yang sedang dia buat, maka dengan sendirinya dia telah berniat perkara itu. Tidak terbayang dengan wujud pengetahuan dalam akalnya, untuk dia melakukan tanpa niat. Tidak mungkin pula tanpa pengetahuan, terhasilnya niat. Telah sepakat para imam yang empat bahawa menguatkan suara dalam berniat dan mengulanginya tidak disyariatkan. Bahkan sesiapa yang terbiasa dengan itu hendaklah diberi hukuman (untuk mengajarnya) bagi menghalangnya melakukan ibadah secara bid’ah dan mengganggu orang ramai dengan mengangkat suara.

Kata Dr Yusuf al-Qaradawi (http//:qaradawi.net):

وهذه النية عمل قلبي خالص، وليست من أعمال اللسان، ولذا لم يعرف عن النبي صلى الله عليه وسلم ولا عن أصحابه ولا عن تابعيهم بإحسان من سلف الأمة: التلفظ بالنية في العبادات، مثل الصلاة والصيام والغسل والوضوء، ونحوها، وهو ما نرى بعض الناس يجهدون أنفسهم في الإتيان به، مثل قولهم: نويت رفع الحدث الأصغر أو الأكبر، أو نويت صلاة الظهر أو العصر أربع ركعات على لله العظيم، أو نويت الصيام غدا في شهر رمضان.. الخ، وكل هذا لم يأت به قرآن ولا سنة. ولا معنى له، إذ لا يقول الإنسان إذا أراد الذهاب إلى السوق: نويت الذهاب إلى السوق، أو إذا نوى السفر: نويت السفر! ونقل الزركشي عن الغزالي في فتاويه قوله: أمر النية سهل في العبادات، وإنما يتعسر بسبب الجهل بحقيقة النية أو الوسوسة

(Niat ini adalah amalan hati semata. Bukan amalan lidah. Tidak diketahui daripada Nabi s.a.w., tidak juga dari para sahabah dan para tabi’in yang mengikut mereka dengan baik -yang merupakan salaf umat ini- sebarang lafaz bagi niat ibadat, seperti solat, puasa, mandi, berwuduk dan seumpamanya, apa yang kita lihat sebahagian manusia bersungguh-sungguh melakukannya, seperti mereka menyebut: Aku berniat mengangkat hadas kecil, atau besar, atau solat zohor, atau asar empat rakaat kerana Allah Yang Maha Besar, atau aku berniat puasa esok hari pada bulan ramadan dan sebagainya. Ini semua tidak dibawa (diajar) oleh sebarang ayat al-Quran atau Sunnah. Tiada faedah baginya, di mana seorang insan tidak akan berkata ketika hendak ke pasar: aku niat hendak ke pasar. Atau ketika dia hendak bermusafir: Aku niat bermusafir. Al-Zarkasyi dalam fatwa-fatwanya memetik perkataan al-Ghazali: “Urusan niat dalam ibadah itu, namun apa yang menyusahkan ialah disebabkan kejahilan dengan hakikat niat atau (disebabkan) was-was”.

Justeru itu penggantungan lafaz niat iktikaf adalah tidak termasuk dalam suruhan agama bahkan ia membawa kepada perkara yang mengelirukan dan berbeza dengan apa yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Kata tokoh mazhab al-Syafi’i yang terkenal, al-Imam al-Sayuti (meninggal 911H) dalam kitabnya Al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-Nahy ‘an al-Ibtida’ الأمر بالاتباع والنهي عن الابتداع: “Daripada bid’ah (yang saiyyah) itu: Was-was dalam niat solat. Itu bukan daripada perbuatan Nabi s.a.w. dan para sahabah baginda. Mereka tidak pernah melafaz sedikit pun niat solat melainkan hanya (terus) takbir. Allah telah berfirman: (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) (maksudnya: Sesungguhnya bagi kamu pada RasululLah itu contoh yang baik)”.
Al-Imam al-Syatibi dalam Al-I’tisam, menyebut riwayat seorang lelaki telah datang kepada al-Imam Malik dan berkata: “Wahai Abu ‘Abd Allah (gelaran al-Imam Malik) daripada mana aku patut berihram?. Jawabnya: “Daripada Zu Hulaifah ذو حليفة di mana tempat yang RasululLah berihram”. Kata lelaki itu: Aku ingin berihram daripada Masjid Nabi. Jawab al-Imam Malik: “Jangan buat”. Kata lelaki itu: Aku ingin berihram daripada kubur Nabi s.a.w.. Jawab al-Imam Malik: “Jangan buat, aku bimbang menimpa ke atas dirimu fitnah”. Tanya lelaki itu: Apa fitnahnya?!! Ia hanya jarak yang aku tambah. Jawab al-Imam Malik:

وأي فتنة أعظم من أن ترى أنك سبقت إلى فضيلة قصّر عنها رسول الله صلى الله عليه وسلم، وإني سمعت الله يقول: فَلْيَحْذَرْ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَنْ تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

(Maksudnya) Apakah lagi fitnah yang lebih besar daripada engkau melihat bahawa engkau telah mendahului satu kelebihan yang RasululLah s.a.w yang telah menguranginya. Sesungguhnya aku telah mendengar Allah berfirman: (maksudnya) “Berhati-hatilah mereka yang menyalahi perintahnya (RasululLah s.a.w), jangan sampai menimpa mereka musibah, atau menimpa mereka azab seksa yang pedih” (Surah al-Nur: 63).

ALLAH LEBIH MENGETAHUI
Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin