Hari-hari Terakhir Seorang Mufti

DEC 10 – Semalam saya terbaca dalam sebuah laman web berita yang Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, telah pun menulis rencana terakhirnya sebagai Mufti dalam blognya.

Beliau enggan membaharui kontrak kerja setelah memegang jawatan tersebut selama dua tahun dan sebulan.

Saya terus mencari rencana yang dimaksudkan itu, yang bagi saya amat pedih untuk dibaca. Ini kerana ia seperti potret wajah seseorang yang telah cuba sedaya upaya dan, walaupun tak gagal, sering ditentang dengan harapan yang dia gagal.

Kata Dr Asri dalam blognya: “merubah bukit dan gunung kadang kala lebih ringan dari merubah minda manusia yang berakar umbi sekian lamanya.”
Dan kita sememangnya faham mengapa beliau berkata begitu. Dr Asri adalah salah satu contoh ulama atau ahli fikir Islam yang bersifat progresif dan memandang ke hadapan. Kadang-kala sudut pandang beliau dianggap terlalu ke hadapan hingga ia meninggalkan teman-teman mufti yang lain jauh ketinggalan.

Pandangan Dr Asri sering menimbulkan kegelisahan dalam hati mereka yang ‘berperiuk-nasikan’ agama.

Lihat sahaja pendapat beliau tentang isu yoga yang bertentangan (atau sekurang-kurangnya berlainan pendapat) dengan Majlis Fatwa Kebangsaan. Dr Asri menyatakan yang yoga hanya perlu disekularkan, dan sememangnya yoga diajar di kebanyakan tempat di negara kita ini sudahpun ditepikan aspek-aspek agama.

Ya lah, sesuatu yang secara luarannya kelihatan terlalu berkeagamaan mungkin sukar untuk ‘dijual’ di gym-gym yang mencendawan serata kota kosmopolitan Kuala Lumpur.

Mengapa wujud tentangan yang begitu tajam terhadap pemikiran bukan arus perdana? Apakah Majlis Fatwa Kebangsaan serta institusi-institusi agama Islam yang lain di negara ini begitu segan pada perubahan (yang di sini dimaksudkan sebagai wujudnya pendapat yang tidak sehaluan dengan pendapat Majlis)?

Bagi saya, inilah yang perlu kita renungi kerana ianya menampakkan kemampuan dan tahap intelek sesebuah organisasi.

Bak kata pepatah Melayu, tak gerun beliung memandang kampas besar tersergam tinggi (yakni orang kecil yang pintar tak takut pada lawan yang besar).

Sememangnya Dr Asri berhadapan dengan lawan-lawan yang besar.

Dan beliau amat cerdik untuk meninggalkan arena ini buat sementara waktu, kerana perubahan mendalam takkan berjaya kalau dipaksa.

Tapi masyarakat Malaysia secara amnya kehilangan satu lagi suara yang petah, peka serta memahami rentak gaya dan liuk-liuk kehidupan zaman sekarang.

Adakah ini bererti puak konservatif telah menang? Tak semestinya.

Kita juga mulai sedar akan kemunculan institusi-institusi yang dahulunya diam (atau didiamkan?) tapi kini kelihatan mampu menyanggah, seperti Majlis Raja-Raja.

Dan adanya kumpulan-kumpulan yang tak terdiamkan, seperti Sisters in Islam, Majlis Peguam Malaysia, Tun Dr Mahathir dan macam-macam lagi.

Sebagai rakyat biasa, kita juga tak perlu menaruh harapan yang keterlaluan pada mana-mana satu individu/institusi untuk “menyelamatkan” kita semua (Dr Asri itu pun hanya seorang manusia biasa, dan beliau tak minta dimegahkan). Jika kita bersifat sedemikian, hingga kita hilang daya berfikir untuk diri sendiri, kita mungkin terjebak dalam masalah yang lebih dahsyat: ingat saja Hitler yang menjanjikan dirinya penyelamat umat Jerman.

Sebaliknya, kita harus menaruh harapan pada prinsip-prinsip yang menjadi tiang seri hidup bermasyarakat: secara amnya, prinsip seperti kebenaran, kesaksamaan, keadilan; secara spesifiknya, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kita.

Prinsip-prinsip ini harus ditegakkan institusi-institusi (seperti Majlis Fatwa Kebangsaan).

Tapi, mungkin juga sesebuah institusi ini dipenuhi manusia yang alpa, lalai, cuai. Walaupun begitu, kita masih ada harapan dalam institusi-institusi yang lain (seperti institusi Kehakiman, Majlis Raja-Raja).

Tapi kita juga sedar yang institusi-institusi lain ini turut mungkin dipenuhi manusia yang alpa, lalai, cuai.

Dan dalam senario ini, tatkala institusi saling tergagal, siapa lagi yang wajib bersuara… kecuali kita?

Fahmi Fadzil

http://www.themalaysianinsider.com.my/