KAMAL AMIR MENULIS

MINGGU lalu negara kehilangan dua orang tokoh bergelar Tan Sri yang kembali kepangkuan Ilahi. Pemergian kedua-dua tokoh tersebut bagaikan sukar untuk dicari ganti. Patah bagaikan tidak tumbuh lagi, hilangnya tak mungkin berganti. Namun hukum alam begitulah kehendaknya, setiap awal ada akhir dan nokhtahnya, sebuah perjalnan pasti berpenghujung jua.

Warna-warna kehidupan sejak azali lagi tetap dengan hukum karma, tiada yang kekal kecuali Allah. Setiap kehidupan pasti menemui kematian, semoga keinsafan menjelma di hati kita semua setiap hari mendatang tidak pernah memanjangkan tempoh usia, sebaliknya setiap detik dan saat diri semakin menghampiri saat kematian. Bak kata pepatah “rumah semakin galak menyuruh pergi dan tanah kubur kian ghairah menggamit kehadiran” insaflah, hidup tidak kekal selama-lamanya.

Begitu juga dengan kuasa di tangan, ia bukan sesuatu yang kekal, ada masanya penjawat jawatan tinggi bakal menemui zaman pencennya, pemimpin juga turut bakal bersara atau dibersarakan sementara rakyat tetap datang dan pergi. Jalanilah kehidupan dengan beramanah kerana setiap jejak pemimpin ada tuntutan dan beban amanah terpikul di bahunya.

Bercakap tentang kematian tokoh besar negara, kita kehilangan mendiang Tan Sri Lim Goh Tong, pedagang besi buruk yang berasal dari pedalaman Yunan di China berjaya mencipta nama untuk bergelar “taukeh judi” tersohor dan menduduki takhta antara orang terkaya di Malaysia mahupun rantau Asia.

Sementara seorang lagi adalah pejuang bangsa, mantan Menteri Besar Johor Darul Takzim, Tan Sri Osman Saat yang dikhabarkan sepanjang kehidupannya terus berjuang demi survival bangsa dalam aroma kemerdekaan. Pelbagai puji-pujian dari segenap lapisan masyarakat terhadap keluhuran budi dan jasa Allahyarham Tan Sri Osman Saat sepanjang menjalani kehidupannya sebagai pejuang bangsa.

Sebelum kembali ke rahmatullah, Allahyarham Tan Sri Osman Saat terlantar selama beberapa bulan kerana mengidap sakit tua dan sakit jantung. Semasa berada di atas katil menanti penuh sabar kehadiran Sakratul Maut, tiada ramai tokoh-tokoh pemimpin negara melawat Allahyarham, kalau ada pun bulan lalu mantan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paduka Ibrahim Ali pernah berkunjung seperti dilaporkan dalam blog Tinta Merah kiriman Mohd Sayuti Omar.

Disamping itu Perdana Menteri sendiri berkali-kali ulang-alik antara Kuala Lumpur dan Johor Bharu dalam aturcara lawatan kerja sama ada rasmi atau sebaliknya, namun tiada kesempatan walau seminitpun untuk bertanya khabar atau melawat Allahyarham Tan Sri Osman Saat di rumahnya.

Satu ketika dahulu semasa dalam perjuangan Team B untuk menggulingkan kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi adalah merupakan teman akrab kepada Tan Sri Osman Saat. Begitulah adat dunia, teman ketawa ramai sementara menangis seharusnya sendirian.

Berlainan pula dengan nasib mendiang Tan Sri Lim Goh Tong, saat pengkebumiannya, seluruh kaki judi dan para petugas karyawan di bawah naungan Genting Berhad telah berkabung sehari suntuk sebagai tanda bersedih atas kehilangan taukeh judi tersohor itu, malahan Perdana Menteri sendiri turut meluangkan masa untuk memberikan penghormatan terakhir.

Nasib yang dialami oleh Allahyarham Tan Sri Osman Saat adalah sama seperti perginya tokoh hebat pejuang bangsa seperti Datuk Harun Idris mantan Menteri Besar Selangor serta pimpinan tersohor Pergerakan Pemuda Umno di mana tidak sampai seratus orang sudi mengiringi jenazah Alahyarham ke tanah perkuburan.

Sewaktu jenazah Allahyarham Datuk Harun dibawa ke tanah perkuburan, teman dan rakan yang sama berjuang bersamanya hingga berjaya menjadi Menteri dan orang besar hilang entah kemana. Malahan Menteri Besar Selangor sendiri tidak sudi menjadikan kepergian Datuk Harun sebagai pengkebumian rasmi negeri seperti dilakukan oleh kerajaan Negeri Sembilan di saat menerima berita kematian Tan Sri Abdul Samad Idris.

Jasa bakti Datuk Harun dilupakan begitu sahaja, kehilangan Tan Sri Osman Saat sekadar dibalasungkawa dengan ungkapan penuh bunga-bunga retorik seperti dilafazkan oleh Tun Musa Hitam yang menyifatkan kehilangan Tan Sri Osman Saat bagai padamnya sebutir kilauan bintang bagi negeri Johor, walaupun zaman gemilangnya kedua tokoh ini saling tuduh-menuduh antara satu sama lain.

Lantaran itu saya teringat senikata lagu “selimut putih” yang pernah didendangkan oleh kumpulan nasyid dari Indonesia di mana antara bait-bait puitisnya diungkapkan:-

Bila Izrail datang memanggil
Seluruh tubuh akan menggigil
Sekujur badan kan kedinginan
Terkujur kaku di pembaringan

Tiada lagi gunanya harta
Kawan karib sanak saudara
Apa yang ada amalan kita
Itulah hanya pembela kita

Tinggal semua yang dikasihi
Berbakti lah hidup sepanjang masa…..

Dan kelmarin semasa mengiringi jenazah allahyarham abang saya Hj. Kamal Ariffin Kamal Hijaz yang juga Pengerusi Tetap Umno Bahagian Lumut, hati jadi lebih sayu kerana ramai kenalannya semasa hayat di kandung badan tiada bersama.

Bagaimanapun terima kasih diucapkan kepada YB Datuk Dr. Zamberi Abdul Kadir Exco kerajaan Perak merangkap Ketua Umno Lumut yang bergegas datang berziarah, walaupun allahyarham tidak menyokongnya namun, Dr. Zamberi tetap hadir atas ukhuwah persaudaraan sesama Islam dan mengenang jasanya dalam perjuangan.

Dalam sendu mengiringi perpisahan tersebut terdetik juga di hati kecil ini, apakah untung nasib kita di hari mendatang di saat-saat jasad dibawa keperkuburan. Kalaupun sepanjang hayat harum namanya sebagai pembela bangsa, namun mungkinkah ada kesudian pemimpin datang menziarahi.

Namun begitu jika kita memiliki kekayaan melempah-ruah, walaupun penghasilannya dari aktiviti perjudian, sudah pasti pemergian kita bakal diratapi sama sebagaimana sudianya Abdullah Ahmad Badawi pemimpin Islam Hadhari berkunjung memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Tan Sri Lim Goh Tong. Untuk melawat atau menziarahi Tan Sri Osman Saat walaupun terlantar uzur hinggalah jasadnya dibawa ke liang lahad teramat suntuk masanya bagi seorang perdana menteri..

Lalu hati ini terfikir, jika beginilah situasinya, ternyata kematian seorang taukeh judi lebih mulia daripada para pejuang bangsa. Kerana itu seharusnya kita berusaha membina kekayaan biarpun dengan apa cara sekalipun, pastinya kehilangan kita bakal dikenang dan dimuliakan daripada mensia-siakan usia berjuang, terus berjuang dan di akhirnya masa melihat kita salah untuk disisihkan….. Aduhai!