Dalam ceramah agama ada juga ustaz Melayu masih lagi bermodalkan cerita dongeng dan kartun. Di samping riwayat Israiliyyat dan hadis palsu dibaca dalam masjid dan surau, mereka menokok tambah kejadian pelik untuk menarik perhatian pendengar. Cerita mayat jadi itu dan ini menjadi modal murahan.Dengan tidak dinafikan Allah mampu melakukan segala-galanya, namun sejarah menunjukkan Allah tidak bertindak kepada umat Nabi yang akhir seperti kepada umat yang sebelumnya.Kalau Allah mahu, tentu mayat Abu Jahal, atau Abu Lahab terlebih dulu menjadi contoh. Kedua-dua tokoh kekufuran itu, tidak juga mati terkejut atau kerana penyakit misteri disebabkan kejahatan mereka. Sebaliknya kaum Muslimin yang berjihad dan menghapuskan kedua-duanya di medan pertempuran.

Tiada keistimewaan jika bangsa tidak berpegang kepada akidah sebenar ISLAM adalah agama hebat yang mengajar penganutnya bersikap amanah dan tepat janji. Islam juga pentingkan kebersihan sehingga mensyaratkan kesucian dan kebersihan di dalam solat.

Diharamkan pula perkara yang keji atau jelik. Diharamkan mendatangi isteri ketika haid dan diharamkan bangkai dan kekotoran. Ini semua membimbing seorang hidup Muslim. Firman Allah dalam menggambarkan ciri-ciri mukmin sejati: (maksudnya)

“Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya” (Surah al-Mu`minun :8)

Firman Allah berkaitan pengharaman perkara jelik (maksudnya):

“Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad SAW Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan ia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Surah al-’Araf :157)

Sabda RasululLah SAW, bermaksud: “Jauhilah neraka walaupun dengan (bersedekah) setengah biji tamar. Jika kamu tidak dapati, maka dengan perkataan yang baik”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam perniagaan jika roh dan semangat dibawa bersama, tentu orang Melayu yang beragama Islam akan maju. Kedai atau perniagaannya tentunya bersih, barangannya terjamin halal, tepati janji dan penampilannya di hadapan pelanggan memuaskan hati. Ia membawa keberkatan dan sekali gus dengan izin Allah kemajuan dalam perniagaannya. Malangnya, ramai Melayu tidak mengambil roh Islam dalam usahanya, sebaliknya ada yang percayakan kemunduran perniagaannya hanya kerana ‘buatan orang’ atau ‘angkara dibomohkan’.

Saya tidak menolak wujudnya sihirnya. al-Quran dan al-Sunnah mengakui kewujudannya dengan izin Allah. Namun setiap kali seseorang itu tidak laris atau bermasalah, dikaitkan dengan sihir yang sebahagian besarnya adalah dogengan bomoh, lalu dituduh orang itu dan ini. Beratus, mungkin beribu ringgit pula terpaksa dibelanjakan untuk menaja jampi penangkis daripada bomoh yang dianggap handal. Saya pernah ke sebuah kedai makan, lalu dia mengadu kepada saya bahawa kedainya kena sihir sehingga tidak laku. Saya secara kebetulan mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan mengenai sihir dan cara mengatasinya, mendapati tiada kesan boleh dianggap begitu. Sebaliknya, apa yang saya dapati, pengurusannya lembab, kurang bersih dan makanannya tidak enak. Dia melupakan ini semua lalu menuding jari ke pihak lain.

Kalau benar ada bomoh yang hebat sehingga menyebabkan perniagaan orang lain bankrap, suruh saja dia bangkrapkan barang Amerika, tidak perlu nak boikot. Bagaimana mungkin dalam keadaan seperti ini orang Melayu ingin membawa Islam kepada orang Cina yang belum Muslim dan menceritakan Islam membentuk insan menjadi berkualiti. Sebaliknya, ramai peniaga cina jika dibandingkan dengan peniaga Melayu lebih berkualiti pengurusannya dan menampilkan ciri yang boleh dibangga oleh pelanggan. Sehingga ramai orang Melayu sendiri lebih percaya dalam banyak perkara kepada kualiti peniaga Cina daripada bangsanya sendiri. Di mana ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf , yang selalu dicanangkan sebagai contoh kepada umat Islam dalam perniagaan?. Mungkin orang Cina yang majoritinya bukan Muslim lebih menghayati watak itu daripada Melayu.

Kebelakangan ini sudah agak ramai orang Melayu terbabit dengan perniagaan dan menghasilkan keluaran sendiri. Namun jika kita perhatikan ia masih dalam lingkungan sama. Kebanyakannya keluaran orang Melayu masih berkaitan dengan ubat. Paling tidak dilupai ubat tenaga batin. Ada yang jual kismis jampi, kononnya dengan memakan akan jadi jadi cerdik dan bijak. Sebenarnya tiada satu hadis yang sahih menyebut demikian. Namun apa yang saya bimbang, orang akan menganggap orang Melayu kebelakangan ini penuh dengan pelbagai penyakit badan dan kelemahan akal. Di manakah tanggungjawab fardu kifayah untuk memenuhi umat jika perniagaan kita masih sekitar ‘tenaga batin?’.

Dalam ceramah agama ada juga ustaz Melayu masih lagi bermodalkan cerita dongeng dan kartun. Di samping riwayat Israiliyyat dan hadis palsu dibaca dalam masjid dan surau, mereka menokok tambah kejadian pelik untuk menarik perhatian pendengar. Cerita mayat jadi itu dan ini menjadi modal murahan. Dengan tidak dinafikan Allah mampu melakukan segala-galanya, namun sejarah menunjukkan Allah tidak bertindak kepada umat Nabi yang akhir seperti kepada umat yang sebelumnya. Kalau Allah mahu, tentu mayat Abu Jahal, atau Abu Lahab terlebih dulu menjadi contoh. Kedua-dua tokoh kekufuran itu, tidak juga mati terkejut atau kerana penyakit misteri disebabkan kejahatan mereka. Sebaliknya kaum Muslimin yang berjihad dan menghapuskan kedua-duanya di medan pertempuran.

Islam meminta usaha, bukan menunggu tindakan Allah tanpa usaha. Firman Allah mengenai cabaran musyrikin terhadap Nabi SAW, maksudnya:

Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan bagi kami mata air dari bumi. Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus. Atau engkau gugurkan langit berkeping-keping ke atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya. Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya. Katakanlah (wahai Muhammad): “Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?”. Dan tiadalah yang menghalang orang musyrik itu dari beriman ketika datang kepada mereka hidayah petunjuk, melainkan (keingkaran mereka tentang manusia menjadi Rasul, sehingga) mereka berkata dengan hairan: “Patutkah Allah mengutus seorang manusia menjadi Rasul?” (Surah al-Isra`: 90-94).

Demikian Baginda SAW sendiri mampu membuat apa yang dicabar tanpa keizinan Allah. Mereka meminta langit berkeping-keping turun ke atas kepada mereka, namun menjawab “Aku hanya seorang insan yang diutuskan menjadi rasul”. Allah SWT Yang Maha Bijaksana tidak pula memusnahkan kaum musyrikin dengan apa yang mereka minta, sebaliknya dijadikan kemusnahan mereka melalui sebab perjuangan golongan yang beriman. Apa yang pelik sesetengah ustaz atau penceramah agama itu membawa cerita yang jauh berbeza dengan tabiat sirah Nabi dan sahabat. Kononnya, orang ini mayatnya jadi begini kerana tidak datang masjid atau kerana terlalu kedekut dan seumpamanya. Yang ini pula tangannya lumpuh atau berpenyakit badan kerana tidak mahu pergi haji. Mereka mengandaikan perkara yang tidak pasti. Boleh jadi seseorang yang sakit itu kifarah Allah ke atasnya kerana dosa tertentu. Namun boleh jadi juga di atas hikmah yang lain. Ramai orang salih juga sakit.

Adapun cerita mayat jadi itu dan ini, kebanyakan andaian atau tokok tambah. Apa yang membimbangkan, ada media massa yang mengambil kesempatan lalu menjadikan tajuk sebegini sebagai penarik pembaca setiap keluarannya. Sehingga seorang Cina yang bukan Muslim membaca dan berkata: “Teruknya orang Melayu, mati macam-macam jadi. Kita orang Cina, Melayu cakap kafir pun tak jadi ini macam. Kalau macam ini tak boleh masuk Melayu punya agama laa. Bahaya! Nanti tuhan selalu marah punya, mati pun tak boleh senang”.

Nyata, kadang-kala Islam Melayu merosakkan kefahaman orang lain. Sepatutnya kesemua ustaz mengajar secara ilmiah dengan rujukan yang muktabar dan diyakini. Bukan mereka cipta atau mengutip cerita jalanan untuk popular.

Jumlah orang Melayu yang terbabit dengan dadah jauh lebih banyak daripada Cina. Sehingga saya begitu pelik, jumlah orang Melayu di Singapura lebih sedikit daripada orang cina, namun begitu, jumlah mereka yang terbabit dengan benda haram itu tetap dipegang rekodnya oleh orang Melayu. Bagaimana Islam hendak dikembangkan?. Banyak lagi kalau hendak diperkatakan. Sehinggakan saya terfikir, kalaulah Melayu tidak memiliki akidah Islam, tiada apa lagi yang istimewa untuk dibanggakan. Kalau orang Cina mendapat akidah Islam sahih, banyak perkara yang mereka miliki membantu kekuatan Islam. Justeru, menjadi tanggungjawab kita berusaha mengislamkan majoriti orang Cina. Biar mereka kuasai negara ini, asalkan mereka mukmin yang beriman kepada seluruh ajaran Islam. Dengan sedar saya katakan setiap bangsa ada kekurangan dan kelebihan. Bukan tidak ada sifat Melayu yang baik, banyak juga. Bukan tidak ada sifat Cina yang buruk, ada. Namun orang Melayu yang kebanyakan dianugerahkan Allah dengan agama Islam, sepatutnya menonjolkan ciri baik lebih jelas dan nampak dibandingkan orang Cina. Namun realiti menunjukkan sebaliknya.

Penulis adalah Mufti Kerajaan Perlis